MANCHESTER: Manchester United tewas 3-0 di laman sendiri di tangan Newcastle United pada pusingan keempat Piala Carabao apabila permulaan buruk mereka musim ini berterusan pada awal pagi Khamis.
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, kelihatan merah padam apabila pasukannya diejek ketika keluar padang dan pengendali dari Belanda itu semakin tertekan selepas kecundang 3-0 kepada Manchester City di Old Trafford Ahad lalu dalam perlawanan liga.
Newcastle mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi gol Miguel Almiron dan Lewis Hall sebelum mengukuhkan cengkaman mereka menerusi Joe Willock untuk mara ke suku akhir.
Newcastle mendahului apabila Almiron meledak masuk pada minit ke-28 selepas Tino Livramento memenangi bola dan mengumpan kepada pemain dari Paraguay itu yang berjaya mengatasi penjaga gol Andre Onana.
Hall menggandakan kedudukan lapan minit kemudian, merembat voli ke penjuru gol selepas benteng pertahanan United gagal mengeluarkan bola dengan sempurna dan kekecewaan bertambah buat penyokong tuan rumah apabila Willock menambah gol ketiga sejam kemudian.
Manchester United tewas lapan daripada 15 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan – pencapaian terburuk sejak tahun 1972.
Sementara itu, West Ham United menyingkir Arsenal dengan kemenangan 3-1 menerusi gol Mohammed Kudus dan Jarrod Bowen serta gol sendiri pemain pertahanan Ben White di Stadium London.
Martin Odegaard membalas satu gol pada minit ke-96 tetapi ia sudah terlambat bagi pelawat untuk membuat sebarang kebangkitan.
Cody Gakpo dan Darwin Nunez pula menyumbang gol bagi membantu juara sembilan kali Liverpool menang 2-1 di Bournemouth. Gol Nunez adalah yang ketiga buatnya dalam tiga perlawanan terakhir bersama The Reds.
Chelsea menundukkan Blackburn Rovers 2-0, Everton mengetepikan Burnley 3-0 manakala Fulham menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Ipswich Town 3-1.
Kelab divisyen tiga Port Vale, yang mengalahkan Mansfield Town, menjadi pasukan dengan ranking paling rendah yang masih bersaing.
Kelab Liga Kejuaraan Middlesbrough turut layak ke pusingan lapan terakhir selepas menang 3-2 ke atas Exeter City. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg