Emma Raducanu dari Britain berkata beliau akan kembali beraksi musim depan selepas bergelut dengan kecederaan.
Bekas pemain nombor 10 dunia itu telah terlepas beraksi dalam tiga daripada empat pertandingan Grand Slam musim ini selepas menjalani pembedahan pada buku lali dan kedua-dua pergelangan tangan pada Mei lalu.
Minggu lalu, Raducanu terkeluar daripada senarai 200 pemain terbaik dunia, dan beliau tidak dijangka mendaki senarai tersebut setelah mengesahkan tidak akan kembali ke gelanggang tenis sebelum akhir musim Persatuan Tenis Wanita (WTA) pada November.
“Musim depan saya akan kembali,” pemain berusia 20 tahun itu memberitahu BBC London.
“Musim ini semua pertandingan Grand Slam telah selesai jadi ia adalah sukar... tetapi saya cuba untuk kekal fokus kepada matlamat saya seberapa banyak yang mungkin dan terus memberi tumpuan kepada pemulihan saya,” tambahnya.
Raducanu telah terjejas oleh rentetan kecederaan sejak memenangi Terbuka Amerika Syarikat yang menggegarkan dunia tenis pada 2021.
Bekas pemain nombor satu Britain itu gagal melepasi pusingan kedua sebarang pertandingan Grand Slam sejak menjadi wanita Britain pertama dalam tempoh 44 tahun untuk memenangi gelaran mejar perseorangan.
Ditanya mengenai bagaimana beliau menangani kritikan, Raducanu berkata:
“Hakikatnya mereka masih bercakap tentang saya walaupun saya tidak berada di acara-acara ini, bagi saya ia adalah satu pujian. Seseorang pernah memberitahu saya ‘anda harus mula bimbang apabila orang tidak bercakap tentang anda’.”
Raducanu kembali ke gelanggang latihan pada Ogos untuk kali pertama sejak menjalani pembedahan dan, walaupun bermain hanya 10 perlawanan pada 2023, beliau berharap untuk kembali ke tahap kecergasan yang lebih baik dan memenuhi impiannya memenangi Wimbledon.
“Wimbledon adalah impian dan cabaran besar bagi saya. Ia masih merupakan impian utama saya untuk memenangi Wimbledon,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg