Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

RAGBI TUJUH SEPASUKAN SINGAPURA

Ragbi Dunia, SportSG, Hab Sukan bincang terus adakan acara di S'pura

Apr 11, 2023 | 05:30 AM



WALAUPUN masa depan Ragbi Tujuh Sepasukan Singapura masih menjadi tanda tanya, penganjur yakin kota Singa boleh terus menjadi tuan rumah bagi edisi akan datang.



Ini kerana edisi yang diadakan di sini ditujukan sebagai hiburan seisi keluarga, antara kelebihan pertandingan itu diadakan di Singapura, kata ketua kumpulan bahagian Acara dan Penggunaan Ruang Awam di Hab Sukan Singapura, Yazed Osman.



Minggu lalu, Singapura menganjurkan Siri Ragbi Tujuh Sepasukan Sedunia terakhir sebelum kontrak dengan Ragbi Dunia - badan induk yang memiliki pertandingan tersebut - luput.



Difahami, perjanjian baru bagi terus mengadakan acara itu di Singapura belum dicapai.



Namun, Ragbi Dunia sedang berbincang dengan agensi sukan Singapura, Sport Singapore (SportSG) dan Hab Sukan Singapura untuk berbuat demikian.



Yazed enggan menyatakan peluang Singapura untuk terus disertakan dalam siri ragbi tujuh sepasukan itu, semasa memberi respons kepada BH.



Namun beliau berkata Singapura "telah menunjukkan keupayaan... untuk mengembangkan acara ini".



"Melihat format baru siri itu, kami ingin fokus kepada nilai setiap bandar dan untuk Singapura, kami menyediakan kepelbagaian bahawa kami adalah 'Family Sevens'. Ini sesuatu yang boleh kami meletakkan diri kami secara berbeza berbanding dengan bandar-bandar lain," tambah beliau.



Ketua pertandingan ragbi tujuh sepasukan di Ragbi Dunia, Doug Langley berkata: "Singapura telah membina reputasi bagi hiburan yang menakjubkan, di dalam dan luar padang, kemudahan tuan rumah yang berkualiti tinggi dan suasana pesta yang hebat dan Ragbi Tujuh Sepasukan HSBC pada hujung minggu ini telah sekali lagi memenuhi jangkaan kami."



Dari segi sambutan, Singapura bak tidak bermasalah menarik peminat ke acara tersebut.



Mengulas sambutan awam bagi edisi tahun ini, Yazed berkata:



"Meskipun ia diadakan pada hujung minggu Easter dan semasa Ramadan, bilangan pengunjung sangatlah positif dan kami mendapat maklum balas yang baik daripada mereka yang hadir."



Hampir 40,000 peminat menghadiri acara sepanjang dua hari itu di Stadium Negara.



"Ragbi Tujuh Sepasukan Singapura adalah ragbi tujuh sepasukan untuk seisi keluarga. Sama ada anda berada di dalam ataupun di luar stadium, ada aktiviti untuk semua."



Selain aksi bertaraf dunia di atas padang, pelbagai kegiatan menarik untuk kanak-kanak dan persembahan muzik juga diadakan secara serentak, masing-masing di 100PLUS Promenade dan OCBC Square.



Pertandingan ragbi bagi belia, Titans Ruck and Rumble, turut menyaksikan pemain generasi akan datang berpeluang bersaing di laman Stadium Negara pada hujung minggu itu.



Singapura pertama kali menjadi tuan rumah pusingan Siri Ragbi Tujuh Sepasukan Sedunia adalah pada 2002.



Acara itu dibatalkan pada 2003 kerana wabak SARS, tetapi Singapura menyambung semula kontraknya sebagai tuan rumah dari 2004 hingga 2006.



Selepas berehat selama 10 tahun, Singapura kembali dengan perjanjian selama empat tahun pada 2016 dengan Ragbi Dunia untuk mengadakan siri itu. Lanjutan empat tahun kemudiannya ditandatangani pada 2019.



Pada November 2022, Ragbi Dunia mengumumkan perubahan besar pada Siri Ragbi Tujuh Sepasukan, dengan bilangan pasukan lelaki dikurangkan daripada 16 kepada 12.



Memberi sebab kebimbangan terhadap kebajikan pemain, Ragbi Dunia turut mengurangkan bilangan pusingan daripada 10 kepada tujuh bagi kalendar baru, yang berkuat kuasa pada Disember 2023.



Ibu kota Sepanyol, Madrid telah diumumkan sebagai tuan rumah bagi Grand Final musim depan. Ini bermakna hanya baki enam pusingan yang belum ditentukan, yang akan diumumkan Ragbi Dunia pada Jun.



Dalam edisi 2023, New Zealand merangkul takhta Ragbi Tujuh Sepasukan Singapura pertama mereka sejak 2005 selepas menewaskan Argentina 19-17 dalam perlawanan akhir.




"Singapura telah membina reputasi bagi hiburan yang menakjubkan, di dalam dan luar padang, kemudahan tuan rumah yang berkualiti tinggi dan suasana pesta yang hebat dan Ragbi Tujuh Sepasukan HSBC pada hujung minggu ini telah sekali lagi memenuhi jangkaan kami."



- Doug Langley, ketua pertandingan ragbi tujuh sepasukan di Ragbi Dunia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >