Beranilah mengejar impian anda, walaupun ia tampak mustahil untuk dicapai.
Itulah pesanan daripada perenang negara Joseph Schooling yang mencipta sejarah sebagai rakyat Singapura pertama yang disertakan dalam senarai Dewan Kemasyhuran Renang Antarabangsa (ISHOF) pada 28 Julai.
Beliau menyertai barisan atlet terkenal termasuk juara Olimpik 23 kali Michael Phelps dan atlet terjun indah China, Fu Mingxia, yang menerima penghormatan tersebut sebelum ini.
Schooling, 30 tahun, menjadikan kisah perjalanannya sebagai sumber inspirasi.
Sebelum beliau, tiada rakyat Singapura pernah meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik.
Namun segalanya berubah apabila beliau berjaya meraih pingat emas, selepas menewaskan Phelps dari Amerika Syarikat dalam acara renang kuak kupu-kupu 100 meter di Sukan Olimpik Rio pada 2016.
Schooling yang bersara pada April 2024, dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik di Anugerah Sukan Singapura sebanyak enam kali.
Beliau turut meraih tiga pingat emas di Sukan Asia 2014 dan 2018, dua pingat gangsa di Kejohanan Dunia, dan 29 pingat emas di Sukan SEA.
Semasa majlis induksi ISHOF di Parkroyal Collection Marina Bay, Schooling berkata:
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana dapat berdiri di sini hari ini untuk menerima anugerah ini.
“Akhirnya, yang paling penting adalah perjalanan itu sendiri. Ada kalanya saya langsung tidak nampak cahaya di hujung terowong. Saya tidak tahu sama ada saya akan berjaya atau tidak.
“Saya sukar percaya dapat berdiri di sini hari ini. Namun, saya berharap ini menjadi bukti bahawa sesiapa sahaja boleh berjaya.
“Tidak kira dari negara mana anda berasal atau apa yang anda lakukan – jika anda mempunyai impian, beranilah untuk bermimpi besar dan kejarlah impian itu.”
Kesemuanya, seramai 11 atlet sukan daripada sembilan negara disertakan dalam senarai Dewan Kemasyhuran Renang Antarabangsa pada 2025, dengan Kuwait, India, Tunisia dan Singapura diwakili buat kali pertama, lapor The Straits Times (ST).
Selain Schooling, perenang lain yang turut menerima anugerah tersebut ialah Anthony Ervin dan Ryan Lochte dari Amerika, dan Federica Pellegrini dari Italy.
Individu lain yang turut menerima penghormatan tersebut termasuk perenang air terbuka atau di laut, Ous Mellouli dari Tunisia; pemain polo air Hungary, Endre Molnar; perenang artistik Sepanyol, Andrea Fuentes; atlet terjun cantik China, Chen Ruolin; jurulatih renang Olimpik Amerika, Gregg Troy; Presiden World Aquatics, Husain Al-Musallam; dan mendiang perenang India, Sachin Nag.
Dewan Kemasyhuran Renang Antarabangsa, yang berpangkalan di Fort Lauderdale, Florida, ialah sebuah pertubuhan bukan meraih keuntungan.
Muziumnya diiktiraf oleh World Aquatics sebagai “penyimpan rasmi bagi sejarah sukan akuatik.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg