Singapura dijangka menghantar kontinjen terbesarnya dalam sejarah Sukan SEA yang bakal berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Thailand, dengan lebih 900 atlet bertanding dalam 48 sukan berbeza.
Ini dilihat sebagai satu penutup kepada tahun yang menyaksikan pelbagai pencapaian dan kejayaan negara dalam arena sukan.
Kontinjen ini akan diterajui oleh sekumpulan pentadbir sukan berpengalaman dan bekas atlet kebangsaan, lapor The Straits Times (ST).
Presiden Persatuan Badminton Singapura (SBA), Lawrence Leow, dilantik sebagai chef-de-mission, atau pemimpin kontinjen pasukan negara bagi temasya yang diadakan dua tahun sekali itu, umum Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dalam satu kenyataan pada 29 Oktober.
Leow, 66 tahun, yang merupakan salah seorang daripada tiga naib presiden SNOC, akan dibantu oleh tiga penolong chef-de-mission.
Mereka adalah, Timbalan Ketua Majlis Sukan Singapura (SportSG), Ng Eng Soon, 62 tahun; bekas kapten pasukan ragbi kebangsaan wanita dan ketua jurulatih, Wang Shao Ing, 48 tahun – yang kini merupakan Timbalan Pengarah dan Ketua Pasukan di Suruhanjaya Sukan Selamat; serta pemenang pingat emas dua kali dalam acara skuasy di Sukan SEA, Samuel Kang, 35 tahun.
Dalam kenyataan media, SNOC menggambarkan Leow sebagai “pemimpin sukan yang dihormati dan pentadbir berpengalaman”, dan menyatakan beliau akan mengetuai Team Singapore dalam temasya serantau itu bagi “memastikan kontinjen sentiasa bersedia dan disokong sepenuhnya sepanjang Sukan SEA”.
Memegang peranan tersebut buat kali pertama, pemimpin dan para penolong kontinjen itu akan membimbing dan menyokong para atlet serta pegawai, sambil mewujudkan persekitaran positif dan berprestasi tinggi untuk Team Singapore.
Leow, yang juga merupakan pengerusi dan Ketua Eksekutif Crescendas Group, telah memegang peranan sebagai presiden SBA sejak 2018.
Beliau berkata: “Sukan SEA merupakan pentas penting bagi atlet kita untuk mempamerkan bakat dan mewakili Singapura di peringkat serantau.
“Saya amat berbesar hati dapat mengetuai Team Singapore dan menantikan kerjasama rapat dengan Eng Soon, Shao Ing, Samuel serta para atlet bagi mewujudkan suasana terbaik supaya mereka dapat menunjukkan prestasi cemerlang dan mengibarkan bendera kita dengan bangga di Thailand.”
Senarai penuh kontinjen Singapura akan diumumkan pada tarikh lebih dekat dengan temasya tersebut, kata SNOC.
Atlet Singapura akan bertanding di Bangkok, Chonburi dan Songkhla dalam Sukan SEA 2025, apabila Thailand menjadi tuan rumah buat kali ketujuh, dengan 574 pingat emas dipertandingkan meliputi 50 sukan berbeza.
Kali terakhir Thailand menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada 2007, apabila temasya itu dianjurkan di bandar timur laut, Korat.
Bangkok pernah menjadi bandar tuan rumah pada 1959, 1967, 1975 dan 1985, manakala Chiang Mai menjadi bandar tuan rumah pada 1995.
Team Singapore menyasarkan pencapaian lebih baik pada temasya kali ini berbanding prestasi mereka di Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, yang menyaksikan seramai 554 atlet negara bertanding dalam 30 sukan berbeza.
Pasukan negara secara keseluruhan meraih 51 pingat emas, 43 perak dan 64 gangsa, sekali gus menempatkan Singapura di kedudukan keenam.
Jumlah 51 pingat emas tersebut merupakan rekod keempat tertinggi Singapura dalam sejarah Sukan SEA, selepas merangkul 84 emas dalam edisi 2015 di tanah air, 58 di Malaysia pada 2017 dan 53 di Filipina pada 2019.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg