ANDORRA: Bekas bintang Sepanyol dan Barcelona, Gerard Pique, telah digantung enam perlawanan serta dilarang daripada menyertai sebarang kegiatan bola sepak rasmi selama dua bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) selepas terlibat dalam satu pertengkaran dengan pengadil.

Pique, 39 tahun, yang telah bersara daripada arena bola sepak profesional pada 2022, kini merupakan pemilik bersama FC Andorra. 

Andorra merupakan wilayah kecil yang terletak di pergunungan Pyrenees di antara sempadan Perancis dengan Sepanyol. 

Pertengkaran melibatkan Pique berlaku ketika pasukannya tewas 0-1 kepada kelab Sepanyol, Albacete pada 1 Mei.

Pengadil perlawanan, Alonso de Ena Wolf, dalam laporan selepas perlawanan memetik kata-kata Pique terhadapnya.

Menurut beliau, Pique memberitahu beliau supaya “pergi dengan pengiring supaya tiada sesiapa menyerang kamu” dan “di negara lain, mereka sudah memukul kamu, tetapi di Andorra, kami adalah negeri yang beradab”.

Jawatankuasa disiplin menyatakan hukuman penggantungan dua bulan itu dikenakan atas “tindakan terbuka yang menjejas maruah dan ketertiban sukan, berdasarkan fakta yang dicatatkan dalam laporan pengadil”.

Pique, turut dikenakan hukuman berasingan iaitu penggantungan enam perlawanan atas “tindakan melibatkan kelakuan ganas kecil terhadap pengadil”.

Beberapa kakitangan kelab Andorra lain turut terlibat dalam konfrontasi tersebut. 

Presiden Kelab, Ferran Vilaseca, dikenakan penggantungan selama empat bulan.

Andorra kini menduduki tangga ke-10 dalam divisyen kedua Sepanyol.

Sepanjang kerjayanya, Pique telah memenangi sembilan gelaran La Liga dan tiga trofi Liga Juara-Juara bersama Barcelona, selain menjadi sebahagian daripada skuad Sepanyol yang menjulang Piala Dunia 2010 dan Kejohanan Eropah 2012. – Agensi berita.