Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Postecoglou ‘tidak suka’ kritikan penyokong tapi tetap menerima

Pengurus tuding jari, bersemuka dengan penyokong yang marah lepas Spurs kalah 1-0 kepada Bournemouth
Dec 6, 2024 | 3:13 PM
 Ange Postecoglou bersemuka dengan sekumpulan penyokong Spurs selepas kekalahan mereka kepada Bournemouth.
Ange Postecoglou bersemuka dengan sekumpulan penyokong Spurs selepas kekalahan mereka kepada Bournemouth. - Foto REUTERS

TOTTENHAM: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, berkata beliau “tidak suka apa yang dikatakan” oleh beberapa penyokong Spurs selepas kekalahan mereka kepada Bournemouth, tetapi beliau “harus menerimanya”.

Selepas kekalahan 1-0 di Stadium Vitality, Postecoglou menuding jari ke arah sekumpulan penyokong Tottenham yang meluahkan kemarahan mereka dan bersemuka dengan mereka, lapor BBC.

Mereka bertikam lidah sebelum seorang petugas keselamatan cuba meredakan keadaan dengan meminta pengurus berusia 59 tahun dari Australia itu beredar.

“Mereka kecewa dan mereka berhak,” kata Postecoglou dalam sidang media selepas perlawanan. 

“Mereka memberikan maklum balas secara langsung kepada saya, dan saya menerimanya.

“Saya tidak suka apa yang dikatakan kerana saya juga manusia, tetapi saya harus menerimanya.

“Saya sudah cukup lama berkecimpung dalam sukan ini untuk memahami bahawa apabila keadaan tidak berjalan lancar, anda harus memahami kekecewaan dan kemarahan mereka.

“Mereka berhak kecewa kerana kami membiarkan permainan ini terlepas. Tetapi tidak mengapa. Saya terima sepenuh hati.

“Yang boleh saya katakan ialah saya sangat kecewa dan bertekad memperbaiki keadaan, serta akan terus berjuang hingga kami berjaya,” tambah beliau.

Kekalahan Tottenham kepada Bournemouth menyebabkan mereka berada di tangga ke-10 Liga Perdana – satu tempat di bawah Bournemouth.

Ia kekalahan keenam Spurs dalam liga musim ini, dengan hanya lima pasukan utama mengalami lebih banyak kekalahan daripada mereka.

“Bergantung kepada kami sebagai satu pasukan untuk lebih bersungguh-sungguh dalam mengawal perlawanan dan tidak membiarkan pasukan lawan menguasai perlawanan,” tambah Postecoglou.

Tottenham hanya menang satu daripada enam perlawanan terakhir mereka, iaitu kemenangan 4-0 ke atas Manchester City, yang kini kelihatan seperti satu pencapaian terpencil.

“Saya kini faham apa maksud orang apabila mereka mengatakan Tottenham seperti Jekyll dan Hyde,” kata bekas pengurus Stoke, Tony Pulis, kepada BBC Radio 5 Live

“Mereka benar-benar lemah malam ini,” tambah beliau.

Spurs menghasilkan 12 percubaan, empat tepat ke sasaran – kira-kira separuh jumlah Bournemouth – tetapi jangkaan gol mereka hanya 0.58, berbanding 3.31 bagi Bournemouth.

Bekas penyerang England, Alan Shearer, menyifatkan ia sebagai “satu persembahan teruk” oleh Spurs.

“Saya benar-benar terkejut mereka muncul dengan pasukan yang sama selepas separuh masa kerana mereka memerlukan tenaga dan kesegaran,” katanya.

“Saya tidak pernah berasa mereka akan menjaringkan gol malam ini.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg