Singa berjuang habis-habisan untuk menewaskan Thailand 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua Piala Asean Hyundai di Stadium Rajamangala pada 18 Ogos.

Namun keputusan itu tidak cukup untuk membawa mereka ke final, sekali gus menyaksikan kempen Singapura berakhir di peringkat separuh akhir.

Niat memburu gol buat pasukan Singa jelas kelihatan sejak wisel permulaan ditiupkan.

Namun, Thailand sekali lagi mempamerkan kekuatan mereka apabila melancarkan beberapa serangan balas pantas.

Mujur buat skuad Singa, ancaman tersebut berjaya dipatahkan bagi memastikan Thailand tidak menambah kelebihan gol.

Thailand hampir memadamkan harapan Singa apabila Sejsa Ratree berjaya membolosi gawang Singa, tetapi jaringan tersebut dibatalkan akibat ofsaid.

Singa kemudian terus mencari ruang untuk mengancam gawang Thailand.

Pada minit ke-33, hantaran lintang berjaya menemui Ilhan, namun percubaannya sekali lagi berjaya disekat Phatomakkakul.

Asakan Singa akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran jauh Kyoga Nakamura temui Farhan Zulkifli.

Phatomakkakul berjaya menghalang percubaan Farhan, tetapi bola jatuh kepada Harhys Stewart, yang menyumbat bola masuk ke dalam gawang Thailand yang kosong pada minit ke-45.

Jaringan beliau meletakkan Singa di hadapan 1-0 apabila separuh masa pertama berakhir.

Thailand bagaimanapun tidak mahu memberi laluan mudah kepada Singa dan keluar pada separuh masa kedua dengan misi mencari gol untuk menamatkan saingan Singa.

Pada minit ke-59, Thailand diberikan sepakan penalti selepas Ryhan Stewart mengasari pemain Thailand di dalam kotak penalti.

Kakana Khamyok tenang menyempurnakan penalti tersebut untuk menyamakan kedudukan.

Namun, Singa enggan mengalah.

Hanya enam minit kemudian, Ryhan menebus kesilapannya apabila hantaran lintangnya terkena pertahanan Thailand sebelum bola terkena pemain sendiri lalu masuk ke gawang.

Jaringan itu meletakkan Singa di hadapan 2-1 sekali lagi pada minit ke-65.

Jaringan tersebut kembali menyalakan harapan Singa untuk meneruskan perjuangan mereka dalam saingan Piala Asean Hyundai.

Gol itu turut menyuntik semangat baharu kepada skuad Singa, yang mula mengatur beberapa serangan mengancam dalam usaha mencari gol seterusnya.

Thailand pula terus memberikan tekanan dan hampir menghukum Singapura pada minit ke-79.

Mujur buat skuad Singa, Izwan Mahbud tampil dengan satu aksi menyelamat penting untuk memastikan harapan mereka kekal hidup.

Singa terus berjuang hingga wisel penamat, namun kelebihan 2-1 itu akhirnya tidak mencukupi untuk mengubah nasib mereka dalam saingan separuh akhir.