PARIS: Sebahagian penyokong pasukan Perancis mencemuh lagu kebangsaan Israel dan berlaku pergaduhan kecil di stadium Stade de France pada satu perlawanan Liga Negara-Negara yang dibayangi pergolakan di Gaza pada 14 November.
Bagi mengelakkan berulangnya keganasan yang berlaku di Amsterdam minggu lalu semasa perlawanan Liga Europa melibatkan Maccabi Tel Aviv , 4,000 anggota keselamatan Perancis dikerahkan di dalam dan sekitar stadium serta di pengangkutan awam.
Sekitar 100 penyokong Israel melanggar amaran pemerintah mereka supaya tidak pergi ke acara sukan, dan duduk di sudut stadium berkapasiti 80,000 yang hampir seperlima penuh.
Dengan ramai tidak hadir akibat kebimbangan keselamatan, kehadiran 16,611 orang adalah yang terendah bagi pasukan Les Bleus di Stade de France sejak stadium itu dibuka pada 1998.
Perlawanan berakhir dengan seri tanpa gol.
Beberapa cemuhan dan tiupan wisel kedengaran semasa lagu kebangsaan Israel dimainkan.
Penyokong Israel mengibarkan belon kuning dan melaungkan ‘Bebaskan Tebusan’, merujuk kepada rakyat mereka yang ditahan kumpulan Hamas.
Ketika perlawanan berlangsung, berlaku huru-hara berhampiran bahagian penyokong Israel selama beberapa minit, dengan orang ramai dilihat berlari dan tumbukan dilepaskan.
Marsyal stadium dengan cepat membentuk penghalang, lapor Reuters.
Hingga kini, tidak jelas apa yang menyebabkan tercetusnya kejadian berkenaan.
Menjelang perlawanan itu, beberapa ratus penunjuk perasaan anti-Israel berhimpun di dataran di daerah sekitar Saint-Denis Paris, mengibarkan bendera Palestin, Lebanon dan Algeria.
“Kami tidak bermain dengan (negara yang terbabit dengan) pembunuhan beramai-ramai,” tulis satu sepanduk, merujuk kepada perang di Gaza.
Di hujung perlawanan, dua bendera Palestin dikibarkan di hujung selatan stadium.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Bruno Retailleau, berkata minggu ini bahawa tiada keraguan perlawanan tersebut akan diteruskan, selepas pergolakan di Amsterdam yang menyaksikan penyokong Maccabi dan kumpulan tempatan terlibat dalam keganasan, menurut polis Belanda.
Beliau berkata tiada ancaman khusus dikenal pasti sebelum perlawanan itu, tetapi tiada risiko boleh diabaikan.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, hadir pada perlawanan itu sebagai tanda perpaduan.
“Kami tidak akan tunduk kepada anti-Semitisme di mana-mana sahaja, dan keganasan, termasuk di Perancis, tidak akan pernah menang, begitu juga dengan intimidasi,” katanya kepada BFM TV beberapa jam sebelum perlawanan.
Perkauman dan sikap tidak bertoleransi semakin meningkat di Perancis, sebahagiannya didorong serangan Oktober 2023 melibatkan Israel dan Hamas. Trend sama dapat dilihat di negara-negara Eropah yang lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg