Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persatuan Bola Lantai S’pura akur boleh perbaiki keadaan selepas kontroversi pemilihan

Jul 17, 2024 | 3:29 PM
Pemain pertahanan Singapura, Ishwarpal Singh (kiri), mengkritik jurulatih pasukan bola lantai lelaki Singapura, Sonia Chia, di media sosial kerana menunjukkan sikap “tidak hormat dan tidak profesional”.
Pemain pertahanan Singapura, Ishwarpal Singh (kiri), mengkritik jurulatih pasukan bola lantai lelaki Singapura, Sonia Chia, di media sosial kerana menunjukkan sikap “tidak hormat dan tidak profesional”. - Foto ST

Persatuan Bola Lantai Singapura (SFA) memohon maaf kepada pemain veteran, Ishwarpal Singh, selepas satu kontroversi pemilihan meletus menjelang penyertaan pasukan bola lantai lelaki dalam pusingan kelayakan Kejohanan Bola Lantai Dunia (WFC) di Pasig, Filipina.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), SFA menyatakan pada 15 Julai bahawa ia telah menyemak kejadian tersebut dan “akur bahawa terdapat beberapa aspek yang kami seharusnya melakukan dengan lebih baik”.

“Kami menghargai perkongsian terus terang Ishwarpal dan memohon maaf kerana secara tidak sengaja membuatnya mengalami keresahan, disebabkan maklum balas lewat mengenai prestasinya dan notis singkat bahawa beliau tidak dipilih menyertai (kelayakan) WFC.

“Kami ingin memberi jaminan kepada peminat dan penyokong kami bahawa kami sedang mengambil langkah untuk memperkukuh proses kami serta berinteraksi dengan atlet kami.”

Kontroversi tersebut timbul selepas Iswarpal mengkritik jurulatih pasukan bola lantai lelaki Singapura, Sonia Chia, di media sosial kerana menunjukkan sikap “tidak hormat dan tidak profesional”.

Menurut Ishwarpal, beliau hanya dimaklumkan sekitar 48 jam sebelum waktu penerbangan ke Filipina bahawa beliau tidak akan diberi masa permainan, sebaliknya diberi pilihan untuk menarik diri.

Sambil menambah bahawa beliau telah “banyak berkorban untuk berlatih dan bersaing”, Ishwarpal berkata notis lewat tersebut diberi walaupun beliau berjaya memenuhi kriteria pemilihan dan telah dipilih sejak lebih dua bulan lalu.

Beliau juga menambah bahawa Chia telah memaklumkan kepadanya bahawa “beliau tidak pernah fikir saya cukup bagus untuk peringkat ini” dan beliau juga tidak diberi sebarang maklum balas mengenai aspek yang perlu dibaiki.

Dalam satu kenyataan, SFA menyatakan ia akan terus bekerjasama dengan pemain dan masyarakat untuk meningkatkan piawaian bola lantai Singapura ke tahap pertandingan dunia.

“Melangkah ke depan, kami akan bekerja rapat dengan jurulatih kami untuk memastikan mereka terus memberi maklum balas pada waktunya kepada pemain bagi membantu mereka memperbaiki permainan.

“Kami juga akan memastikan dasar pemilihan kami jelas dan telus kepada semua pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Beberapa tindakan yang kami rancang untuk laksanakan, termasuk perundingan dengan CoachSG untuk meneroka cara menambah baik proses kami, mengadakan mesyuarat jurulatih secara tetap untuk menyeragamkan kriteria pemilihan, dan mempunyai lebih banyak peluang untuk berkomunikasi dengan pemain.”

Jurucakap agensi nasional Majlis Sukan Singapura (Sport Singapore) menyatakan ia sedia maklum mengenai maklum balas terhadap pengurusan atlet SFA dan proses pemilihan pasukan nasional.

Ia menggesa SFA menyemak perkara tersebut dengan teliti.

Ketika dihubungi, Ishwarpal, 30 tahun, berkata beliau “berterima kasih” atas permohonan maaf itu dan ingin melihat SFA melaksanakan perubahan dalam prosesnya.

Ishwarpal yang juga pernah mewakili Singapura dalam hoki, berkata beliau sedang berehat daripada sukan bola lantai untuk memberi tumpuan kepada pengajian sarjananya, dan akan menimbangkan sama ada ingin kembali ke sukan itu kelak.

“Secara umumnya, persatuan sukan nasional perlu sedar bahawa kebanyakan atlet (tidak bermain) secara sepenuh masa dan tidak dibayar gaji.

“Sebaliknya, mereka mengorbankan masa, kerjaya, masa keluarga, dan kesihatan fizikal serta mental mereka,” jelas Ishwarpal.

Beliau hanya berharap atlet dilayan dengan “lebih rasa hormat” dan secara profesional, katanya.

Melangkah ke depan, kami akan bekerja rapat dengan jurulatih kami untuk memastikan mereka terus memberi maklum balas pada waktunya kepada pemain bagi membantu mereka memperbaiki permainan. Kami juga akan memastikan dasar pemilihan kami jelas dan telus kepada semua pihak berkepentingan yang berkaitan.
Kenyataan Persatuan Bola Lantai Singapura (SFA).

Secara umumnya, persatuan sukan nasional perlu sedar bahawa kebanyakan atlet (tidak bermain) secara sepenuh masa dan tidak dibayar gaji. Sebaliknya, mereka mengorbankan masa, kerjaya, masa keluarga, dan kesihatan fizikal serta mental mereka.
Ishwarpal Singh, atlet bola lantai Singapura.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg