Pertarungan dalaman McLaren untuk gelaran Formula Satu (F1) Grand Prix musim ini sebelum ini dilihat agak mesra dengan sedikit tolak-tarik antara kededua pemandunya – pendahulu Oscar Piastri dengan 336 mata, dan Lando Norris di tempat kedua dengan 314 mata.
Namun, perlumbaan di Singapura pada 5 Oktober memberi petanda pertama bahawa adanya ketegangan yang semakin jelas antara Norris dengan Piastri.
Piastri tidak begitu berpuas hati apabila Norris “melanggar” keretanya pada permulaan perlumbaan, ketika pemandu Britain itu memintas dua kereta dan merampas tempat ketiga daripada Piastri.
Norris sebenarnya dalam proses memotong Piastri, tetapi terpaksa mengelak pelumba Red Bull, Max Verstappen, yang lebih perlahan daripada dijangka di selekoh tersebut.
Keputusan spontan itu menyebabkan kereta Norris menghimpit Piastri – satu kesilapan kecil daripada Norris dalam menilai kelajuan Verstappen.
Namun begitu, Piastri tidak melihatnya sebagai perkara remeh dan terus menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap rakan sepasukannya.
“Itu bukan caranya sebagai rakan sepasukan. Kita okay dengan Lando merempuh saya sebegitu?”
“Kalau satu-satunya cara untuk elak kereta lain adalah dengan melanggar rakan sepasukan sendiri, itu memang satu percubaan mengelak yang teruk,” kata Piastri apabila pasukannya menjelaskan situasi tersebut kepadanya.
Mungkin pandangan Piastri akan berubah selepas menonton semula insiden itu, tetapi ini kali pertama pemandu berusia 24 tahun itu – yang sebelum ini dikenali dengan sifat tenangnya – menunjukkan reaksi sebegitu dalam musim ini.
McLaren sendiri yang mengundang ketegangan antara pelumba mereka, susulan permintaan mereka supaya Piastri memberi laluan kepada Norris di Monza.
Insiden tersebut telah menjejas sedikit sambutan McLaren atas kejayaan mempertahankan kejuaraan konstruktor buat kali kedua berturut-turut.
Ia juga memberi bayangan bahawa baki enam perlumbaan musim ini bakal berlangsung dengan suasana yang lebih tegang.
Walaupun pelumba Mercedes, George Russell, berjaya merangkul kemenangan di Grand Prix Singapura, masih ada beberapa perkara yang membimbangkan pasukannya.
Agak mengejutkan bahawa Russell masih belum menandatangani kontrak baru dengan Mercedes untuk musim 2026 – walaupun ramai menjangkakan ia cuma soal masa.
Sudah beberapa bulan sejak Verstappen mengesahkan beliau tidak akan meninggalkan Red Bull musim depan – namun itu masih belum cukup untuk membuat pengetua pasukan Mercedes, Toto Wolff, memuktamadkan perjanjian dengan Russell.
Sama ada perbincangan tersebut melibatkan soal tempoh kontrak, jumlah hari komitmen media, atau gaji semata-mata – kedudukan Russell kini semakin kukuh.
Beliau sudah pun berada dalam musim terbaik kerjaya F1-nya, dan kemenangan di Singapura hanya mengukuhkan lagi statusnya sebagai pemimpin utama dalam pasukan Mercedes.
Malah, setakat ini beliau telah menang sebanyak mungkin perlumbaan yang boleh dimenanginya dengan jentera sedia ada.
Prestasinya di Singapura memang agak di luar jangkaan – tetapi hujung minggu itu membuktikan bahawa apabila peluang muncul, Russell bersedia mengambil kesempatan sepenuhnya.
Bermula dari petak pertama, perlumbaan yang dikawal rapi, dan pemanduan lancar, beliau menjadikan perlumbaan tersebut kelihatan mudah, seolah-olah ia perlumbaan dari era kegemilangan Mercedes, walaupun ketika itu Russell belum lagi bersama mereka.
Kini, jika pasukan Wolff berjaya bangkit semula, Russell sudah pun menunjukkan bahawa beliau bersedia menggalas tanggungjawab itu.
Tidak lama dahulu, Verstappen sekadar layak di tempat kelapan dan menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan – lebih seminit di belakang keputusan 1-2 McLaren – di Grand Prix Hungary.
Namun sejak itu, segala-galanya berubah: beliau bermula di petak ketiga dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua di Zandvoort, Belanda, sebelum menang dari petak pertama di Monza, Italy, dan Baku, Azerbaijan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg