Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

ATLET DALAM TUMPUAN

Potensi Coco Gauff jadi bintang terserlah sejak kecil

Bekas jurulatih akademi tempat Coco mulakan latihan tenis secara serius singkap kisah kebangkitan pemain itu
Oct 22, 2023 | 05:30 AM



LONDON: Pertama kali bekas jurulatih Serena Williams, Patrick Mouratoglou, bertemu dengan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun bernama Coco Gauff, beliau serta-merta yakin bahawa kanak-kanak itu mempunyai potensi mencapai kehebatan.


“Saya dapat rasakan bahawa beliau adalah seseorang yang begitu bermotivasi, berkeyakinan tinggi terhadap keupayaannya dan yang mempunyai kesungguhan tinggi... saya dapat rasakan beliau mempunyai pakej lengkap untuk mencapai tahap tinggi dalam permainannya,” kata jurulatih asal Perancis itu, yang juga pengasas Akademi Mouratoglou.

“Apabila Coco meninggalkan pejabat ketika itu, saya memberitahu rakan-rakan lain: ‘Pemain ini, kita mesti bawa bersama kita kerana beliau boleh menjadi pemain yang hebat’.”

Coco tidak pernah meneroka ke luar Amerika Syarikat sebelum ke daerah pesisiran French Riviera untuk menyertai akademi itu, dengan beliau meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada Patrick.

“Ujian kecergasan yang mampu beliau jalani amat luar biasa bagi usianya,” tambah Patrick.

“Daya saing beliau dalam perlawanan dengan pemain-pemain lain mengagumkan. Beliau dapat menewaskan pemain yang lebih baik dari segi teknikal semata-mata berbekalkan semangat daya saing itu.”

Pemain yang kini berusia 19 tahun itu telah mempunyai permulaan yang bergemerlapan dalam kerjaya tenisnya, meraih kejuaraan ‘Grand Slam’ dalam kedua-dua perseorangan dan beregu.

Cipta sejarah

“Coco telah mencipta sejarah sejak beliau kecil lagi,” kata Patrick.

“Pada usia 13 setengah tahun, beliau melayakkan diri ke peringkat akhir terbuka Amerika Syarikat peringkat ‘Juniors’. Pada usia 14 tahun beliau memenangi Roland Garros ‘Juniors’.”

Coco menjadi sebutan ramai apabila beliau menjadi pemain paling muda dalam era kejohanan terbuka untuk dipilih dalam undian utama di Wimbledon dan mengalahkan pemain tenis hebat, Venus Williams, ketika mereka beraksi dalam perlawanan pusingan pertama.

Coco berjaya sehingga pusingan keempat sebelum tersingkir di tangan Simona Halep, yang kemudian menjuarai pertandingan berprestij itu.

Kejayaan awal Coco adalah petanda sesuatu yang lebih besar menanti.

Beliau masih segar daripada kemenangan terbesar dalam kerjayanya, iaitu mengalahkan pemain nombor satu dunia Aryna Sabalenka dalam tiga set yang sukar untuk merebut gelaran perseorangan terbuka Amerika Syarikat 2023.

Kejayaan utama sulung beliau merupakan perkembangan terkini dalam kerjaya yang tampak bergerak begitu pantas.

Mentaliti yang tidak berbelah bahagi adalah penggerak di sebalik kejayaannya – selepas beliau tersingkir dalam pusingan pertama yang amat mengecewakan beliau dan penyokongnya di Wimbledon pada Julai, Coco berazam untuk bangkit semula.

“Kekalahan membuat saya mahu bekerja lebih keras lagi,” tegas beliau ketika itu.

Pada Ogos, beliau mencatat kemenangan memberangsangkan dalam pertandingan di Washington DC dan Cincinnati.

Di New York, beliau sering disebut-sebut sebagai pencabar utama dan walaupun dengan beban jangkaan yang menyelubunginya, Coco menangani segala-gala yang dilemparkan kepada beliau untuk muncul sebagai juara ‘Grand Slam’.

“Beliau telah belajar untuk menangani tekanan pada usia muda, dan ini adalah sebahagian kekuatan yang dimilikinya untuk memenangi ‘Grand Slam’ pertama pada usia hanya 19 tahun,” kata Patrick.

Jurulatih berusia 53 tahun itu tidak pernah menjadi jurulatih rasmi Coco sepanjang kerjaya profesional pemain itu.

Ini meskipun mereka bekerjasama beberapa kali – terutama menjelang Terbuka Perancis 2023 – dan beliau telah menjalani latihan di akademi kendalian Patrick selama sembilan tahun.

“Beliau masih boleh memperbaiki banyak perkara mengenai permainannya – yang merupakan sesuatu yang menakjubkan jika difikirkan tahap yang telah pun dicapainya sejauh ini.

“Dengan panduan, pasukan, motivasi dan kebolehan, beliau pasti boleh memenangi beberapa lagi,” tambah Patrick.

“Orang kata langit adalah had kita, tapi bagi Coco, saya tidak melihat sebarang had kepada kebolehannya.”

Pengaruh Serena

Bekerja rapat dengan bakat-bakat muda yang kemudian berkembang menjadi juara, tidak asing lagi bagi Patrick.

Antara anak didik beliau ialah Serena Williams.

Coco telah bercakap pada masa lalu tentang bagaimana beliau membesar dengan adik-beradik Williams sebagai idolanya.

“Serena dan Venus Williams telah memberi inspirasi kepada ramai warga Amerika-Afrika dan orang kulit hitam secara am,” kata beliau.

“Sebelum mereka, tidak ramai pemain kulit hitam yang berada di puncak permainan dalam sukan itu.

“Anda berasa ia bukan tempat untuk anda kerana anda tidak melihat mana-mana orang yang kelihatan seperti anda di sana. Dan saya rasa Venus dan Serena benar-benar membuka pintu untuk lain-lain wanita dalam sukan tenis, dan itu sesuatu yang mengagumkan.

“Apabila anda melihat seseorang yang kelihatan seperti anda, yang memenangi ‘Grand Slam’, mencipta sejarah, dan terdapat dua daripada mereka, anda berfikir, ‘mungkin ia juga satu kemungkinan bagi saya juga’.” – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >