Daripada pemain muda berusia tujuh tahun hinggalah veteran berusia lebih 50 tahun, kejohanan bola sepak Piala Fandi Ahmad 2026 yang julung kali diadakan pada 25 Julai membuktikan bahawa bola sepak mempunyai keupayaan untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai lapisan kehidupan.

Kejohanan selama dua hari yang berlangsung di SkyPark Arena@Holland itu menghimpunkan 67 pasukan membabitkan sekitar 450 pemain, bersama ahli keluarga dan penyokong mereka dalam satu sambutan semangat kesukanan dan kemasyarakatan.

Lebih daripada sekadar pertandingan, legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, berkata kejohanan itu menyatukan pemain daripada pelbagai generasi, kerjaya dan latar belakang yang berkongsi minat yang sama terhadap bola sepak.

Ketika ditemui di acara tersebut, Fandi berkata bola sepak mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mampu merapatkan jurang dalam masyarakat tanpa mengira usia mahupun latar belakang seseorang.

”Bola sepak menyatukan kita. Bagi saya, itu yang paling penting. Selain membantu melahirkan pemain bola sepak masa depan, ia juga mengeratkan pergaulan antara pasukan dengan masyarakat,” katanya.

Dianjurkan oleh Stonebridge Collective, Piala Fandi Ahmad 2026 bermula dengan edisi belia pada 4 Julai lalu yang menghimpunkan pemain bawah 14 tahun sebelum diteruskan dengan kejohanan utama pada 25 Julai.

Acara bola sepak masyarakat itu bertujuan meraikan warisan bola sepak Singapura sambil memberi inspirasi kepada generasi baharu menerusi semangat kesukanan, kerja berpasukan dan persaingan sihat.

Pada 25 Julai, para peserta turut berpeluang berinteraksi dengan Fandi yang hadir sepanjang acara untuk bertemu pemain, menyampaikan hadiah serta meraikan semangat bola sepak akar umbi bersama keluarga dan penyokong.

Fandi berkata kejohanan seperti itu bukan sahaja membuka ruang kepada pemain muda menggilap bakat, malah menjadi batu loncatan untuk membina disiplin, keyakinan diri dan hubungan yang lebih erat dalam komuniti bola sepak.

“Kalau mereka mahu berjaya, mereka mesti ada disiplin, dedikasi, keazaman dan sanggup berkorban. Bakat sahaja tidak mencukupi. Mereka perlu bekerja keras dan sentiasa berfikiran positif,” kata bapa kepada lima anak itu.

Pengasas Stonebridge Collective, Arabad Ibrahim, berkata penganjuran Piala Fandi Ahmad bukan sekadar bertujuan mengadakan pertandingan bola sepak, tetapi mewujudkan sebuah platform yang meraikan warisan bola sepak Singapura sambil mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.

“Bola sepak sentiasa menjadi sukan yang menyatukan masyarakat. Melalui acara seperti ini, kami mahu menyediakan ruang untuk orang ramai berkumpul, berkenalan dan meraikan minat yang sama terhadap sukan ini. Kehadiran Fandi Ahmad juga memberi peluang kepada peserta bertemu, mendapatkan inspirasi dan mendengar sendiri pengalaman daripada ikon bola sepak negara,” katanya.

Menurut beliau, antara perkara yang paling menggembirakan ialah melihat peserta daripada pelbagai latar belakang hadir bersama keluarga masing-masing bagi memeriahkan kejohanan itu.

”Daripada kanak-kanak berusia tujuh tahun hinggalah peserta berusia lebih 50 tahun, kami melihat mereka datang bersama keluarga, bergaul dan bersaing dalam suasana yang positif.

“Peserta juga terdiri daripada pelbagai latar belakang, daripada penjawat awam hinggalah usahawan. Inilah semangat komuniti yang kami ingin bina menerusi bola sepak,” kata Arabad.

Laporan berkaitan
PM Wong: Tahniah Singa!Jul 25, 2026 | 1:30 PM