SALZBURG (Austria): Juara Liga Juara-Juara, Paris Saint-Germain (PSG), mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pasukan paling hebat Eropah selepas menewaskan Aston Villa 2-1 dalam saingan Piala Super Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pada 12 Ogos.

Pemain sayap PSG, Khvicha Kvaratskhelia menjaringkan gol pembukaan di Red Bull Arena, Salzburg, pada minit ke-20 perlawanan.

Meskipun Villa cuba bangkit untuk menyamai kedudukan pada minit ke-45 hasil gol pertama pemain muda, Brian Madjo, jaringan Desire Doue pada minit ke-60 memastikan PSG mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka 12 bulan lalu menentang satu lagi kelab Liga Perdana England (EPL), Tottenham Hotspur.

Perlawanan Piala Super, yang menampilkan pertembungan antara juara kejohanan kelab teratas Eropah dengan juara saingan kelas kedua Liga Europa, diadili oleh pengadil Somalia, Omar Artan.

Pengadil berusia 34 tahun itu mendapat tumpuan pada Jun selepas dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, meskipun beliau merupakan sebahagian daripada panel pengadil Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Doue, yang beraksi untuk Perancis di Piala Dunia, menyifatkan kemenangan itu sebagai satu kejayaan “luar biasa”.

“Ia amat sukar kerana sebelum sampai ke sini, anda perlu menjuarai Liga Juara-Juara terlebih dahulu,” tambahnya.

“Kami berjaya melakukannya sekali lagi dan memenangi Piala Super buat kali kedua, jadi ini memang sesuatu yang luar biasa buat kami.”

Kesebelasan utama PSG menampilkan sembilan pemain yang menjulang trofi Liga Juara-Juara menentang Arsenal pada Mei lalu, termasuk Vitinha, Joao Neves dan kapten pasukan, Marquinhos.

PSG membuka tirai jaringan apabila Kvaratskhelia bergerak masuk dari sebelah kiri pada minit ke-20 sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru berhampiran gawang.

Pemain Georgia itu terus mengasak benteng pertahanan Villa beberapa minit kemudian.

Beliau membuat hantaran kepada Nuno Mendes, namun hantaran lintangnya gagal disempurnakan oleh rakan sepasukan yang meluru masuk.

Villa berjaya menahan asakan bertubi-tubi itu dan sepatutnya menyamakan kedudukan sebelum genap setengah jam perlawanan apabila tandukan Madjo hasil hantaran John McGinn tersasar.

Namun, keazaman pemain berusia 17 tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain veteran Scotland, McGinn, sekali lagi membuat hantaran tepat kepadanya dalam kotak penalti pada minit ke-45, sebelum Madjo melepaskan rembatan padu ke bumbung gawang PSG.

Ketua jurulatih PSG, Luis Enrique, bertindak membawa masuk pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele, bagi menggantikan pemain baharu, Maghnes Akliouche, pada separuh masa kedua.

Sebaik sahaja perlawanan memasuki jam pertama, PSG kembali menguasai perlawanan dengan kelebihan satu gol.

Doue meluru masuk dari sebelah kanan dan melencongkan bola ke dalam jaring, namun gol tersebut pada mulanya dibatalkan kerana ofsaid.

Namun, semakan video pembantu pengadil (VAR) mendapati kedudukan pemain pertahanan kanan Villa, Matty Cash, lebih dekat dengan garisan gol, justeru keputusan awal ofsaid pemain sayap PSG itu dibatalkan dan gol berkenaan disahkan. 

Ketika perlawanan berbaki 15 minit, Enrique menurunkan pemenang Piala Dunia, Fabian Ruiz, bagi membantu PSG mengukuhkan bahagian tengah padang tatkala Villa bersemangat mencari gol penyamaan.

Peluang terbaik mereka hadir dalam masa 10 minit terakhir, namun penyerang Villa, Tammy Abraham, gagal menyambut hantaran pemain sayap, Alysson, yang berada di kedudukan sangat dekat dengan gawang.

PSG, juara Ligue 1 yang ditaja Qatar itu, berjaya mempertahankan kemenangan untuk memulakan musim baharu dengan langkah kanan, sambil memburu gelaran Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut. – AFP.