Trump: ‘Tidak wajar’ bagi Iran untuk berada di Piala Dunia
Trump: ‘Tidak wajar’ bagi Iran untuk berada di Piala Dunia
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mengatakan bahawa pasukan bola sepak lelaki Iran “dialu-alukan” di Piala Dunia 2026, tetapi beliau berpendapat ia tidak “wajar” untuk mereka berada di sana “demi keselamatan dan kehidupan mereka sendiri”.
Komen Encik Trump dibuat selepas Menteri Sukan dan Belia Iran, Encik Ahmad Donyamali, berkata negara mereka tidak berada dalam kedudukan untuk menyertai kejohanan yang akan diadakan di Amerika, Canada, dan Mexico bermula 11 Jun.
Iran dijadualkan bertemu New Zealand dan Belgium di Los Angeles pada 15 dan 21 Jun masing-masing, serta Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Namun, penyertaan mereka telah menjadi tanda tanya sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas negara itu, yang menyebabkan kematian pemimpin tertinggi, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta empat negara Teluk Arab yang menempatkan pangkalan tentera Amerika – Bahrain, Kuwait, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
“Pasukan bola sepak kebangsaan Iran diterima di Piala Dunia, tetapi saya benar-benar tidak percaya bahawa adalah wajar bagi mereka untuk berada di sana, demi keselamatan dan kehidupan mereka sendiri,” kata Encik Trump dalam satu hantaran di Truth Social pada 12 Mac.
Awal minggu ini, presiden Fifa, Gianni Infantino, berkata Encik Trump telah memberitahunya bahawa Iran “dialu-alukan untuk bersaing”.
Namun, dalam satu wawancara pada 10 Mac, Encik Donyamali berkata:
“Memandangkan pemerintah yang korup ini telah membunuh pemimpin kami, dalam apa jua keadaan kami tidak mempunyai syarat yang sesuai untuk menyertai Piala Dunia.
“Pemain-pemain kami tidak selamat, dan syarat untuk penyertaan tidak wujud.” – Agensi berita.

