Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perses kemuka saman sivil terhadap Halim Kader, Istaf dan Astaf

Jun 27, 2024 | 3:14 PM
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), Nasri Haron (kiri), telah digantung pembabitan selama 10 tahun dalam sepak takraw oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf). Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Presiden Astaf, Abdul Halim Kader (kanan), ialah antara tiga pihak yang difailkan saman sivil oleh Perses.
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), Nasri Haron (kiri), telah digantung pembabitan selama 10 tahun dalam sepak takraw oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf). Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Presiden Astaf, Abdul Halim Kader (kanan), ialah antara tiga pihak yang difailkan saman sivil oleh Perses. - Foto fail

Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) telah memfailkan saman sivil terhadap tiga pihak termasuk bekas presiden dan setiausaha agungnya, Abdul Halim Kader, atas “pelucutan yang salah” keanggotaan Perses dalam Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Kededua pertubuhan itu, yang diterajui Abdul Halim, adalah dua lagi pihak yang dinamakan dalam saman sivil di Bahagian Am Mahkamah Tinggi pada 11 Jun.

Abdul Halim, warga Singapura, menggalas jawatan Setiausaha Agung Istaf selain juga merupakan Presiden Astaf.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 26 Jun, Perses berkata: “Sebab utama saman itu ialah pelucutan Perses yang salah daripada Istaf dan Astaf dan peristiwa yang membawa kepada pelucutan salah yang dimaksudkan.”

Pada November 2022, Presiden Perses, Nasri Haron; dan Setiausaha Agung Perses, Zahid Abdul Aziz, masing-masing digantung pembabitan selama 10 dan lima tahun dalam sukan itu – di dalam dan luar negara – oleh Astaf.

Nasri didakwa telah membuat kenyataan bertulis yang dianggap tidak sopan, menghina dan tidak sesuai. Beliau turut dikatakan cuba mengganggu dan/atau menjejas kestabilan pentadbiran Astaf.

Zahid, antara lain, didakwa “secara sengaja atau dengan niat jahat, membuang atau mengeluarkan secara tidak wajar dan/atau menyebabkan kerugian harta Astaf bernilai AS$9,700 ($13,176) tanpa pengetahuan Astaf”.

Mereka juga dilarang melibatkan diri dalam pengurusan atau kegiatan Perses.

Sebuah Jawatankuasa Persiapan Temasya Sukan Utama (MGPC), yang dilantik Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), dibentuk pada Januari 2023.

Ia bertujuan melindungi kepentingan pemain sepak takraw negara dan memastikan latihan dan persiapan mereka untuk menyertai temasya sukan utama dapat diteruskan sedang Perses dibelenggu kemelut ini.

Pada 4 November 2023, Istaf memutuskan untuk menamatkan keanggotaan Perses berikutan satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif di Kuala Lumpur.

Ia menyatakan “salah laku serius dalam kepimpinan Perses” sebagai sebab atas tindakan tersebut.

SNOC kemudian mengutus surat kepada Perses untuk memaklumkan ia tidak lagi layak menjadi anggotanya selepas perlucutan itu.

Pada 20 November 2023, satu gabungan melibatkan 10 persatuan sepak takraw, bersama Rangkaian Sukan Masyarakat (CSN), mengemukakan permohonan kepada Pejabat Pendaftaran Persatuan (ROS) untuk membentuk Konfederasi Sepak Takraw Singapura (KSS).

“Perses memohon ganti rugi daripada Mahkamah Singapura atas kesalahan yang dilakukan oleh defendan yang dinamakan,” tambah Perses, yang telah bertapak sebagai badan induk sepak takraw negara sejak 1960.

Ketika dihubungi Berita Harian, Zahid berkata “beberapa kesalahan telah dilakukan kepada Perses”, dengan persekutuan itu mengharapkan pengembalian semula dan permohonan untuk membatalkan pelbagai pengisytiharan dan perintah oleh Istaf dan Astaf serta ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah.

Abdul Halim, yang tewas kepada Nasri dalam pemilihan Perses pada 2019, memberitahu The Straits Times bahawa prosiding undang-undang itu “tidak berasas”, sambil menambah beliau akan menentang dakwaan Perses itu.

Beliau berkata Istaf telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif tergempar di ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand pada 14 Jun untuk membincangkan perkara itu.

Abdul Halim menambah: “Perkara ini pada masa ini di hadapan mahkamah, di mana ia akan diadili dengan sewajarnya. Perdebatan awam atau penelitian kes ini tidak sesuai dan boleh dianggap subjudis. Sebarang percubaan untuk berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang yang pantas.

“Kami dinasihatkan supaya tidak mengulas mengenai butiran kes itu kerana ia menunggu penghakiman oleh Mahkamah Tinggi. Sebagai Presiden Astaf dan Setiausaha Agung Istaf, kedua-duanya berdaftar di Singapura, adalah menjadi kewajipan saya untuk menjaga maruah, integriti dan reputasi kedua-dua persekutuan.”

“Kami memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa Istaf, Astaf dan saya akan mempertahankan dakwaan ini dengan tekad dan kesaksamaan sepenuhnya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg