Pasukan bola sepak wanita Singapura menempah tempat di separuh akhir Piala Wanita Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), selepas kemenangan 3-1 menentang Malaysia dalam peringkat kumpulan pada 16 Julai.

Kemenangan itu membawa Singa wanita – berada di kedudukan ke-151 dunia dan sebelum ini seri 1-1 menentang Laos pada 10 Julai – ke tempat teratas Kumpulan A dengan empat mata, manakala Laos merangkul tempat terakhir untuk separuh akhir selepas mendapat tempat kedua dengan dua mata.

Kemenangan itu turut menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa kemenangan Singa wanita menentang Malaysia, yang berada di kedudukan ke-95 dunia.

Kali terakhir Singapura menewaskan Malaysia adalah menerusi kemenangan 1-0 dalam saingan kelayakan Piala Asia pada 2007.

Di Stadium Kuala Lumpur, Singapura mendahului pada minit ke-13 menerusi Yuvika Suresh, yang memanfaatkan sentuhan lemah penjaga gol Malaysia, Asma Junaidi, daripada hantaran melintang Mulan Ayliffe untuk menjaringkan gol dari jarak dekat.

Singapura menggandakan kelebihan mereka sejurus sebelum separuh masa, apabila Nur Sarah Zu’risqha memintas bola di tengah padang dan menghantarnya melepasi pertahanan Malaysia kepada Danelle Tan, yang menjaringkan gol dengan yakin untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Namun pada minit ke-59, Malaysia pula menjaringkan gol.

Hantaran Nur Ainsyah dari sebelah kiri sampai kepada Henrietta Justine, dan rembatan kaki kirinya menghasilkan jaringan gol. 

Namun Tan memulihkan kelebihan dua gol Singapura pada minit ke-73, apabila dengan tenang menjaringkan sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh Asma. 

Singapura akan menentang naib juara Kumpulan B, Indonesia, dalam separuh akhir pada 19 Julai, manakala Laos akan menentang juara Kumpulan B, Cambodia, untuk menempah tempat di perlawanan akhir.

Tiga pasukan teratas dalam Piala AFF Wanita akan layak ke Kejohanan Wanita Asean.