Topik diikuti
Pergi ke BHkuPikul misi satukan masyarakat pelari di Maraton Antarabangsa S’pura BYD 2026
Tidak setakat tumpu matlamat peribadi dapatkan semula kecergasan, kini berharap dapat bantu orang lain temui keyakinan diri dan kegembiraan melalui sukan, khususnya larian
Pikul misi satukan masyarakat pelari di Maraton Antarabangsa S’pura BYD 2026
Daripada hanya menumpukan pada perjalanan peribadinya untuk mendapatkan semula kecergasan, Nura Keaf kini berharap dapat membantu orang lain menemui keyakinan diri dan kegembiraan melalui sukan, khususnya larian.
Sebagai Ketua Masyarakat bagi Maraton Antarabangsa Singapura (SGIM) BYD 2026, yang akan berlangsung dari 4 hingga 6 Disember 2026, beliau mahu perlumbaan ini menjadi lebih daripada sekadar platform untuk menguji ketahanan fizikal.
Beliau juga berharap acara ini dapat menyatukan pelari daripada pelbagai latar belakang serta memastikan setiap peserta berasa dialu-alukan dan diraikan.
Aspirasi ini berkait rapat dengan perjalanan peribadinya sendiri.
Pada 2021, selepas mula melangkah ke alam pekerjaan, bekas kapten pasukan polo air Politeknik Temasek mengalami peningkatan berat badan sebanyak 20 kilogram (kg) dalam tempoh setahun, sehingga beratnya melebihi 90kg.
Tekanan berkaitan kerja dan kecenderungannya menjadikan makanan sebagai cara untuk menangani tekanan secara beransur-ansur menjauhkannya daripada tahap kecergasan yang pernah dinikmatinya suatu ketika dahulu.
Satu detik yang menyedarkannya ialah apabila beliau tidak lagi dapat memakai seluar renang yang dimilikinya sejak zaman menjadi kapten pasukan polo air di politeknik tersebut.
Daripada situ, beliau mula berusaha mendapatkan semula kecergasan diri.
Pada mulanya, Keaf memilih untuk ke gim dan mengangkat berat.
Komitmennya begitu tinggi sehingga sanggup bangun seawal 5 pagi sebelum bekerja, malah sekitar 2 pagi pada Ramadan, untuk bersenam sebelum bersahur.
Namun, beliau mengakui latihan mengangkat berat bukanlah sesuatu yang benar-benar diminatinya.
Minat terhadap sukan ketahanan mula berkembang apabila beliau mencuba larian pada 2023. Pada peringkat awal, Keaf terikut-ikut dengan trend di media sosial, termasuk berlari sejauh lapan hingga 10 kilometer (km) setiap hari.
Pendekatan itu akhirnya memakan diri apabila beliau mengalami kecederaan, mudah jatuh sakit, selain berdepan masalah selera makan dan tidur.
Pengalaman tersebut mengajarnya bahawa kecergasan bukan tentang meniru pencapaian orang lain atau mengejar angka pada penimbang semata-mata.
Sebaliknya, beliau perlu memahami kemampuan tubuh sendiri dan menikmati proses membina kecergasan secara berperingkat.
Keaf kemudian menyertai Singapore Army Half Marathon pada 2023 sebelum melengkapkan maraton penuh pertamanya di Sydney pada 2024.
Namun perjalanannya bukan tanpa cabaran.
Ketika larian separuh maraton pertamanya, kakinya terasa berat sekitar kilometer ke-12 sehingga beliau terfikir untuk berhenti.
Pada SGIM 2025 pula, beliau mengalami keletihan melampau seawal kilometer ke-17.
Namun, sorakan dan kata-kata semangat daripada pelari lain membantunya meneruskan larian.
Bagi Keaf, pengalaman itu menggambarkan keistimewaan masyarakat larian di Singapura.
Beliau menyamakan suasananya dengan sambutan Hari Raya, apabila orang ramai saling menyapa, bertanya khabar dan memastikan satu sama lain berada dalam keadaan baik.
Semangat kebersamaan itulah yang kini mahu dibawanya ke peranan lebih besar dalam masyarakat larian.
Penglibatan bersifat masyarakat Keaf bermula pada 2023 beliau diundang menjadi hos media sosial bagi Standard Chartered Singapore Marathon.
Ketika itu, beliau baru menyertai masyarakat larian sekitar beberapa bulan sahaja.
Namun, hubungan yang dibina dengan pelari dan penganjur membuka lebih banyak peluang untuknya terlibat dalam acara sukan lain.
Daripada menjadi hos media sosial kepada membantu membangunkan masyarakat, Keaf berkata peranan itu berkembang secara semula jadi melalui kepercayaan dan hubungan yang dibina selama ini.
Beliau menganggarkan telah terlibat dalam sekitar lebih 14 acara, termasuk Standard Chartered Singapore Marathon, HYROX, kejohanan dunia bola keranjang 3x3, acara larian New Balance dan pelancaran kasut ASICS.
Bagi Keaf, membangunkan masyarakat bukan sekadar mengumpulkan ramai individu dalam satu acara.
Ia juga bermaksud memastikan mereka mempunyai sebab untuk terus kembali dan berasa bahawa kehadiran mereka membawa makna.
Prinsip itu turut mempengaruhi cara beliau melihat peranan masyarakat Melayu dalam sukan.
Beliau percaya semangat gotong-royong dan kebersamaan yang sudah lama menjadi sebahagian daripada masyarakat Melayu boleh diterjemahkan ke dalam budaya larian.
Dalam usaha menjadikan sukan ini lebih inklusif, kemudahan untuk menunaikan solat juga menjadi antara perkara yang mahu diberi perhatian.
Menurut Keaf, ruang solat sebenarnya sudah disediakan pada edisi terdahulu, tetapi maklumat mengenainya tidak disampaikan dengan secukupnya kepada peserta.
Tahun ini (2026), penganjur mahu memastikan lokasi dan waktu kemudahan itu lebih mudah diakses, dengan mengambil kira kedudukan pelari pada waktu solat.
Sebagai contoh, ruang solat dirancang di sekitar kilometer ke-15 bagi mengambil kira peserta yang bergerak lebih perlahan dan mungkin tiba kira-kira 90 minit selepas perlumbaan bermula.
Kemudahan seterusnya turut dirancang untuk memenuhi keperluan pelari yang lebih pantas.
Keaf menegaskan bahawa ruang tersebut perlu benar-benar sesuai untuk berwuduk dan menunaikan solat, bukannya sekadar menyediakan ruang sahaja.
Dua zon makanan juga akan diperkenalkan di laluan perlumbaan buat kali pertama.
Keaf berkata pihak penganjur pada awalnya meneliti beberapa pilihan makanan mudah, tetapi perlu memastikan pilihan yang disediakan memenuhi keperluan halal.
Bagi Keaf, kejayaan acara SGIM BYD tidak seharusnya diukur melalui rekod atau jumlah peserta yang berjaya menamatkan perlumbaan sahaja.
Lebih penting, beliau mahu setiap orang – sama ada pelari berpengalaman, peserta kali pertama atau mereka yang sekadar mahu mencuba – pulang dengan perasaan bahawa mereka sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar.