Memandangkan sebilangan negara jiran Singapura semakin memperkukuh skuad kebangsaan mereka dengan pemain naturalisasi dan pemain warisan, seperti yang disaksikan dalam Piala Asean Fifa, satu persoalan kembali timbul – perlukah pasukan Singa mengambil langkah sama?

Bagi bekas penyerang antarabangsa Singapura, Aleksandar Duric, pintu kepada pemain naturalisasi harus sentiasa terbuka.

Namun, beliau menegaskan bahawa mereka mesti membawa kualiti yang benar-benar dapat meningkatkan kekuatan pasukan, bukan sekadar menambah pilihan bagi mengisi kekosongan posisi.

“Mereka harus sekurang-kurangnya dua kali ganda lebih bagus. Kalau tidak, beri sahaja peluang tersebut kepada pemain tempatan,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Bagi Duric, naturalisasi bukan jalan pintas untuk membina skuad lebih kompetitif.

Sebaliknya, ia harus menjadi langkah strategik untuk mendapatkan pemain yang mampu memberikan sesuatu yang belum dimiliki oleh pilihan tempatan.

Pandangan itu diluahkan ketika bola sepak Asia Tenggara menyaksikan pendekatan yang semakin berbeza dalam mendapatkan khidmat pemain dari luar negara.

Indonesia, misalnya, semakin bergantung kepada pemain yang lahir dan dibesarkan di luar negara, termasuk mereka yang mempunyai pertalian keturunan dengan negara itu.

Malaysia turut memperluas pilihan pemain warisan dan pemain yang memperoleh kewarganegaraan.

Namun, Duric tidak mahu Singapura mengikut trend tersebut secara membuta tuli.

Prinsipnya jelas: pemain tempatan harus kekal sebagai majoriti, manakala pemain naturalisasi perlu membawa nilai tambah yang nyata.

Jika tidak, langkah itu berisiko mengecilkan ruang bagi pemain tempatan berkembang, tanpa menjamin peningkatan mutu pasukan kebangsaan.

Kejayaan lalu membuktikan naturalisasi boleh membantu

Duric sendiri menjadi contoh bagaimana pemain naturalisasi mampu memberikan sumbangan besar kepada Singapura.

Selepas memperoleh kewarganegaraan Singapura pada 2007, penyerang kelahiran Bosnia itu menjadi antara tonggak skuad Singa.

Beliau menjaringkan 27 gol dalam 59 penampilan antarabangsa dan memainkan peranan penting dalam kejayaan Singa menjuarai Piala AFF 2012.

Kejayaan tersebut juga bukan kes terpencil.

Pemain seperti Daniel Bennett, Fahrudin Mustafic, Shi Jiayi dan Agu Casmir pernah menjadi sebahagian daripada era ketika Singapura memenangi kejohanan serantau, termasuk Piala AFF 2004, 2007 dan 2012.

Pemain pertahanan veteran, Daniel Bennett (kiri) dalam aksi perlawanan Causeway Challenge menentang Malaysia di Stadium Negara pada 7 Oktober 2016.
Pemain pertahanan veteran, Daniel Bennett (kiri) dalam aksi perlawanan Causeway Challenge menentang Malaysia di Stadium Negara pada 7 Oktober 2016. - Foto fail
Agu Casmir dalam aksi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang  ATM FA di Stadium Jalan Besar pada 5 Oktober 2012.
Agu Casmir dalam aksi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang ATM FA di Stadium Jalan Besar pada 5 Oktober 2012. - Foto fail

Bagi kejayaan 2012 pula, bekas kapten Shahril Ishak berkata pemain seperti Bennett, Mustafic dan Duric melengkapkan pasukan yang sudah mempunyai asas kukuh.

Pengalaman itu menunjukkan naturalisasi boleh membantu Singapura mencapai kejayaan apabila pemain yang dibawa masuk benar-benar sesuai dengan keperluan pasukan dan digabungkan dengan pemain tempatan yang bermutu.

Namun, kejayaan pada masa lalu tidak semestinya menjamin hasil yang sama pada masa hadapan.

Persoalannya ialah bagaimana Singapura dapat memastikan naturalisasi menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang, bukan sekadar tindak balas terhadap keputusan mengecewakan atau kelemahan di posisi tertentu.

Pendirian Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS)? Terbuka, tetapi pembangunan tempatan tetap keutamaan.

FAS sebelum ini menyatakan pembangunan saluran pemain tempatan merupakan teras strategi jangka panjang untuk meningkatkan mutu bola sepak negara.

Namun, FAS juga tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk menilai dan menaturalisasikan pemain asing yang mempunyai bakat serta kesungguhan untuk mewakili Singapura.

Pemain pertahanan Cardiff City, Perry Ng, pernah berkongsi bersama Berita Minggu bahawa hasrat untuk mewakili Singapura sudah timbul lebih sedekad yang lalu
Pemain pertahanan Cardiff City, Perry Ng, pernah berkongsi bersama Berita Minggu bahawa hasrat untuk mewakili Singapura sudah timbul lebih sedekad yang lalu - Foto fail

Pendirian itu selari dengan kenyataan Presiden FAS, Forrest Li, berhubung Perry Ng, pemain Cardiff City yang menerima kewarganegaraan Singapura pada 2026.

Li berkata Singapura mengambil pendekatan berdisiplin dalam menilai pemain yang boleh menguatkan skuad kebangsaan.

Keupayaan di padang merupakan satu pertimbangan, tetapi pemain juga perlu menunjukkan bahawa mereka mampu menyesuaikan diri dengan masyarakat dan memahami tanggungjawab yang datang bersama kewarganegaraan.

Ng, yang mempunyai datuk kelahiran Singapura, mewakili satu lagi laluan untuk memperluas pilihan skuad kebangsaan: pemain yang mempunyai pertalian keluarga dengan Singapura.

Vietnam menawarkan satu pendekatan untuk dikaji

Satu contoh serantau yang boleh diteliti ialah Vietnam, yang semakin terbuka menggunakan pemain naturalisasi tetapi masih mengekalkan peranan penting pemain yang dibangunkan di dalam negara.

Kejayaan penyerang kelahiran Brazil, Nguyen Xuan Son, dalam Piala Asean 2024 membantu membuka ruang kepada perbincangan lebih luas mengenai penggunaan pemain naturalisasi di Vietnam.

Pendekatan Vietnam terus berkembang menjelang Piala Asean 2026.

Walaupun tiga pemain naturalisasi kelahiran Brazil berada dalam skuad Vietnam bagi kejohanan 2026, mereka tidak semestinya beraksi serentak.

Pemain tempatan terus memainkan peranan penting, termasuk dalam menghasilkan detik-detik penentu perlawanan.

Persaingan bukan ancaman kepada pemain tempatan.

Pandangan Duric turut disokong oleh Shahril yang pernah berkongsi padang dan bilik persalinan dengan pemain naturalisasi.

Bekas kapten pasukan bola sepak Singapura, Shahril Ishak.
Bekas kapten pasukan bola sepak Singapura, Shahril Ishak. - Foto fail

“Sejujurnya, saya tidak pernah rasa terancam,” katanya apabila dihubungi BM.

Bagi Shahril, pemilihan harus berdasarkan keupayaan. Jika pemain naturalisasi lebih baik, mereka wajar diberikan peluang untuk beraksi.

Beliau berkata perkara itu jelas ketika bermain bersama Duric dan Mustafic.

”Mereka jauh lebih baik daripada pilihan tempatan pada masa itu,” jelasnya.

Menurut Shahril, kehadiran mereka bukan sahaja membantu meningkatkan kekuatan pasukan, malah “mendorong pemain tempatan untuk memperbaiki mutu permainan sendiri”.

Bekas penyerang Singapore FA, Abbas Saad, mengambil pendirian yang lebih terbuka.

Bekas penyerang Singapore FA, Abbas Saad, di Stadium Shah Alam ketika Singapura memenangi Piala Malaysia setelah menewaskan Pahang pada 17 Disember 1994.
Bekas penyerang Singapore FA, Abbas Saad, di Stadium Shah Alam ketika Singapura memenangi Piala Malaysia setelah menewaskan Pahang pada 17 Disember 1994. - Foto fail

“Saya percaya Singapura perlu mempertimbangkan pemain asing atau pemain berketurunan jika langkah itu dapat meningkatkan mutu skuad kebangsaan.

“Saya juga mahu Singa mendapatkan khidmat pemain warisan atau naturalisasi yang lebih muda supaya manfaatnya tidak terhad kepada satu kejohanan.

“Pemain yang mampu berkhidmat selama lima hingga lapan tahun, misalnya, boleh memberikan sumbangan lebih panjang berbanding mereka yang hanya dibawa masuk untuk menangani masalah jangka pendek,” katanya lagi.

Justeru, persoalannya bukan semata-mata sama ada Singapura harus menggunakan lebih ramai pemain naturalisasi.

Sebaliknya, ramai bekas pemain Singapura berpendapat bahawa negara ini perlu menentukan bagaimana pemain sedemikian boleh melengkapkan bakat tempatan, meningkatkan daya saing skuad dan membantu membina pasukan yang lebih kukuh untuk tahun-tahun mendatang.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti