SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Rahsia Lincoln City raih kenaikan ke Liga Kejohanan buat kali pertama dalam 65 tahun

Rahsia Lincoln City raih kenaikan ke Liga Kejohanan buat kali pertama dalam 65 tahun

Kelab kerdil cipta sejarah; bakal beraksi dalam divisyen yang berada hanya di bawah EPL
Apr 13, 2026 | 5:30 AM

Rahsia Lincoln City raih kenaikan ke Liga Kejohanan buat kali pertama dalam 65 tahun

LONDON: Bagaimana kelab dengan belanjawan antara paling kecil dalam Liga Satu berjaya naik ke Liga Kejohanan (Championship League) England – divisyen di bawah Liga Perdana England (EPL) – yang menampilkan kelab terkemuka di negara itu?

Dengan hanya satu mata diperlukan, pemain Lincoln City, Jack Moylan, muncul sebagai wira pasukan itu dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-96 bagi menewaskan Reading 2-1 dalam perlawanan Liga Satu pada 6 April.

Kemenangan pada detik-detik akhir itu sekali gus mengesahkan promosi kelab yang dikenali sebagai The Imps tersebut serta meraih tempat ke divisyen kedua England – yang berada di bawah liga elit EPL – buat kali pertama dalam tempoh 65 tahun.

Dengan baki lima perlawanan, tugas Lincoln seterusnya adalah untuk memburu gelaran juara Liga Satu dan melengkapkan kempen bersejarah ini di stadium mereka, Sincil Bank.

Namun, perjalanan ini tidak terhad kepada pencapaian beberapa musim kebelakangan ini sahaja.

Bagi menyorot kembali kisah kejayaan yang telah dibina selama 20 tahun, bekas editor sukan akhbar daerah Lincolnshire Echo, John Pakey, menemu bual bekas rakan sekerjanya untuk menyelami rentetan peristiwa tersebut.

Penyelamat kelab, Keith Alexander

Bekas pengurus, Keith Alexander, merupakan sosok yang telah memahat namanya dalam sejarah kelab. 

Beliau berjaya membangkitkan Lincoln daripada kehancuran krisis pentadbiran sehingga membawa pasukan ke kempen perlawanan penentu Liga Dua.

“Sebelum kehadiran Alexander, jumlah kehadiran penyokong sangat sedikit, hanya sekitar 2,500 orang sahaja yang hadir ke stadium,” kata wartawan sukan Leigh Curtis, yang mula membuat liputan bagi Lincoln untuk akhbar Echo pada 2005.

Alexander dianggap telah “menyelamatkan kelab” melalui kebijaksanaannya dalam merekrut pemain. 

Segelintir pemain yang dipilihnya berasal daripada liga bawahan dan ada yang akhirnya berjaya beraksi dalam EPL – seperti Gareth McAuley dan Gary Taylor-Fletcher.

“Beliau mempunyai bakat luar biasa dalam menilai potensi pemain, dan itu adalah kekuatan utamanya. Namun, beliau juga tahu betapa pentingnya membina semangat berpasukan.

“Beliau menggalakkan pemain untuk keluar bersosial bagi mengukuhkan semangat (berpasukan),” tambah Curtis.

Pendekatan itu telah melahirkan sebuah “pasukan yang sangat gigih di padang”.

Alexander, yang telah menggalas tugas tersebut sejak 2002, meninggalkan kelab untuk menyertai Peterborough United, pada musim panas 2006 dan meninggal dunia pada usia 53 tahun pada 2010.

“Sehingga baru-baru ini, tiada pengurus selepas Alexander yang mampu merekrut pemain sebaik beliau,” kata Curtis yang melihat perkara tersebut sebagai salah satu punca kejatuhan kelab.

Kemuncak kejatuhan tersebut berlaku di bawah kendalian bekas pengurus, Southend United, Steve Tilson, apabila Lincoln City tersingkir daripada Liga Bola Sepak pada 2011 – kali pertama sejak 1987.

