Topik diikuti
Pergi ke BHkuPusat Sukan ActiveSG Queenstown dirasmi 8 Ogos selepas naik taraf
Selepas penantian selama tiga tahun, Pusat Sukan ActiveSG Queenstown akan dibuka secara rasmi pada 8 Ogos.
Pusat sukan tersebut telah ditutup sejak Mei 2023 bagi kerja-kerja naik taraf sebelum dibuka secara tidak rasmi pada 30 Jun.
Pembukaan semula itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk di kawasan tersebut, malah turut bermanfaat bagi masyarakat sukan ragbi dan terjun.
Kemudahan yang telah dinaik taraf itu menampilkan bangunan tambahan baharu yang menempatkan gimnasium ActiveSG serta dua bilik kegiatan, merangkumi kawasan dengan keluasan sekitar 1,000 meter persegi (sq m).
Gimnasium tersebut dilengkapi peralatan latihan kekuatan konvensional dan juga yang terangkum, termasuk mesin HUR yang menggunakan teknologi tekanan udara dan lengan tuas (’lever arms’).
Ini bagi menyokong senaman selamat serta mudah diakses bagi warga emas, orang kurang upaya dan mereka yang mempunyai masalah pergerakan.
Program yang ditawarkan di bilik kegiatan gimnasium pusat sukan itu termasuk tinju tendang, yoga dan Zumba.
Bagi menyokong latihan serta pertandingan berprestasi tinggi dengan lebih baik, kemudahan lain di dalam pusat sukan itu turut dipertingkat.
Gelanggang rasmi sukan ragbi kini kembali ke Queenstown dengan padang yang dinaik taraf mengikut piawaian Ragbi Dunia.
Berukuran 98 meter kali 68 meter, padang berkenaan menggunakan sistem rumput tiruan yang direka khas untuk sukan tersebut.
Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Singapura (SRU), Sidney Kumar, 40 tahun, gembira kerana sukan itu kini mempunyai tempat yang boleh dipanggil ‘rumah’.
“Sejak lima, enam tahun lalu, kami kerap berpindah-randah, jadi sudah sekian lama kami menantikan detik untuk pulang ke rumah,” katanya.
Persatuan sukan kebangsaan itu menganggarkan ia bakal memindahkan operasinya dari Toa Payoh ke Queenstown pada September atau Oktober.
Buat kali pertama bagi kemudahan ActiveSG, trek larian yang dinaik taraf itu kini menampilkan tiga lorong rumput tiruan dan dua lorong yang menggunakan bahan sama seperti trek olahraga konvensional.
Kolam terjun setinggi 4.5 meter di pusat sukan itu turut dikekalkan.
Ia akan dilengkapi dengan kemudahan terjun darat (dry-dive) baharu yang berfungsi sebagai persekitaran latihan tambahan buat penerjun dalam kalangan masyarakat, serta atlet daripada program mempelajari terjun Akuatik Singapura (SAQ).
Ini merupakan kemudahan terjun darat kedua di Singapura, dengan sebuah lagi terletak di Pusat Akuatik OCBC di Stadium Drive.
Kompleks renang, yang merangkumi kolam pertandingan, kolam latihan dan dua kolam kanak-kanak, turut dinaik taraf dengan kemasan lantai geladak kolam baharu.
Ciri-ciri mesra pengguna turut diterapkan dalam kemudahan ini, termasuk pengangkat mudah alih di kolam pertandingan untuk orang kurang upaya, tanjakan mesra pengguna serta lif di bahagian tengah bagi memudahkan pergerakan di sekeliling kawasan tersebut.
Ketua Kumpulan Prasarana Sukan Majlis Sukan Singapura (SportSG), Lim Hong Khiang, berkata pertimbangan utama mereka bagi projek naik taraf itu adalah untuk mewujudkan ruang terangkum yang sesuai bagi kegunaan awam dan juga sukan berprestasi tinggi.
Ketua ActiveSG, Tan Hock Leong, pula berkata pusat sukan itu merupakan “ruang tidak asing” bagi ramai orang.
“Menerusi kemudahan yang telah dinaik taraf ini, kami mahu menjadikannya sebuah tempat di mana masyarakat boleh bergiat dalam sukan pada pelbagai peringkat – daripada penduduk yang mencari ruang untuk bersukan, sehinggalah atlet yang memerlukan ruang khusus bagi tujuan latihan dan pembangunan sukan,” katanya.
