Topik diikuti
Pergi ke BHkuLumba basikal sambil jadi ‘duta budaya’ berbaju Melayu
Lumba basikal sambil jadi ‘duta budaya’ berbaju Melayu
Lumba basikal sambil jadi ‘duta budaya’ berbaju Melayu
Di atas laluan basikal yang panas dan berliku di The Kallang, tiga lelaki tidak sekadar mengayuh untuk menamatkan perlumbaan, tetapi melakukannya dalam baju Melayu lengkap dengan kain samping.
Menurut ketiga-tiga peserta itu, di situlah timbulnya paradoks, di mana pakaian tradisional yang penuh adab bertembung dengan dunia perlumbaan yang kompetitif dan penuh adrenalin.
Namun bagi mereka, itulah tujuannya pada 9 Mei semasa Kejuaraan Dunia Brompton yang dianjurkan sempena OCBC Cycle 2026 – acara berbasikal selama dua hari yang menampilkan pelbagai perlumbaan.
Mengikut tradisi, para peserta dari negara berbeza bersatu dan mengenakan kostum kreatif untuk mengambil bahagian dalam Kejuaraan Dunia Brompton.
Bagi salah seorang daripada tiga peserta yang berpakaian baju Melayu, Encik Mohamad Muslim Zainal Azhar, 35 tahun, pilihannya untuk berpakaian baju putih dengan samping merah bukan sekadar soal gaya.
“Ia adalah cara untuk saya cuba membawa budaya Melayu ke ruang yang lebih luas.
“Saya nak tunjukkan pakaian tradisional Melayu kepada penonton antarabangsa,” jelas beliau, yang pernah memenangi Anugerah Pakaian Terbaik pada edisi 2022 Kejuaraan Dunia Brompton.
Format perlumbaan kejuaraan itu memerlukan peserta berlari dari garisan permulaan ke basikal lipat Brompton, membukanya, dan kemudian mula mengayuh sejauh 800 meter sebanyak lima pusingan.
Bagi Encik Muslim, warga Malaysia yang tinggal di Johor dan bertugas sebagai pekerja gudang di Singapura, konsep mengayuh sambil berpakaian baju Melayu bukan sesuatu yang asing.
Malah, beliau mempunyai pengalaman serupa dalam satu pertandingan di Kuala Lumpur dahulu, lantas beliau cukup selesa mengayuh dalam pakaian tradisional.
Namun bagi Encik Glen Copsey, yang berasal dari United Kingdom, pengalaman itu tidak semudah yang disangka.
Beliau yang kini sudah menetap di Singapura selama 40 tahun dan mendirikan rumah tangga dengan wanita Melayu di sini selama 18 tahun, memilih baju Melayu merah dan samping kerana baginya, itu adalah definisi “berpakaian segak”.
“Saya memang mahu pakai songkok, tetapi tak boleh kerana perlu pakai helmet,” kata Encik Glen, 51 tahun, sambil ketawa.
Kain samping yang dipakainya beberapa kali tersangkut pada tempat duduk basikal ketika beliau cuba menaikinya dari belakang, memaksanya menukar teknik dan naik dari hadapan.
“Cuaca lembap dan panas di Singapura membuat saya basah kuyup sebelum perlumbaan bermula,” tambah beliau, seorang pengurus di sebuah lembaga berkanun.
Namun, Encik Glen berkata setiap kesukaran terasa berbaloi tatkala orang ramai memberi sorakan dan senyuman sepanjang masa beliau berbasikal.
Berbeza pula kisah Encik Mohamad Syamsir Nurdin, 39 tahun, yang tersilap mendaftar untuk menyertai Kejuaraan Dunia Brompton, sedangkan niatnya adalah untuk menyertai perlumbaan santai pada 10 Mei.
Encik Syamsir, warga Malaysia yang kini menetap di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai jurutera, berkata beliau hanya menyedari kesilapan itu beberapa hari sebelum perlumbaan itu.
“Saya tak bersedia untuk perlumbaan yang lebih serius ini, jadi saya tumpukan fokus kepada Anugerah Pakaian Terbaik.
“Itulah yang mendorong saya untuk memakai baju Melayu,” terangnya.
Encik Syamsir, yang memakai baju Melayu berwarna coklat, berkata samping songket yang dipakainya di pinggang terpaksa dilipat, dijadikan seperti selendang, dan disandang di bahu agar lebih mudah mengayuh.
Keputusan spontan itu akhirnya membawa tuah kerana beliau dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pakaian Terbaik, membawa pulang baucar kedai Brompton Junction bernilai $300.
“Selepas perlumbaan, saya tidak sekadar bergambar bersama peserta dan penyokong, tetapi seolah-olah menjadi duta tidak rasmi untuk budaya Melayu.
“Ramai orang, terutamanya peserta antarabangsa, ingin tahu baju Melayu itu apa dan saya dengan rela hati menjelaskannya kepada mereka,” ujar Encik Syamsir.