Dedikasi pengurus terbukti berbaloi

“Selepas tempoh itu, individu yang benar-benar memastikan kelab ini terus hidup adalah pengerusinya, Bob Dorrian,” kata Curtis, yang kemudian menyerahkan tugas liputan bagi Echo kepada Pakey.

Dorrian bukan sahaja menyokong kelab dengan wang, malah beliau giat mencari pelaburan baru dan menyusun semula struktur pemilikan kelab bagi mempermudah proses penjualan.

Setelah beberapa kali menemui jalan buntu, kesabaran Dorrian akhirnya membuahkan hasil apabila tokoh perniagaan Afrika Selatan, Clive Nates, menyertai kelab sebagai ahli lembaga pada 2016.

Nates akhirnya mengambil alih jawatan pengerusi pada 2018.

Tugas pertama Nates adalah mendapatkan khidmat pasangan pengurus adik-beradik, Danny dan Nicky Cowley.

Mereka merupakan pengurus liga bawahan dikenali sebagai The Cowleys, yang ketika itu sedang meningkat naik setelah berjaya memacu kenaikan divisyen buat kelab Essex, Concord Rangers.

Ketibaan mereka berlaku pada hari yang sama Pakey meninggalkan akhbar Echo pada 2016, dengan wartawan, Mark Whiley mengambil alih tugas beliau.

“The Cowleys ini berbeza. Setelah bertahun-tahun kami hanya melantik pengurus ‘tangkap muat’, kali ini kelab benar-benar melakukan kajian dan mendapatkan calon berkaliber,” kata Whiley.

Dalam tempoh empat tahun berikutnya, The Imps, terus mencatat pelbagai rekod baru.

“Kita mungkin lihat kejayaan dipromosikan ke (Liga) Kejohanan musim ini sebagai pencapaian terbaik kelab, namun, tiga musim di bawah mereka (The Cowleys) – dengan dua promosi liga, mara ke suku akhir Piala FA, dan menjulang trofi di Wembley – itulah yang mengubah segala-galanya.

“Mereka mengembalikan semula kemeriahan yang tidak pernah kita rasai sejak zaman Keith.

“Seperti Keith juga, mereka bijak mencari pemain yang sedang meningkat naik, meneliti (pemain) liga bawahan dan menemui bintang masa depan,” tambah Whiley.

Meskipun setelah The Cowleys meninggalkan kelab untuk menyertai Huddersfield pada 2019, tenaga dan semangat tersebut tetap kekal.

Langkah seterusnya

Michael Hortin daripada BBC Radio Lincolnshire, yang telah membuat liputan kelab itu sejak 1999, berada di bilik ulasan untuk menyaksikan sendiri detik bersejarah Lincoln mendapat promosi ke Liga Kejohanan.

“Promosi liga ini adalah kemuncak kepada perancangan jangka panjang,” kata Hortin. 

“Ini adalah hasil kerja keras pengerusi dan lembaga pengarah yang sangat berhati-hati dalam pelaburan mereka.

“Era The Cowleys merupakan titik permulaan peralihan daripada cara lama kepada sistem yang jauh lebih moden. 

“Di bawah kendalian mereka, seorang pengarah sukan dibawa masuk bagi menyokong proses pengambilan pemain dan pembangunan bakat. Kini, kita memiliki seorang ketua jurulatih sebenar, (Michael Skubala).

“Usaha mereka mencari pemain berbakat yang masih ‘mentah’, membangunkan potensi mereka, kemudian menjual mereka – inilah yang membolehkan kelab mendapatkan pemain (lain) dengan tawaran lebih baik.”

Sebuah kelab yang terus belajar, berkembang dan merekrut, semuanya membina asas kepada kejayaan Lincoln hari ini. 

Namun, apakah langkah seterusnya?

Menurut Hortin, matlamat utama Lincoln adalah untuk kekal bertahan dalam liga, dengan meneruskan pendekatan pengurusan yang penuh pertimbangan.

“Satu perkara yang pasti, pemilik baru, Ron Fowler, mungkin akan mengikut jejak langkah Nates.

“Segala perkara akan dilakukan secara tenang, stabil, dan penuh pertimbangan. Cara itu telah menjadi identiti Lincoln.” – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg