Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyokong Perancis di S’pura hampa ‘Les Bleus’ gagal ke final pada Hari Bastille
Penyokong Perancis di S’pura hampa ‘Les Bleus’ gagal ke final pada Hari Bastille
Tayangan pertarungan awal pagi hari bekerja di S’pura tetap tarik ramai penyokong sedang Piala Dunia kian masuki pusingan penentu
Penyokong Perancis di S’pura hampa ‘Les Bleus’ gagal ke final pada Hari Bastille
Sambutan Hari Bastille (Hari Kebangsaan Perancis) berakhir dengan kekecewaan buat dua pelajar warga Perancis, Theo Lim dan Margaux Flasque, selepas skuad Les Bleus tewas 0-2 di tangan Sepanyol pada separuh akhir Piala Dunia 2026 ini.
Didorong semangat untuk menyokong pasukan Perancis pada hari kebangsaan negara itu, Lim dan Flasque menyaksikan perlawanan berkenaan bersama sekitar 200 penyokong dalam satu acara tayangan umum di The Seletar Mall pada awal pagi 15 Julai.
Perlawanan tersebut berlangsung pada 14 Julai (waktu tempatan Texas) di Stadium Dallas di Arlington, Texas.
Meskipun tayangan skrin gergasi di The Seletar Mall itu mencatat jumlah kehadiran yang agak kecil berbanding aksi suku akhir antara England dengan Norway pada hujung minggu lalu, suasana dalam kalangan penyokong yang sebahagian besarnya warga Singapura tetap meriah.
Ramai kelihatan selesa duduk di atas kerusi angin bertemakan bola sepak yang disediakan pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut, manakala ada sebahagian lain membawa kerusi lipat sendiri.
Ada juga yang santai duduk di atas permaidani hijau atau meluangkan masa di tingkat dua, tiga, dan empat untuk menyaksikan aksi tersebut melalui skrin besar yang terletak di ruang atrium.
Suasana di pusat beli-belah itu mula bertukar rancak apabila skuad Sepanyol bergelar La Roja dianugerahkan sepakan penalti selepas Lucas Digne mengasari Lamine Yamal di dalam kotak penalti, sekali gus membolehkan Mikel Oyarzabal membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-22.
Lim yang menyarung jersi putih Perancis manakala Flasque memakai jersi merah-kuning kelab Perancis, RC Lens, kelihatan agak menonjol dalam kalangan penyokong tempatan, malah riak kecewa kedua-dua mereka menjadikannya lebih ketara.
Namun, mereka cuba kekal positif dan mengharapkan pasukan itu bangkit.
Kali terakhir perlawanan Piala Dunia berlangsung sekitar hari kebangsaan Perancis adalah ketika Perancis berjaya menjulang piala selepas menewaskan Croatia 4-2 pada aksi final Piala Dunia Russia pada 15 Julai 2018.
Namun, kata-kata semangat daripada pengurus Les Bleus, Didier Deschamps, ketika waktu rehat di Stadium Dallas nampaknya tidak membuahkan hasil.
Hanya 13 minit selepas separuh kedua kedua bermula, Pedro Porro menjaringkan gol kedua untuk menghancurkan semangat pemain Perancis menerusi rembatan penyudah yang kemas.
Jaringan itu disambut dengan sorakan gemuruh daripada penyokong Sepanyol, dan mereka sekali lagi bersorak gembira apabila percubaan Kylian Mbappe tersasar, manakala Desire Doue pula gagal memanfaatkan peluang ketika penjaga gol, Unai Simon, berada di luar posisinya.
Lim, 21 tahun, yang berasal dari pinggir bandar Paris, berkata:
“Kami melihat di Instagram bahawa suasana di pusat beli-belah ini sangat baik, dan ia adalah pengalaman yang menarik untuk menonton perlawanan bersama ramai orang, tetapi malangnya kami (skuad Perancis) tewas.
“Sejujurnya, saya agak sedih. Aksi kami kurang memuaskan dalam perlawanan ini, dan ia menjadi sangat sukar apabila menentang pasukan yang amat mantap.”
Flasque, 22 tahun, dari Lens, utara Perancis, pula berkata:
“Secara keseluruhan, kami bangga dengan pasukan kami, dan saya berharap mereka akan memenangi kejohanan besar seterusnya di Euro 2028, tetapi saya masih berasa sedikit kecewa buat masa ini.
“Hari ini tidak banyak serangan dilakukan. Michael Olise seperti ‘tenggelam’ dalam perlawanan, malah mungkin seluruh pasukan juga begitu. Ia adalah keputusan yang adil dan Sepanyol layak menang.”
Meskipun perlawanan bermula seawal 3 pagi pada hari bekerja di Singapura, jelas sekali bahawa demam Piala Dunia telah melanda seluruh negara.
Perhimpunan besar penyokong turut kelihatan di lokasi tayangan umum lain seperti Chijmes, Kallang Wave Mall, Our Tampines Hub dan One Punggol.
