PARIS: Petinju wanita Algeria, Imane Khelif, salah seorang daripada dua petinju yang terlibat dalam tengkarah jantina di Sukan Olimpik Paris 2024, menyatakan pada 6 Ogos bahawa beliau ingin melupakan tengkarah itu dan membanggakan Algeria dan dunia Arab.
Khelif mempamerkan persembahan amat baik semasa menewaskan pencabarnya, Janjaem Suwannapheng dari Thailand, untuk mara ke pusingan akhir pertarungan kelas welter itu di hadapan ramai penyokong Algeria di gelanggang Philippe Chatrier.
Penyokong yang mengibarkan bendera Algeria dan selendang bersorak gembira apabila pengadil mengisytiharkan Khelif sebagai pemenang.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai tengkarah itu,” kata Khelif kepada pemberita.
Walaupun bukan dilahirkan sebagai wanita, Khelif mempunyai perbezaan dalam perkembangan seksual (DSD), satu keadaan yang menyebabkan banyak perdebatan mengenai kelayakannya untuk bersaing dalam tinju wanita.
Khelif, pemenang pingat perak dalam Kejohanan Dunia 2022, dan seorang lagi petinju dari Taiwan, Lin Yu-ting, menjadi tumpuan di Sukan Olimpik Paris ini kerana penyertaan mereka yang penuh kontroversi dan menjadi tajuk berita, serta menjadi topik perbincangan di wadah media sosial.
Pada 2023, Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) membatalkan penyertaan Khelif dan Lin dalam Kejohanan Dunia 2023 di New Delhi.
Dalam satu sidang akhbar, persatuan itu menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas ujian kromosom seks terhadap kededua petinju itu menunjukkan mereka tidak layak menyertai kejohanan itu.
Namun kini Khelif dan Lin dibenarkan bertanding dalam Sukan Olimpik 2024 selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) melucutkan status IBA sebagai badan pentadbir Sukan Olimpik pada 2023 dan mengawal sendiri penganjuran sukan tinju di Paris.
IOC menolak hasil ujian yang diarahkan IBA terhadap kededua petinju itu sebagai “dibuat secara sewenang-wenangnya dan tidak sah”, sambil menambah tiada sebab ujian itu perlu dilakukan.
Bagi Sukan Olimpik di Paris, IOC menggunakan peraturan kelayakan acara tinju yang digunakan bagi Sukan Olimpik 2016 dan 2021 yang tidak memerlukan ujian jantina.
Namun, bagi Khelif, segalanya adalah mengenai sukan tinju.
“Semua orang, penonton yang dipenuhi peminat saya dan semua warga Algeria dan dunia Arab pasti berbangga.
“Saya harap saya juga dapat membanggakan mereka dalam pertarungan akhir saya itu nanti,” katanya.
Presiden Algeria, Encik Abdelmadjid Tebboune, menulis di X:
“Terima kasih, Imane, kerana menggembirakan semua warga Algeria, dengan persembahan kukuh dan mengagumkan untuk layak ke pertarungan akhir.
“Perkara terpenting telah dicapai, dan insya-Allah (anda) akan dinobatkan dengan (pingat) emas. Semua warga Algeria bersama anda.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg