Dua pemain veteran Singapura - penjaga gawang, Izwan Mahbud dan pemain pertahanan, Abdil Qaiyyim, sah menyertai Young Lions pada 7 Januari.
Kepulangan ini menandakan kembalinya mereka ke Young Lions selepas lebih sedekad meninggalkan kelab yang merupakan sebahagian daripada perjalanan bola sepak remaja mereka.
Penerapan kedua-dua pemain tersebut pada tempoh jendela perpindahan Januari, diharapkan dapat membawa kestabilan serta kepimpinan di dalam bilik persalinan pasukan muda itu.
Terutamanya selepas kempen mengecewakan Young Lions di Sukan SEA 2025 serta di Liga Perdana Singapura (SPL) untuk musim 2025/26, di mana mereka tewas di kesemua lima perlawanan pertama mereka.
Malah, mereka hanya menjaringkan empat gol dan dibolosi sebanyak 17 kali di SPL.
Perpindahan itu diumumkan Young Lions dalam satu catatan Facebook mereka pada 7 Januari.
“Izwan menyertai kami secara pinjaman daripada Lion City Sailors dan kembali sebagai salah seorang penjaga gawang paling berpengalaman dalam bola sepak Singapura.
“Beliau merupakan tonggak penting dalam pasukan Singa kendalian Gavin Lee yang mencipta sejarah dengan layak ke Pusingan Akhir Piala Asia 2027 secara merit, dan kehadirannya menambah ketenangan serta panduan berharga di barisan pertahanan,” tulis Young Lions.
Izwan dipinjamkan dari Lion City Sailors sehingga akhir musim 2025/2026.
Penjaga gawang berusia 35 tahun itu mula mencuri perhatian peminat dan jurulatih apabila beraksi dengan cemerlang ketika bersama Young Lions, antara 2008 dengan 2012, di mana beliau membuat 69 penampilan.
Walaupun telah mengalami dua kecederaan besar dalam kerjayanya, Izwan tetap berjaya bangkit untuk mengekalkan posisi nombor satunya di skuad nasional.
Sementara itu, berbadan tegap dan garang dalam benteng pertahanan, Abdil, 36 tahun, kembali dalam dunia SPL selepas setahun bersama Balestier Khalsa.
Pada awal musim ini, beliau pernah membuat satu penampilan untuk The Tigers di SPL 2.
Abdil pernah membuat 11 penampilan bersama Young Lions dari 2009 hingga 2010.
Sejak 2010, beliau telah menikmati kerjaya cemerlang dalam SPL dengan mengumpul 200 penampilan bersama pelbagai kelab.
“Dikenali dengan ketenangan di benteng pertahanan, beliau merupakan sebahagian pasukan Home United, yang menjuarai Kejohanan Zon Asean Piala AFC pada 2018, dan turut menjulang Piala Singapura musim 2010/11 – pengalaman yang membawa kepimpinan sangat berharga ke benteng pertahanan kami,” tambah Young Lions dalam kenyataannya.
Walaupun Young Lions bakal menikmati suntikan tambahan daripada dua pemain itu, mereka juga telah melepaskan beberapa pemain muda berbakat kepada kelab utama mereka sewaktu jendela perpindahan ini.
Pemain pertahanan, Raoul Suhaimi; dan duo pemain tengah, Ong Yu En dan Rae Peh; telah kembali ke BG Tampines Rovers.
Berita Harian (BH) juga difahamkan terdapat beberapa pemain utama Young Lions juga sedang dalam rundingan sama ada akan kembali ke kelab utama masing-masing selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS).
Pemain muda yang sedang menjalani NS boleh dipinjamkan ke Young Lions sehingga khidmat buat negara itu selesai, dan berpotensi ke kelab utama mereka jika dipanggil kembali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg