Dalam usaha mengembalikan kegemilangan Sukan SEA, Persatuan Bola Lantai Singapura (SFA) telah melantik jurulatih dari Finland, Pasi Rosti, untuk membimbing skuad kebangsaan lelaki.
Bola lantai hanya dipertandingkan dalam tiga edisi Sukan SEA – bermula dengan penampilan sulung di Singapura pada 2015, yang menyaksikan tuan rumah muncul juara.
Namun dalam dua edisi berikutnya pada 2019 dan 2023, skuad Singapura hanya berjaya mendapat pingat perak dan gangsa.
Rosti, 45 tahun, yang berpengalaman melatih di Finland dan Jerman, berkata beliau berbesar hati dan teruja diberi peluang memacu bola lantai tempatan ke tahap lebih tinggi.
Walaupun pasukan baru-baru ini merangkul kejuaraan Piala Konfederasi Asia Oceania (AOFC) awal Jun 2025, beliau mahu menetapkan sasaran lebih tinggi menjelang Sukan SEA yang bakal berlangsung di Thailand dari 9 hingga 20 Disember.
“Cabaran kali ini lebih besar kerana mutu lawan juga semakin meningkat. Pemain kita bagus, tapi perlu berada pada tahap elit.
“Jadi, tahap disiplin dan jangkaan juga akan lebih tinggi daripada sebelumnya,” ujar beliau.
Pelantikan Rosti diumumkan pada 16 Jun – kurang enam bulan sebelum Sukan SEA bermula.
Namun, beliau tidak menganggap masa sebagai halangan, memandangkan beliau sudah terlibat dalam sistem kejurulatihan SFA sejak 2024, lapor The Straits Times.
Pada Mac, beliau bertugas sebagai penolong jurulatih skuad wanita untuk kempen kelayakan AOFC mereka di Singapura dan berjaya melayakkan pasukannya ke Kejohanan Dunia Disember 2025 di Republik Czech.
Selain itu, beliau pernah mengendalikan skuad belia lelaki ke Kejohanan Dunia Bawah-19 di Switzerland pada April, dan pasukan negara menamatkan saingan di tempat ke-14 daripada 16 pasukan.
“Pengalaman itu amat bermakna kerana ramai daripada mereka merupakan pemain generasi baru yang akan menyertai skuad senior tidak lama lagi,” tambah Rosti.
Perubahan kejurulatihan tersebut tiba selepas bekas jurulatih, Sonia Chia, berjaya membimbing Singapura – kini di ranking ke-17 dunia – menewaskan Thailand (ranking ke-13) 8-7 dalam perlawanan akhir Piala AOFC di China.
“Tumpuan utama tahun ini (2025) adalah Sukan SEA. Sonia telah melakukan tugas dengan cemerlang, dan kami percaya beliau mampu membawa pulang kejuaraan itu,” kata Presiden SFA, Ben Ow.
“Namun untuk memperkukuh perancangan kami, kami rasakan perlu ada elemen tambahan yang boleh dibawa masuk. Justeru, kami putuskan untuk melantik Pasi.
“Sonia akan terus terlibat dalam pasukan – kami sedang mengenal pasti peranan sesuai untuk beliau membimbing bakat bola yang akan datang,” jelasnya.
Kapten pasukan lelaki, Thaddeus Tan, mengakui keputusan itu agak mengejutkan apabila Sonia memaklumkan berita tersebut kepada pasukan selepas kejayaan AOFC mereka.
“Suasana jadi senyap, dan kami tak pasti bagaimana nak memberi tindak balas. Secara peribadi, ia agak mengejutkan,” kata pemain berusia 26 tahun itu.
“Saya tidak tahu mengenai masa yang dipilih untuk mengubah jurulatih, tetapi saya percaya SFA ada perancangan tersendiri, dan apa yang Pasi bawa adalah pengalaman bola lantai Eropah.”
“Beliau dapat membantu membawa peningkatan yang diharapkan selain dapat membawa kami melangkah lebih tinggi sebagai persediaan dengan menjelangnya Sukan SEA akan datang.”
Mengulas tentang masa perubahan itu dibuat, Ow berkata:
“Selepas setiap kejohanan, akan ada proses penilaian.
“Sonia telah lama bersama pasukan bagi AOFC, jadi ini merupakan masa paling sesuai untuk membawa masuk Pasi sebelum proses pemilihan skuad Sukan SEA dimuktamadkan,” katanya.
“Saya rasa sudah tentu pemain agak terperanjat. Tetapi tidak ada masa yang ‘terbaik’ untuk perubahan tersebut.”
“
“Cabaran kali ini lebih besar kerana mutu lawan juga semakin meningkat. Pemain kita bagus, tapi perlu berada pada tahap elit. Jadi, tahap disiplin dan jangkaan juga akan lebih tinggi daripada sebelumnya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg