Perubahan teknikal F1 bakal hangatkan cabaran
Gabungan peraturan teknikal baru, casis generasi terkini bentuk semula corak persaingan musim 2026
Formula Satu (F1) kembali membuka tirai musim dengan Grand Prix Australia di Melbourne yang akan berlangsung dari 6 hingga 8 Mac.
Namun musim 2026 bukan sekadar permulaan satu lagi kejuaraan biasa, malah ia menandakan bermulanya era baru dengan perubahan besar dalam sukan tersebut.
Peraturan yang diperbaharui secara menyeluruh, konsep casis generasi baru, unit kuasa yang dikemas kini serta falsafah aerodinamik yang berbeza mengubah landskap persaingan secara ketara.
Dengan pasukan masih menyesuaikan diri dengan sistem hibrid baru itu, beberapa perlumbaan awal berkemungkinan tidak hanya ditentukan oleh kelajuan semata-mata, malah oleh kemampuan menyesuaikan diri, kebolehpercayaan jentera dan kefahaman teknikal setiap pasukan.
Ujian pramusim di Litar Antarabangsa Bahrain dan Litar Barcelona-Catalunya memberikan petunjuk awal tentang prestasi pasukan.
Walaupun begitu, seperti kebiasaan dalam F1, data ujian sering sukar ditafsirkan.
Kebanyakan pasukan lebih memberi tumpuan kepada ketahanan, pengumpulan data dan memahami sistem hibrid baru berbanding mengejar catatan masa terpantas.
Namun, satu pelumba tetap mencuri perhatian.
Pemandu Ferrari, Charles Leclerc, mencatat masa terpantas secara keseluruhan semasa ujian pramusim di Bahrain.
Walaupun masa ujian tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar pada hari perlumbaan, kepantasan Leclerc menunjukkan Ferrari mungkin turut berada dalam kelompok pasukan teratas musim ini.
Perhatian juga tertumpu kepada Mercedes, yang dianggap antara pasukan pilihan menjelang musim baru ini.
Ramai pemerhati percaya unit kuasa baru mereka mungkin memberi kelebihan dari segi kecekapan tenaga dan prestasi.
Pemandu utama mereka, George Russell, berpotensi memanfaatkan kelebihan tersebut terutamanya pada awal musim.
Jika prestasi enjin Mercedes benar-benar sekuat yang dijangkakan, Russell mungkin mampu mengumpul mata penting awal dan mempertahankan kelebihannya.
Namun terdapat juga perbincangan dalam kalangan pasukan pesaing mengenai kesahihan beberapa aspek teknikal enjin tersebut.
Perkara itu menarik perhatian Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan ujian pematuhan tambahan telah dijadualkan pada Ogos.
Jika terdapat isu teknikal yang ditemui, ia boleh memberi kesan besar kepada peluang Mercedes pada separuh kedua musim.
Di kem McLaren pula, tumpuan beralih kepada persaingan dalaman antara Lando Norris dengan Oscar Piastri.
McLaren merupakan antara pasukan paling konsisten sejak beberapa musim lalu dan program ujian mereka menunjukkan persiapan kukuh untuk menghadapi peraturan baru.
Namun persaingan antara dua pemandu itu mungkin menjadi cerita utama sepanjang musim.
Norris muncul juara dunia musim 2025 dengan kelebihan tipis – 423 mata berbanding 421 milik pemandu Red Bull, Max Verstappen.
Namun, beberapa keputusan strategi pasukan yang kontroversi sepanjang musim menimbulkan perdebatan mengenai layanan yang diterima oleh kededua pemandu.
Bagi Piastri, musim 2026 adalah peluang untuk bangkit dan membuktikan kemampuannya.
Dengan permulaan era baru ini, beliau pasti mahu menunjukkan beliau mampu mencabar Norris secara konsisten.
Sementara itu, Verstappen memasuki musim baru dengan motivasi tinggi selepas terlepas gelaran dunia secara tipis musim lepas.
Beliau kelihatan positif selepas sesi ujian pramusim.
“Secara keseluruhan saya sangat gembira. Kereta ini terasa baik dan setakat ini kami tidak menghadapi terlalu banyak masalah,” kata Verstappen, yang sedang mengejar kejuaraan F1 kelimanya.
Jika pembangunan Red Bull berada di landasan betul, Verstappen hampir pasti akan kembali menjadi pencabar utama kejuaraan.
Perlumbaan di Melbourne sering menghasilkan aksi yang tidak dijangka, terutamanya kerana ia berlangsung pada awal musim ketika pasukan masih mencari strategi terbaik untuk kereta mereka.
Ramalan Kejuaraan F1 2026
Juara: Max Verstappen, Red Bull
Tempat kedua: George Russell, Mercedes
Tempat ketiga: Lando Norris, McLaren

