Topic followed successfully
Go to BHkuFifa berdepan cabaran logistik jika Iran beraksi di luar AS
Fifa berdepan cabaran logistik jika Iran beraksi di luar AS
Persiapan telah dilakukan bagi semua pasukan, keputusan di tangan Fifa
Fifa berdepan cabaran logistik jika Iran beraksi di luar AS
Permintaan Iran untuk bermain perlawanan Piala Dunia di luar Amerika Syarikat telah menyebabkan pasukan, penganjur, dan peminat berada dalam keadaan tidak menentu.
Tidak pernah sebelum ini sebuah negara tuan rumah Piala Dunia berada dalam keadaan konflik bersenjata dengan negara yang mengambil bahagian, dan permintaan Iran itu telah mewujudkan satu masalah rumit bagi penganjur kejohanan tersebut Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Iran telah meminta untuk memulakan perlawanan mereka di negara tuan rumah bersama, Mexico, dan bukannya di Amerika.
Piala Dunia 2026 bakal berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika, Canada dan Mexico.
Namun, perkara itu menimbulkan cabaran logistik yang sukar diatasi dalam tempoh yang singkat sebelum kejohanan bermula, dan Fifa setakat ini enggan mempertimbangkan perubahan jadual pada saat-saat akhir.
Sebelum ini, perlawanan telah dipindahkan atau dibatalkan akibat peperangan, sekatan, atau boikot.
Namun, badan induk bola sepak dunia itu mempunyai mandat yang tegas untuk menjauhi politik.
Presiden Fifa, Gianni Infantino, menyatakan bahawa semua pasukan yang layak, termasuk Iran, dijangka hadir untuk perlawanan mereka.
Selepas memberi isyarat penyertaan Iran di Piala Dunia amat dialu-alukan meskipun berlaku peperangan, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengubah pendiriannya pada Mac dengan menyatakan adalah tidak wajar untuk Iran hadir “demi keselamatan dan nyawa mereka sendiri”.
Sebagai respons, ketua Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, berkata pasukan Iran tidak akan melakukan perjalanan ke Amerika.
Menteri Sukan Iran, Encik Ahmad Donyamali, pula menyatakan bahawa penyertaan adalah mustahil berikutan serangan udara oleh Amerika dan Israel ke atas negaranya.
Duta Iran ke Mexico telah meminta agar perlawanan awal Iran dipindahkan dari Los Angeles dan Seattle ke Mexico, dan Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, berkata negaranya bersedia menjadi tuan rumah bagi perlawanan tersebut.
Secara lumrahnya, Fifa boleh melakukannya namun Fifa secara rasmi telah menolak permintaan itu pada 17 Mac dengan menyatakan pihaknya mahukan semua pasukan bertanding mengikut jadual perlawanan yang diumumkan pada Disember 2025.
Tiket bagi perlawanan Iran di Los Angeles dan Seattle juga telah pun dijual, dan perlawanan tersebut telah dianugerahkan kepada beberapa bandar tuan rumah tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Oleh itu, ia akan dilihat sebagai tidak adil untuk membatalkan perlawanan tersebut di dua bandar itu yang telah lama membuat persiapan.
Sekiranya perlawanan peringkat kumpulan Iran dipindahkan, ia hampir mustahil untuk mengelakkan mereka daripada bermain di Amerika pada pusingan kalah mati.
Fifa boleh mengekalkan jadual semasa, memaksa Iran untuk mengambil keputusan sama ada untuk pergi ke Amerika atau melepaskan tempat mereka dalam Piala Dunia, atau Fifa boleh campur tangan secara langsung untuk menggantung atau mengecualikan Iran.
Langkah itu hanya dibenarkan atas sebab keselamatan, kerana peraturan Fifa menghendaki pertubuhan itu mengekalkan ketegasan neutral politik dalam semua keputusannya.
Infantino telah bertemu dengan pasukan bola sepak kebangsaan Iran menjelang perlawanan persahabatan mereka menentang Costa Rica di Antalya, Turkey, pada 31 Mac dan berkata Fifa akan terus menyokong pasukan itu “untuk memastikan keadaan terbaik semasa mereka membuat persiapan bagi Piala Dunia Fifa”. – Agensi berita.

