Srikandi paling muda dalam pasukan silat Sukan SEA 2025, Nur Aniqah Qistina Roslan, mengagumi juara dunia silat, Nurul Suhaila Mohamed Saiful, yang membuat penampilan sulungnya di temasya tersebut pada usia 18 tahun.
Kini, pada usia 17 tahun, Aniqah akan bertanding dalam acara Kelas B buat julung-julung kalinya di temasya serantau itu, mengikuti jejak wira silatnya sambil bersemangat untuk mencorakkan kejayaan sendiri.
Bercakap kepada Berita Minggu (BM), Aniqah berkongsi betapa bermaknanya dapat menerima nasihat daripada Suhaila yang telah mendorongnya sejak awal perkembangannya sebagai pesilat.
“Beliau memberitahu saya bahawa perjalanan itu tidak mudah. Saya perlu berusaha bersungguh-sungguh, sama seperti yang dilakukannya ketika dia sebaya dengan saya,” kongsi Aniqah.
Pelajar Sekolah Sukan Singapura (SSS) itu mengakui berasa sedikit gementar dan ragu-ragu apabila dipilih untuk bertanding di Sukan SEA 2025, memandangkan dia masih pesilat junior pada 2024.
“Saya sangat berbesar hati diberikan peluang ini. Sedangkan tidak ramai mendapat peluang seperti ini, saya berasa sangat bersyukur,” ujar Aniqah.
“Saya dan ibu bapa saya mulanya terkejut apabila saya dipilih, kerana ia sukar untuk menerima peluang seperti ini.”
Seperti Suhaila, Aniqah juga kini turut menjadi inspirasi kepada dua adik lelakinya yang juga bergiat dalam silat.
Aniqah berharap penampilannya di Sukan SEA nanti menjadi “teladan yang baik” untuk mendorong adik-adiknya bekerja keras dan menghargai pengorbanan ibu bapa.
Pencapaian Aniqah sebelum ini mengesahkan potensi dan pemilihannya untuk mewakili Singapura di Sukan SEA.
Pada Oktober 2024, Aniqah menjuarai acara junior kelas ‘D’ di Kejohanan Pencak Silat Asia kelapan di Uzbekistan.
Kemudian, Aniqah meraih pingat perak bagi kededua acara tanding dan seni ganda di Kejohanan Pencak Silat Belia Dunia pada Disember 2024, yang dianggapnya sebagai pencapaian terbesarnya setakat ini.
Baru-baru ini, Aniqah merangkul tempat ketiga bersama di Kejohanan Pencak Silat Asia pada Julai 2025 di Vietnam setelah menjadi pesilat senior.
Tambahan, Aniqah membawa pengalaman memenangi pingat gangsa semasa prapertandingan Sukan SEA pada Oktober 2025, sekali gus memberinya dorongan menjelang temasya sebenar.
Lantas, misi Aniqah untuk cemerlang pada temasya nanti jelas baginya.
“Matlamat saya ialah untuk menang pingat emas dan mengibarkan bendera negara. Namun, paling penting bagi saya ialah saya beraksi dengan sebaik mungkin dan memberikan usaha lebih daripada seratus peratus setiap kali,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg