Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PREVIU: CROATIA LAWAN DENMARK

Pertembungan dua corak permainan berbeza

Jul 01, 2018 | 05:30 AM



Croatia serlah kemampuan menyerang



CROATIA tampil dalam pusingan akhir Piala Dunia Russia sebagai pasukan 'kuda hitam' - pesaing bukan pilihan - tetapi telah mempamerkan persembahan memberangsangkan untuk menempah tempat dalam pusingan kalah mati 16 pasukan.



Jurulatih Croatia Zlatko Dalic melahirkan keyakinan cabaran pasukannya, yang mencatat tiga kemenangan tanpa kalah dalam Kumpulan D dengan mengalahkan pasukan pilihan utama Argentina, Nigeria dan Iceland, tidak akan berakhir dalam pusingan kalah mati apabila ia berdepan Denmark dini hari esok 2 pagi.



Setakat ini, Croatia telah menampilkan permainan yang paling menarik di Russia dengan serangan tajam dan tersusun bagi membolehkannya menjaringkan tujuh gol dalam tiga perlawanan.



Ini tergambar apabila ia mengalahkan Argentina, yang menurunkan superstar dunia seperti Lionel Messi, 3-0 sebagai membayangkan kemampuan menjadi pencabar utama dalam pertandingan ini.



Dengan dibarisi bintang seperti Ivan Perisic, Luka Modric, Ivan Rakitic dan Mario Mandzukic, Croatia kelihatan menjadi pasukan pilihan dalam perlawanan menentang Denmark.



Walaupun yakin akan kemampuan anak didiknya, Dalic berkata akan berusaha keras membuat persiapan.



"Tidak ada sesiapa menjangka kami akan mendapat sembilan mata tetapi itulah yang berjaya kami capai. Tetapi kami perlu meletakkan semua itu di belakang dan menumpukan perhatian kepada Denmark.



"Ahad ini bakal menjadi penentu. Tetapi saya tidak rasa cabaran kami akan berakhir di peringkat 16 pasukan terakhir sahaja," kata Dalic kepada wartawan.



Keyakinan itu tidak dibuat berdasarkan kata-kata kosong. Selepas berakhirnya perlawanan peringkat kumpulan, kemampuan Croatia kini kian terserlah dan berdasarkan prestasi serupa, tidak banyak pasukan mahu berdepan dengannya, terutama apabila mereka melihat bagaimana Croatia membenam Argentina.



Persembahan sedemikian membolehkan Croatia menempah tempat ke pusingan kedua Piala Dunia Russia buat julung-julung kali sejak ia berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Dunia Perancis 1998 dalam penampilan pertamanya.



Dengan dibantu kebijaksanaan Modric menyusun serangan, kegigihan Rakitic di midfield dan ancaman Mandzukic sebagai penyerang, Croatia kini membayangkan keinginannya mengulangi kejayaan 20 tahun lalu.



Yang paling menarik adalah gabungan Modric dan Rakitic yang menerima pujian sebagai gandingan midfield terbaik di Russia sejauh ini.



"Saya rasa mereka telah mempamerkan persembahan terbaik bagi Croatia dalam satu pertandingan besar," kata Vedran Corluka.



"Saya rasa mereka adalah gandingan midfield terbaik di Russia," celah Perisic. "Semua orang tahu pemain midfield kami memainkan peranan besar di kelab- kelab besar di Eropah. Mereka jelas bertaraf dunia."



Perisic sendiri, yang beraksi sebagai pemain sayap bagi kelab Italy, Inter Milan, menambah bahawa dengan kehadiran pemain-pemain itu, Croatia kini mampu bersaing merebut kejuaraan.



"Di Perancis, kami bermain dengan baik tetapi tidak bernasib baik ketika kami berdepan Portugal. Harap-harap nasib kami akan lebih baik di Russia," tambah Perisic.



Mengimbas kenangan wira-wira Croatia di Perancis pada 1998 sewaktu beliau masih kecil dulu, Perisic membayangkan impiannya melangkah lebih jauh dalam Piala Dunia.



"Mereka mempersembahkan persembahan yang menakjubkan di Perancis 1998. Ketika itu saya berusia sembilan tahun dan membayangkan dapat berada dalam situasi serupa. Kini kami berada di sini dan berharap dapat menyaingi pencapaian mereka," ujar beliau.



Namun, di sebalik kemampuannya di midfield dan di barisan penyerang, benteng Croatian kelihatan agak rapuh, terutama apabila berdepan hantaran tinggi.



Kelemahan itu tergambar ketika ia berdepan Iceland dan pastinya Denmark mengambil perhatian mengenainya.



Dalam lima perlawanan antara Croatia dengan Denmark sejak 1997 dalam Kejuaraan Eropah, persahabatan dan Piala Dunia, Croatia menang dua kali, seri dua kali dan tewas sekali.



Pemenang perlawanan ini akan menentang sama ada Sepanyol atau Russia.



Penjaga gawang: Lovre Kalinic, Danijel Subasic, Dominik Livakovic



Pemain pertahanan: Sime Vrsaljko, Ivan Strinic, Vedran Corluka, Dejan Lovren, Tin Jedvaj, Duje Caleta-Car, Domagoj Vida, Josip Pivaric



Midfield: Ivan Perisic, Ivan Rakitic, Mateo Kovacic, Luka Modric, Marcelo Brozovic, Milan Badelj



Penyerang: Adnrej Kramaric, Mario Mandzukic, Ante Rebic, Marko Pjaca. - Agensi.




Denmark pamer keupayaan bertahan



TUNGGAK Denmark, Christian Eriksen, memikul tugas berat membawa pasukannnya melepasi pusingan kedua, pusingan kalah mati 16 pasukan, dalam Piala Dunia Russia 2018.



Ini kerana beliau dan rakan-rakannya bakal berdepan pasukan yang telah menunjukkan potensi dan mempamerkan permainan paling menarik dalam pertandingan Piala Dunia setakat ini - Croatia - dini hari esok pada 2 pagi.



Berbeza dengan Denmark, yang hanya mempunyai seorang bintang utama iaitu Eriksen, yang menguasai midfield dan menyusun serangan; Croatia mempunyai lebih ramai pemain bertaraf bintang, terutama Luca Modric, Ivan Rakitic dan Ivan Perisic yang menguasai midfield serta Mario Mandzukic sebagai penyerang.



Namun, setakat ini, Eriksen, nadi penggerak pasukan Tottenham Hotspur dalam Liga Perdana England, tidak menghampakan penyokong Denmark dan berjaya membantu Denmark melepasi cabaran Kumpulan C yang terdiri daripada Australia, Peru dan Perancis.



Ia menang tipis 1-0 ke atas Peru, seri 1-1 dengan Australia dan seri 0-0 dengan Perancis.



Meskipun Croatia kelihatan mempunyai kelebihan dalam pertemuan ini, ancaman Eriksen di midfield dan Yussuf Poulsen di barisan serangan tidak boleh diambil ringan.



Jurulatih Croatia Zlatko Dalic sedar akan ancaman Eriksen kepada pasukannya.



"Beliau tunggak Denmark," ulas Dalic. "Tetapi kami tidak mampu memberi tumpuan kepada beliau sahaja. Kami menghadapi keadaan yang sama ketika menentang Lionel Messi dan Argentina.



"Yang penting adalah seluruh pasukan bertahan bersama, bukan sebagai individu atau pemain tengah di kawasannya sahaja, tetapi seluruh pasukan melakukannya bersama."



Sejauh ini, Denmark mampu meneruskan perjuangan melepasi pusingan kumpulan buat pertama kali sejak 2002 dengan mempamerkan gaya permainan tersendiri iaitu dengan menggunakan aset yang ada iaitu permainan defensif dan menyerap tekanan untuk meletihkan pemain lawan - dan ia sudah terbukti berkesan.



Di peringkat kumpulan, ia mampu menjinakkan penyerang Perancis dan Peru. Dalam tiga perlawanan, ia hanya dibolosi sekali meskipun menerima 15 percubaan tepat ke gawang.



Pencapaian ini membuktikan bahawa ia mampu mengukir kemenangan selepas menyerap tekanan dan menyerang balas ketika pasukan lawan leka menyerang.



Jurulatih Denmark, Age Hareide, berharap pasukannya dapat melangkah ke pusingan suku akhir buat julung-julung kali sejak 1998.



"Anda harus melakukan apa yang perlu tetapi pencapaian kami sejauh ini adalah sangat baik.



"Matlamat kami adalah melayakkan diri ke Russia dan melangkah ke pusingan kalah mati 16 pasukan.



"Kami berada dalam kumpulan yang sukar, antara yang paling sukar bagi saya," kata Hareide.



Mengulas kemampuan Croatia, beliau menambah: "Mereka adalah pasukan yang sangat baik. Mereka juga kelihatan kuat. Kami sudah menyaksikan permainan mereka dan mereka sangat kuat."



Kali terakhir kededua pasukan bertemu adalah dalam satu perlawanan persahabatan pada 2004 yang dimenangi Croatia 2-1.



Penjaga gawang: Kasper Schmeichel, Jonas Lossl, Jesper Hansen, Frederik Ronnow



Pemain pertahanan: Simon Kjaer, Jannik Vestergaard, Riza Durmisi, Nicolai Boilesen, Andreas Bjelland, Mathias Jorgensen, Henrik Dalsgaard, Andreas Christensen, Jens Stryger Larsen, Momade Dosa Junior, Peter Ankersen, Jonas Knudsen



Midfield: Mike Jensen, William Kvist, Michael Krohn-Dehli, Lasse Schone, Pione Sisto, Thomas Delaney, Lukas Lerager, Daniel Wass, Pierre- Emile Hojbjerg, Robert Skov, Mathias Jensen, Martin Braithwaite, Viktor Eischer, Christian Eriksen



Penyerang: Nicolai Jorgensen, Andreas Cornelius, Nicklas Bendtner, Kasper Dolberg, Yussuf Poulsen, Kenneth Zohore. - Agensi.




STATISTIK



CROATIA



PEMAIN HARAPAN: Luka Modric, Ivan Rakitic, Ivan Perisic, Mario Mandzukic



KELEBIHAN: Mempunyai ramai pemain yang beraksi dengan kelab utama Eropah dan sebilangan besar mereka menguasai midfield dan bertindak sebagai penyerang. Gandingan Modric dan Rakitic juga dikatakan sebagai yang terbaik dalam Piala Dunia Russia 2018, dengan Modric bertindak sebagai perancang, Rakitic sebagai penggerak midfield dan Mandzukic sebagai penyudah berbisa.



KELEMAHAN: Kelihatan rapuh terutama dalam menangani hantaran tinggi.



DENMARK



PEMAIN HARAPAN: Christian Eriksen, Yussuf Poulsen dan Kasper Schmeichel



KELEBIHAN: Banyak bergantung pada kebijaksanaan dan kelincahan Eriksen mengatur dan menggerakkan serangan dari midfield. Poulsen juga boleh diharap mendapatkan gol sementara kehadiran Schmeichel sebagai penjaga gawang diharap dapat menangkis percubaan Croatia.



KELEMAHAN: Tidak mempunyai ramai pemain bertaraf bintang dan terlalu banyak bergantung pada Eriksen.




JADUAL



Croatia lawan Denmark

Singtel TV Saluran 141 & StarHub TV Saluran 222, 2 pagi



RAMALAN BH



CROATIA 2

DENMARK 1




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >