Bagi jaguh luncur lelayang (’kitefoiling’) muda Singapura, Maximilian Maeder, prestasi sentiasa menjadi keutamaan yang mendahului segala-galanya, termasuk mengejar pingat sekalipun.
Atlet berusia 19 tahun ini mungkin antara bakat paling menyerlah dalam sukan tersebut, namun falsafahnya menjelang temasya Sukan SEA kekal mudah.
“Lakukan apa yang anda rasa terbaik untuk persiapan prestasi,” kata atlet itu.
“Kebiasaannya, ia tidak banyak berbeza antara satu kejohanan dengan yang lain.”
Walaupun ini penampilan pertamanya di Sukan SEA, Maeder tidak melihatnya sebagai sesuatu yang luar daripada kebiasaannya.
Bagi dirinya, persiapan bagi temasya itu sama seperti menghadapi mana-mana kejohanan besar – latihan berterusan, kekuatan mental dan rutin yang konsisten.
“Latihan, pendekatan mental yang betul dan rutin yang baik, itulah asas persiapan yang mantap,” kongsi Maeder.
Semasa sidang media di Pusat Pelayaran Nasional pada 5 November, Persekutuan Pelayaran Singapura (SSF) mengumumkan barisan pelayar yang bakal mewakili Singapura di Sukan SEA di Thailand.
Antara mereka ialah Maeder sendiri, bersama Ethan Chia Han Wei (14 tahun); Lo Jun Han Ryan (28 tahun); Jonathan Chan (17 tahun); Elkan Reshawn Oh (20 tahun); John Wong Tze Xiang (17 tahun); Nia Mehry Zahedi (16 tahun); Anya Alessia Zahedi (12 tahun); Ang Jania (21 tahun); Angel Chew (21 tahun); dan Austin Jia Yu Yeo (16 tahun).
Mereka membentuk skuad muda yang penuh potensi, bersedia mengharumkan nama Singapura di pentas serantau.
Ketika ramai atlet muda mungkin terasa tekanan untuk mencipta nama, Maeder tampil tenang.
Jadualnya tahun ini (2025) padat dengan kejohanan bertaraf dunia termasuk Kejohanan Dunia pada Oktober dan Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun pada November.
Semua itu, katanya, sudah menjadi sebahagian daripada proses persiapan Sukan SEA-nya.
“Saya berlumba dan berlatih tanpa henti. Boleh dikatakan menyertai pertandingan juga adalah bentuk persiapan,” katanya.
Sebagai atlet muda, perkembangan pemikirannya dalam menghadapi persaingan amat ketara.
Dahulu, keputusan dan pingat menjadi tumpuannya. Kini, perspektifnya berubah.
“Kadang-kadang anda boleh beraksi dengan sangat baik, tetapi hasilnya tidak memihak kepada anda. Jadi bagi saya, prestasi bukan sekadar keputusan di papan markah,” terangnya.
Falsafah inilah yang kini menjadi tunjang pendekatannya. Namun jangan silap, semangat juangnya tetap tinggi.
Apabila ditanya tentang sasaran pingat, beliau tersenyum.
“Secara jujur, saya sentiasa menyasarkan kemenangan. Itu sudah menjadi matlamat saya dua tahun kebelakangan ini. Berjaya atau tidak, yang penting kita berusaha dan terus menetapkan sasaran tinggi,” kongsi beliau.
Walaupun jadualnya padat dengan latihan dan pertandingan di luar negara, Maeder tetap menjaga keseimbangan hidupnya.
“Kita perlu terima hakikat bahawa kita manusia, bukan mesin,” katanya sambil menekankan pentingnya rehat dalam meningkatkan prestasi.
Waktu lapangnya diisi dengan menyiapkan projek peribadi, meluangkan masa bersama keluarga dan rakan serta melakukan hobinya, antaranya bermain catur.
Walaupun baru berusia 19 tahun, Maeder dianggap antara atlet SSF berpengalaman.
Beliau tidak menganggap dirinya sebagai mentor, namun bersedia membantu sesiapa yang memerlukan.
“Kalau ada yang ingin bertanya, saya akan cuba bantu sedaya upaya,” katanya.
Beliau turut memberi nasihat kepada atlet muda yang bakal membuat penampilan pertama dalam kejohanan sebesar temasya ini.
“Jangan hanya lihat pertandingan semata-mata. Hargai peluang ini, nikmati pengalaman, dan tumpu kepada perkara positif. Apabila anda lakukan itu, anda akan lebih tenang dan prestasi juga akan jadi lebih baik,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg