Perkahwinan bentuk fasa baru bagi Izwan Mahbud
Penjaga gawang negara pilih kekal beraksi di S’pura walau dapat tawaran kembali beraksi di Thailand
Walaupun menerima tawaran untuk kembali beraksi di Thailand bersama bekas kelabnya, Nongbua FC, satu destinasi yang sejajar dengan keinginan beliau untuk mendapatkan lebih banyak masa untuk beraksi di padang, Izwan Mahbud akhirnya memilih untuk tidak meneruskan langkah tersebut.
Berkata demikian kepada Berita Harian (BH), penjaga gol negara itu mengakui beliau yakin mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan di Thailand, berdasarkan pengalaman dulu semasa beliau beraksi di sana.
Namun, keputusan tersebut tidak lagi dibuat atas pertimbangan peribadi semata-mata.
“Dari segi bola sepak, saya tahu saya boleh sesuaikan diri,” kata penjaga gawang berusia 36 tahun itu.
“Tetapi sekarang saya sudah mempunyai tanggungjawab sebagai seorang suami, masih terlalu awal untuk saya buat keputusan seperti itu.”
Komitmen pekerjaan isterinya dan perbezaan gaya hidup di sana juga diambil kira.
Pertimbangan seperti itu juga yang akhirnya mendorong Izwan untuk kekal di Singapura dan menyertai Young Lions secara pinjaman, daripada pasukan Lion City Sailors.
Keputusan tersebut bukan sahaja memastikan beliau terus mendapat minit permainan, tetapi turut memberinya peranan lebih bermakna dalam pasukan muda itu.
Pada usia 36 tahun, selepas lebih sedekad berada di peringkat tertinggi bola sepak Singapura, beliau sedar bahawa kerjaya bola sepaknya semakin singkat, dan peluang berterusan beraksi menjadi lebih penting.
Peranannya di Young Lions juga bukan sekadar sebagai penjaga gawang.
Izwan kini memikul tanggungjawab tambahan sebagai pemain berpengalaman yang berperanan membimbing pemain muda dan pemain kebangsaan masa depan Singapura.
“Sejauh ini saya lihat mereka (pemain Young Lions) memang berbakat,” katanya.
“Saya ada tanggungjawab untuk bantu pemain muda faham apa yang diperlukan untuk berjaya dari segi disiplin, mentaliti dan perwatakan.”
Rasa tanggungjawab itu sejajar dengan perubahan besar dalam kehidupannya di luar padang.
Izwan berkongsi bahawa tidak lama dulu, setiap kali beliau pulang daripada perlawanan bersama pasukan, beliau melihat rakan-rakan pasukannya disambut oleh isteri mereka.
“Apabila pulang di lapangan terbang, saya lihat kawan semua balik dengan isteri mereka. Saya balik seorang. Sedih,” katanya sambil ketawa.
Namun kini, beliau juga tidak lagi pulang bersendirian. Beliau mempunyai isteri yang akan menyambut kepulangannya dengan gembira.
Pernikahan antara Izwan dengan Ameerah Rahman berlangsung pada 25 Disember 2025 di Masjid Al-Falah, dan kemudian majlis persandingan mereka di Orchid Country Club pada 28 Disember pada tahun sama.
Cara mereka mula berkenalan agak berlainan.
Ameerah telah mengirimkan video ucapan sokongan ringkas sebelum aksi separuh akhir Piala Mitsubishi Electric semasa Singapura menentang Vietnam pada Disember 2024, yang mula menangkap perhatian Izwan.
Apabila ditanya mengapa Ameerah memutuskan untuk menghantar video tersebut, Ameerah mendedahkan bahawa ia adalah dorongan daripada rakan bersama mereka.
Interaksi selanjutnya adalah melalui panggilan video yang disifatkan “agak kekok” oleh mereka.
“Kami berbual pun tidak sampai lima minit, setakat ‘hi’, tanya khabar, sudah makan belum dan ‘bye’,” kata Ameerah.
“Izwan juga seorang yang pemalu dan introvert,” tambahnya sambil tersenyum.
Beberapa minggu berlalu baru mereka dapat bertemu, akibat kesibukan masing-masing – Izwan dengan komitmen bola sepaknya, Ameerah pula dengan kerjayanya sebagai pengarah pemasaran Global Ehsan Relief yang menuntutnya untuk sering ke luar negara.
Namun, apabila keyakinan mula terjalin, segalanya bergerak pantas.
Selepas mendapat restu keluarga, mereka merancang perkahwinan dalam tempoh sekitar enam bulan, serentak dengan kejayaan bola sepak Izwan di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan.
“Tahun 2025 memang tahun yang amat hebat bagi saya,” kata Izwan sambil tersenyum lebar.
“Kami mencatat sejarah ke final Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2 (ACL2) bersama Sailors, layak ke Piala Asia dan saya juga kahwin. Alhamdulillah.”
Melangkah ke alam perkahwinan juga membawa kesedaran baru tentang amanah dan tanggungjawab.
Izwan berkongsi rasa gementarnya semasa akad nikah beliau.
“Bermain di hadapan 50,000 orang di Hong Kong tidak boleh dibandingkan rasa gementar saya pada masa itu (akad nikah),” ceritanya.
Apapun, kehadiran Ameerah mendatangkan kestabilan dan motivasi tambahan bagi Izwan.
Walaupun Izwan dianggap sebagai penjaga gawang kebangsaan, bagi Ameerah, suaminya tetap seorang insan biasa yang perlu dijaga, difahami dan disokong.
“Yang utamanya, beliau adalah suami saya,” kata Ameerah.
“Asalkan kami berbincang dan tahu keadaan satu sama lain, saya okay dengan apa jua keputusan yang beliau lakukan.”
Melihat mereka bergurau senda, jelas bahawa Izwan kini mempunyai dorongan yang jauh lebih peribadi.
Kini, selepas wisel penamat dibunyikan, ada seseorang yang akan menunggu Izwan pulang dan mengongsi kejayaannya di rumah.
“
“Sejauh ini saya lihat mereka (pemain Young Lions) memang berbakat. Saya ada tanggungjawab untuk bantu pemain muda faham apa yang diperlukan untuk berjaya dari segi disiplin, mentaliti dan perwatakan.”“Sejauh ini saya lihat mereka (pemain Young Lions) memang berbakat,” katanya.
“Saya ada tanggungjawab untuk bantu pemain muda faham apa yang diperlukan untuk berjaya dari segi disiplin, mentaliti dan perwatakan.”
“Sejauh ini saya lihat mereka (pemain Young Lions) memang berbakat,” katanya.
“Saya ada tanggungjawab untuk bantu pemain muda faham apa yang diperlukan untuk berjaya dari segi disiplin, mentaliti dan perwatakan.”

