Perlumbaan untuk menggapai kejuaraan hatrik di Kejohanan Dunia Formula Kite berakhir dengan kekecewaan buat atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder, pada 5 Oktober apabila beliau menamatkan saingan di tempat kedua pada hari terakhir pertandingan itu.
Di pantai Quartu Sant’Elena, Italy, Maeder terlepas pingat emas kepada juara tuan rumah, Riccardo Pianosi, manakala peluncur Perancis, Benoit Gomez, meraih gangsa.
The Straits Times (ST) melaporkan bahawa atlet berusia 19 tahun itu berkata ia merupakan perlumbaan yang menakjubkan namun beliau tetap kecewa dengan keputusan itu.
“Tetapi saya tidak rasa terlalu hampa kerana regata kali ini benar-benar dimenangi dengan baik oleh beliau (Pianosi).
“Saya rasa saya ada peluang tetapi tidak memanfaatkannya… saat-saat seperti inilah yang memberi semangat untuk mencuba lagi, memperbaiki diri, dan memastikan pada perlumbaan seterusnya saya dapat hasil yang lebih baik,” kata Maeder.
Beliau menambah, persaingan amat sengit dan setiap perlumbaan menjadi pertarungan yang rapat, lantas menunjukkan usaha yang telah dicurahkan oleh para peserta untuk terus mempertingkatkan diri.
“Tahun ini (2025), saya tidak jauh daripada menjadi juara – mungkin jika terdapat satu keputusan (berbeza) bagi pesaing lain, atau satu tiupan angin yang berbeza, saya mungkin sudah di hadapan,” tambah beliau.
Pemenang pingat gangsa di Olimpik Paris itu memulakan hari kelima siri pembukaan di tempat keempat selepas prestasi hambar pada hari sebelumnya, yang menyaksikannya ketinggalan di belakang Pianosi, Gian Stragiotti dari Switzerland dan Toni Vodisek dari Slovenia.
Namun, selepas menamatkan perlumbaan ke-16, ke-18 dan ke-19 masing-masing di tempat keempat, kedua dan ketiga pada 4 Oktober, atlet Singapura itu meraih tempat automatik ke pusingan akhir pada 5 Oktober dengan 40.4 mata bersih, sekali gus melonjak ke hadapan Stragiotti (49.0) dan Vodisek (80.0).
Ini bermakna Pianosi, yang layak di kedudukan teratas dengan 39 mata, hanya perlu memenangi satu perlumbaan untuk menjuarai kejohanan itu, manakala Maeder perlu memenangi dua perlumbaan.
Hanya dua peserta teratas dari siri pembukaan boleh mara terus ke pusingan akhir, manakala peluncur di tempat ketiga dan keempat memulakan hari terakhir di peringkat separuh akhir.
Mereka yang berakhir di kedudukan kelima hingga kelapan pula bersaing dalam peringkat suku akhir.
Pada perlumbaan akhir, Maeder telah memberi saingan sengit kepada Pianosi.
Namun, beliau tidak berjaya memintas peluncur tuan rumah itu dan menamatkan perlumbaan hanya beberapa saat di belakangnya. Gomez berada di tempat ketiga, manakala Vodisek tidak menamatkan perlumbaan.
Presiden Persatuan Luncur Lelayang Singapura, Ong Rong Quan, berkata:
“Meskipun tanpa kejuaraan ketiga, musim ini tetap luar biasa bagi Max – termasuk pingat perak di Kejohanan Eropah Remaja dan prestasi konsisten dalam siri perlumbaan antarabangsa.
“Keputusannya tahun ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara peluncur terbaik dunia. Dalam sukan yang ditentukan oleh perbezaan yang begitu kecil, Max menunjukkan kematangan, ketabahan dan semangat untuk terus maju.”
Selain pingat gangsa Olimpik, Maeder turut memiliki dua pingat emas di Kejohanan Dunia – pada 2023 dan 2024 – serta satu perak dalam kejohanan dunia dan satu emas di Sukan Asia Hangzhou 2022.
Pada 2025, Maeder mengekalkan kejuaraan di Regata Trofeo Princesa Sofia dan Kejohanan Eropah Formula Kite.
Namun, beliau tewas kepada Pianosi dalam Kejohanan Minggu Olimpik Perancis pada April dan Kejohanan Eropah Remaja Formula Kite pada Jun.
Menjelang kejohanan dunia kali ini, Maeder bertukar jurulatih daripada Ivica Dolenc – yang membimbingnya sejak beliau berusia 14 tahun – untuk menyertai pasukan Switzerland di bawah bimbingan jurulatih Matthieu Girolet.
Adiknya, Karl, 17 tahun, dan Stragiotti juga merupakan sebahagian daripada pasukan Switzerland itu.
“Saya rasa bertuah dengan perubahan ini kerana bersama Matthieu, saya dapat rasakan semangat berpasukan yang sangat baik, termasuk bersama adik saya dan Gian dalam pasukan,” kata Maeder.
“Saya percaya dalam jangka panjang, ia akan membantu bagi peningkatan berterusan. Saya gemar pendekatan analitik dan kaedah latihan yang lebih sistematik, dan setakat ini ia berjalan dengan sangat baik bersama Matthieu.”
Maeder juga berpeluang berlumba bersama adiknya di Italy.
“Dalam perlumbaan pertama (siri pembukaan), saya tak dapat berhenti untuk menoleh ke belakang kerana beliau berlumba dengan begitu baik. Saya rasa sangat bangga dan gembira untuknya,” kata Maeder.
“Sudah tentu bukan idea yang baik untuk menoleh ke belakang ketika anda sepatutnya fokus ke hadapan, tetapi begitulah betapa saya terlibat secara emosi dengan perlumbaannya.”
Seterusnya, Maeder akan beraksi di Kejohanan Dunia Formula Youth di Portugal dari 26 Oktober hingga 1 November, sebelum membuat penampilan sulungnya di Sukan SEA di Thailand pada Disember.
“Saya sentiasa berlatih dan bersaing di tahap tertinggi dan gembira dapat membuat penampilan pertama di Sukan SEA.
“Sasaran saya ialah untuk memberikan yang terbaik dan saya benar-benar mahu menang,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg