Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua pesilat muda kini lebih bersedia hadapi cabaran

Bagi Rifqah dan Hanin, Sukan SEA 2025 jadi batu loncatan awal jadi jaguh dunia silat dan kelas tanding
Dec 7, 2025 | 5:30 AM
Ahmad Hanin Abdul Rahim, 19 tahun, sudah memenangi pingat emas di Kejohanan Pencak Silat Asia Kelapan 2024, dan pingat gangsa di Kejohanan Pencak Silat Dunia Kelapan pada tahun sama.
Ahmad Hanin Abdul Rahim, 19 tahun, sudah memenangi pingat emas di Kejohanan Pencak Silat Asia Kelapan 2024, dan pingat gangsa di Kejohanan Pencak Silat Dunia Kelapan pada tahun sama. - Foto BM oleh KHALID BABA

standfirst: Seramai 14 pendekar dan srikandi Silat Singapura akan berangkat ke Thailand untuk bertanding di Sukan SEA 2025. Berita Minggu (BM) memperkenalkan tiga pesilat muda yang bakal beraksi di temasya itu buat julung-julung kalinya. Walaupun usia muda, mereka berpotensi menjadi jaguh silat serantau dan juga antarabangsa.

Ketekunan dan fokus pesilat muda, Ahmad Hanin Abdul Rahim, jelas terserlah apabila ditemui Berita Minggu (BM) menjelang penampilan sulungnya di Sukan SEA 2025.

Dua hari sebelum bertarung, Hanin ‘melenyapkan segala gangguan di sekeliling’ dengan mengulang-ulang lagu tema ikon filem seram Michael Myers daripada filem ‘Halloween’.

“Mendengar melodi yang berulang-ulang ini hilangkan segala gangguan, dan membantu saya fokus, serta menetapkan keadaan minda yang betul,” jelas Hanin, 19 tahun.

Keteguhan sama dipamerkan Rifqah Mursyidah Mistam, 18 tahun, yang sudah menetapkan azam untuk beraksi di Sukan Olimpik 2036 sejak bergiat dalam silat sedekad lalu.

Bagi Rifqah dan Hanin, Sukan SEA 2025 merupakan batu loncatan awal dalam perjalanan menjadi jaguh yang menguasai dunia silat dan kelas tanding masing-masing.

Rifqah berhasrat berdiri di atas podium bagi Sukan SEA 2025, dan menganggap temasya itu sebagai batu loncatan untuk bakal beraksi di Sukan Olimpik 2036.
Rifqah berhasrat berdiri di atas podium bagi Sukan SEA 2025, dan menganggap temasya itu sebagai batu loncatan untuk bakal beraksi di Sukan Olimpik 2036. - Foto BM oleh KHALID BABA

Rifqah telah berazam mahu mewakili Singapura sejak berjinak-jinak dalam pencak silat pada usia lapan tahun, bersama dua abangnya.

“Saya teruja dan berbesar hati... Berdiri di podium, bertarung di sisi juara dan mengibarkan bendera negara menjadi detik yang membanggakan buat saya,” kata Rifqah.

Antara pembakar semangatnya untuk tekad berjuang sejauh ini ialah matlamat jangka panjang untuk beraksi di Sukan Olimpik 2036, dengan sukan silat bakal dipertandingkan buat kali pertama di temasya dunia itu.

Rifqah berkata: “Saya mahu menjadi yang terbaik dalam kategori tanding saya dan membangunkan nama saya sendiri dalam sukan ini.

“Hanya selepas memenangi emas di Sukan SEA, kejohanan Asia dan kejohanan dunia, menguasai segala-galanya, barulah saya akan berasa puas...”

Beliau telah mengasah bakatnya di peringkat antarabangsa, seperti merangkul pingat perak di Kejohanan Pencak Silat Asia Kesembilan 2025.

Hanin mula bergiat dalam silat pada usia 11 tahun dan bersyukur selalu menerima sokongan ayahnya dalam setiap langkahnya sebagai atlet.
Hanin mula bergiat dalam silat pada usia 11 tahun dan bersyukur selalu menerima sokongan ayahnya dalam setiap langkahnya sebagai atlet. - Foto-foto BM oleh KHALID BABA

Bagi Hanin pula, peluang mewakili negara di pentas Sukan SEA menimbulkan emosi yang berbeza.

Pemegang Biasiswa Kecemerlangan Sukan (Spex) kohort 2025 itu berkata:

“Saya tidak rasa begitu gementar kerana saya sudah menyasarkan detik ini sejak mewakili skuad negara pada 2011... Saya telah bekerja keras buat masa lama dan mengambil kira semua senario yang boleh berlaku menjelang Sukan SEA.

“Saya mahu menang setiap kejohanan sekurang-kurangnya dua kali, saya mahu merangkul semuanya.”

Sejauh ini, Hanin mempunyai permulaan yang menggalakkan demi mencapai matlamat tersebut.

Beliau telah memenangi pingat emas di Kejohanan Pencak Silat Asia Kelapan 2024, selain pingat gangsa di Kejohanan Pencak Silat Dunia Kelapan pada tahun yang sama.

Namun, beliau perlu bergelut dengan pelbagai cabaran menjelang temasya Sukan SEA 2025.

Pingat gangsa di kejohanan dunia, yang dianggapnya sebagai satu kekalahan, masih segar dalam minda Hanin.

“Itu kali pertama dalam masa yang agak lama saya perlu bergelut dengan rasa pahit kekalahan, ia detik yang mencabar bagi saya,” kongsi Hanin.

Lantas, beliau berazam bangkit daripada kekalahan itu dengan menunjukkan prestasi cemerlang di Sukan SEA nanti.

Sementara itu, Rifqah turut bersikap lebih teguh selepas mengharungi kekecewaannya di Kejohanan Asia 2025 dan di Kejohanan Dunia pada 2024, dengan menyasarkan tempat tiga teratas bagi Sukan SEA nanti.

Rifqah berkata: “Saya yakin saya boleh mencapainya.”

“Pengalaman bersaing di prapertandingan Sukan SEA baru-baru ini turut memperkenalkan saya kepada kemahiran bakal lawan... Saya lebih bersedia dan yakin untuk beraksi nanti,” tambahnya.

Sementara itu, mengimbangi tuntutan sebagai atlet negara dan pelajar juga membawa pelbagai cabaran bagi dua pesilat muda itu.

Rifqah, pelajar Sekolah Sukan Singapura (SSS), berkata: “Mengimbangi tugas sekolah, latihan silat, merantau ke luar negara demi mencapai impian sangat membebankan.”

“Saya bersyukur mempunyai sokongan kuat daripada SSS untuk melaksanakan pelbagai tanggungjawab tersebut.”

Bagi Hanin pula, pelajar Politeknik Republic (RP) dalam jurusan Sonic Arts, beliau perlu mengharungi cabaran menjalani masa latihan dalam industri sambil menjalani latihan silat.

Hanin turut berkongsi bahawa sokongan daripada rakan sepasukannya seperti Dhani Andika Razali, telah membantunya mengekalkan prestasi tinggi dalam persiapannya.

Menjelang temasya Sukan SEA, Hanin dan Rifqah berkata mereka semakin merasakan tekanan. Namun, mereka tetap berani berdepan bakal lawan di gelanggang tanding nanti di Impact Arena, Bangkok, mulai 13 Disember.

Hanin berkata: “Saya memang rasa tertekan, tetapi saya rasa itu bagus kerana ia mendorong saya bertanding dengan lebih fokus.”

Rifqah pula berkata: “Siapa tak rasa gementar, lagi-lagi ini kali pertama saya bertanding (di Sukan SEA) dan berdepan dengan ahli media. Namun, saya akan kekal tenang dan menghasilkan persembahan yang terbaik.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg