Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Piala Lion City kembali, bakal tampilkan Tokyo Verdy FC

Sep 6, 2024 | 6:52 PM
Pasukan Pusat Pembangunan Nasional (NDC) Bawah 15 tahun Singapura meraikan jaringan gol ketika menentang pasukan Selangor pada Piala Lion City 2023.
Pasukan Pusat Pembangunan Nasional (NDC) Bawah 15 tahun Singapura meraikan jaringan gol ketika menentang pasukan Selangor pada Piala Lion City 2023. - Foto fail

Piala Lion City (LCC), kejohanan bola sepak remaja utama Singapura, akan kembali bagi edisi ke-28 pada Oktober 2024.

Dijadualkan berlangsung selama dua hari pada 4 dan 6 Oktober, kejohanan kali ini akan mempamerkan bola sepak mendebarkan daripada pasukan gergasi serantau seperti Tokyo Verdy FC, yang akan ditampilkan dalam pertandingan itu.

Ia diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu kenyataan akhbar pada 6 September.

Selain Tokyo Verdy FC, yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini buat kali pertama, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) juga akan membuat penampilan sulung mereka.

Juara Piala Lion City edisi 2023, BG Pathum United dari Thailand, dan pasukan tuan rumah Bawah 16 tahun Singapura akan melengkapi kejohanan empat pasukan itu.

Pada edisi 2023, BG Pathum United muncul sebagai juara apabila mengalahkan pasukan Pusat Pembangunan Nasional (NDC) Bawah 15 tahun Singapura menerusi penentuan sepakan penalti.

Selepas hampir menggenggam Piala Lion City pada 2023, ketua jurulatih Pasukan Lelaki Bawah 16 tahun Singapura, Angel Toledano, yang membimbing pasukan itu pada edisi 2023, berasa optimistik bagi kejohanan kali ini.

“Matlamat kami dalam setiap perlawanan dengan mengenakan jersi kebangsaan adalah untuk bersaing dan mencuba sedaya upaya untuk menang.

“Saya percaya kepada pemain dan kakitangan teknikal, dan saya pasti kami akan pamerkan persembahan baik agar penyokong dapat menikmati perlawanan kami di LCC,” katanya.

Beliau menambah bahawa kejohanan itu adalah peluang hebat buat pemain menentang pasukan kuat dari luar negara.

Ini dapat membantu mereka dalam membuat persiapan bagi Kelayakan Piala Asia Bawah 17 tahun pada penghujung Oktober.

“Dengan pasukan seperti Tokyo Verdy, JDT dan BG Pathum, kami jangkakan tahap persaingan hebat yang akan manfaatkan pertumbuhan dan perkembangan pemain kami,” ujarnya.

Sentimen itu turut dikongsi Jurulatih BG Pathum, Chatree Chimtalay, yang berterima kasih kepada FAS atas jemputan untuk kejohanan ini.

Beliau berkata persaingan kompetitif akan “membantu kami mengenal pasti kekuatan dan bidang untuk penambahbaikan”.

Diasaskan pada 1977, Piala Lion City telah diadakan untuk memupuk dan bangunkan bakat muda bola sepak, menarik pasukan remaja kebangsaan dan skuad pembangunan dari seluruh dunia.

Juara Piala Lion City pada 1977 ialah pasukan Bawah 16 tahun Singapura yang menampilkan Fandi Ahmad, yang kemudian menjadi pemain bola sepak paling berjaya di Singapura.

Edisi 2024 akan bermula pada Jumaat, 4 Oktober 2024 di Stadium Jalan Besar, dengan Tokyo Verdy berdepan JDT pada 5 petang dan Singapura Bawah 16 tahun menentang BG Pathum pada 8 malam.

Pemenang kededua perlawanan akan beraksi di perlawanan akhir pada Ahad, 6 Oktober, pada 8 malam, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga juga akan berlangsung pada hari sama pada 5 petang.

Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Jalan Besar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg