MANCHESTER: Manchester United telah memulakan perbincangan awal dengan beberapa bekas pemain mereka, Darren Fletcher, Michael Carrick dan Ole Gunnar Solskjaer, mengenai kemungkinan mengisi jawatan pengurus sementara sehingga musim ini berakhir.
Perbincangan tersebut masih di peringkat awal, sekadar menilai kesesuaian, dan belum jelas siapa calon utama untuk menggantikan Ruben Amorim buat sementara waktu.
Namun, pihak media difahamkan bahawa Carrick dianggap sebagai calon utama.
Amorim dipecat pada 5 Januari selepas tempoh 14 bulan yang penuh pergolakan, dengan Fletcher, bekas pemain tengah United, dilantik membimbing pasukan itu buat masa ini.
Bekas pemain Scotland itu akan terus memegang peranan tersebut sehingga kelab itu melantik pengurus sementara, dan perancangan sedang dibuat untuk melantik pengurus tetap pada musim panas nanti.
Pengarah bola sepak United, Jason Wilcox, telah mengadakan perbincangan dengan Fletcher serta dua lagi bekas rakan sepasukannya, Solskjaer dan Carrick, mengenai peranan tersebut.
Seorang lagi bekas pemain United, Ruud van Nistelrooy, juga dikatakan sedang dipertimbangkan.
Van Nistelrooy sebelum ini mencatat tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan ketika menjadi pengurus sementara pada 2024.
Solskjaer pula pernah mengambil alih United dalam situasi hampir sama selepas Jose Mourinho dipecat pada 2018, sebelum dilantik secara tetap selama tiga tahun sehingga beliau meninggalkan kelab itu pada 2021.
Carrick pula kini tidak terikat dengan mana-mana kelab sejak meninggalkan Middlesbrough pada Jun 2025.
Fletcher berkata kepada media pada 6 Januari, menjelang perlawanan menentang Burnley sehari kemudian, bahawa fokus utamanya hanyalah perlawanan tersebut buat masa ini.
“Ini sesuatu yang terasa bagai mimpi, satu penghormatan besar untuk memimpin pasukan Manchester United,” katanya.
“Semuanya berlaku begitu pantas, dan seluruh tumpuan saya sekarang hanyalah kepada perlawanan menentang Burnley.
“Semua orang menjangkakan Manchester United berada di puncak dan sentiasa menang, itulah yang perlu kami capai, dan saya akan melakukan yang terbaik dalam apa jua peranan untuk merealisasikannya,” tambahnya.
Bagi jawatan pengurus tetap pula, dengan kegagalan Erik ten Hag, Ralf Rangnick dan kini Amorim di United, timbul persoalan sama ada kelab itu perlu memilih pengurus yang sudah terbukti dalam Liga Perdana England (EPL).
Unai Emery telah menjalankan tugas dengan cemerlang bersama Aston Villa, membawa mereka daripada zon bawahan kembali ke pentas Eropah dan kini bersaing merebut kejuaraan.
Villa kini berada di tangga ketiga liga, hanya enam mata di belakang pendahulu, Arsenal.
Namun, adakah tempoh tidak menentu Emery ketika mengendalikan Arsenal sebelum ini akan menjadi penghalang?
Oliver Glasner pula akan tamat kontrak bersama Crystal Palace pada musim panas, sementara pasukannya menjuarai Piala FA musim lalu.
Apabila ditanya mengenai spekulasi tersebut dalam sidang media, beliau menegaskan: “Saya pengurus Crystal Palace dan tidak masuk akal untuk bertanya lebih lanjut tentang perkara ini.”
Selain itu di peringkat Eropah, terdapat ramai nama besar yang boleh menjadi sasaran United.
Salah satu nama yang sering dikaitkan ialah ketua jurulatih Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino.
Dengan Amerika menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia pada musim panas ini, keinginan United untuk menunggu sebelum membuat pelantikan tetap dilihat selari dengan situasinya.
Bekas pengurus Barcelona, Xavi, juga berada tinggi dalam senarai ramai pihak. Beliau tidak mengendalikan mana-mana kelab sejak 2024, dan peluang mencuba nasib di EPL pastinya menarik.
Luis Enrique, juga bekas pengurus Barcelona, membawa Paris Saint-Germain menjuarai Liga Juara-Juara sebagai sebahagian daripada treble (kemenangan tiga kali) musim lalu.
Walaupun masih bersama PSG, beliau telah meraih segala kejayaan utama bersama kelab Perancis itu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg