Topik diikuti
Pergi ke BHkuPortugal perlu temu rentak untuk atasi Croatia yang semakin mantap
Portugal perlu temu rentak untuk atasi Croatia yang semakin mantap
Portugal perlu temu rentak untuk atasi Croatia yang semakin mantap
Portugal melangkah ke Piala Dunia 2026 sebagai antara pasukan pilihan utama kejohanan.
Memiliki skuad bertaraf dunia dengan kehadiran trio tengah mantap – Bruno Fernandes, Vitinha dan Joao Neves – impian bintang penyerang pasukan, Cristiano Ronaldo, untuk menjulang trofi Piala Dunia dan menutup kerjayanya dengan gemilang dianggap sesuatu dalam jangkauan.
Namun, prestasi Portugal dalam saingan peringkat kumpulan agak mengecewakan, dengan gergasi Eropah itu sekadar mencatatkan satu kemenangan untuk melangkah ke pusingan 32 pasukan terakhir.
Lawan mereka kali ini Croatia pula mempamerkan kisah berbeza.
Selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-4 kepada England dalam aksi pembukaan Kumpulan L, anak didik Zlatko Dalic bangkit dengan mempamerkan semangat juang yang kental untuk mencatatkan dua kemenangan berturut-turut untuk menghidupkan semula kempen mereka.
Kini, kedua-dua gergasi Eropah ini bakal bertembung di Stadium Toronto pada 3 Julai buat julung-julung kalinya di pentas Piala Dunia.
Adakah Portugal mampu mencungkil potensi sebenar mereka dalam perlawanan kalah mati ini, atau adakah kecekalan Croatia bakal menghantar Ronaldo dan rakan sepasukannya pulang awal?
Portugal menamatkan saingan di tangga kedua dalam Kumpulan K. Mereka diikat seri 1-1 oleh Republik Demokratik (DR) Congo.
Skuad pimpinan Roberto Martinez kelihatan tidak serasi, dengan Ronaldo sekadar menjadi bayang-bayang kepada keupayaan sebenarnya.
Portugal kembali mempamerkan reputasi hebat apabila membelasah Uzbekistan 5-0. Namun, kekecewaan kembali melanda selepas mereka terkial-kial semasa seri tanpa gol dengan Colombia.
Bagi Croatia pula, mereka mempamerkan semangat juang tinggi semasa kemenangan 1-0 ke atas Panama, sebelum menundukkan Ghana 2-1 – dipacu sentuhan cemerlang dan kreativiti bintang veteran, Luka Modric, yang bijak mengatur rentak permainan pasukannya.
Beliau bukan sekadar merintis gol kemenangan pasukan ketika menentang Ghana, malah mencatatkan ketepatan hantaran sebanyak 88 peratus semasa menentang Panama.
Dua kemenangan berturut-turut itu dijangka bakal memacu naib juara edisi 2018 melangkah ke peringkat 32 pasukan terakhir dengan penuh keyakinan.
Justeru, Portugal perlu mencari jalan untuk menguasai rentak permainan, sesuatu yang mereka gagal melakukan semasa menentang DR Congo dan Colombia.
Anak didik Martinez tidak mampu memberi lawan mereka peluang untuk membina keyakinan dan memaksa mereka melakukan kesilapan.
Tanggungjawab menjaringkan gol juga tidak harus dipikul Ronaldo seorang, dengan pemain sayap seperti Pedro Neto dan Rafael Leao perlu menghasilkan hantaran lebih berkesan untuk Ronaldo menyempurnakan bola ke sasaran gawang lawan.
Sementara itu, Modric pasti akan menjadi duri dalam benteng Portugal, dengan kemahirannya menembusi pertahanan dengan hantaran tepat.
Beliau juga disertai veteran seperti Ivan Perisic dan Mateo Kovacic yang mampu membawa tentangan sengit dalam detik-detik penting.
Ramalan wartawan: Portugal menang menerusi penentuan penalti
Jadual perlawanan peringkat 32 terakhir pada 3 Julai
Spain lwn Austria (3 pagi)
Portugal lwn Croatia (7 pagi)
Switzerland lwn Algeria (11 pagi)
