Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rashford: Saya bersedia bagi cabaran baru

Dec 18, 2024 | 12:00 PM
Ramai penyokong Manchester United semakin bosan dengan prestasi hambar Marcus Rashford setakat ini dalam musim 2024/25 dan sikapnya  yang seolah-olah enggan mencuba dan memberikan 100 peratus untuk pasukannya apabila di padang.
Ramai penyokong Manchester United semakin bosan dengan prestasi hambar Marcus Rashford setakat ini dalam musim 2024/25 dan sikapnya yang seolah-olah enggan mencuba dan memberikan 100 peratus untuk pasukannya apabila di padang. - Foto AFP

MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Marcus Rashford, berkata beliau “bersedia bagi cabaran baru” selepas ditanya mengenai masa depannya di kelab itu.

Rashford, 27 tahun, digugurkan daripada skuad untuk perlawanan ‘derby’ menentang Manchester City pada 15 Disember yang dimenangi United 2-1.

Pengurus baru United, Ruben Amorim, mengesahkan tiada isu disiplin di sebalik keputusannya itu, tetapi beliau membayangkan bahawa Rashford, dan seorang lagi pemain yang digugurkan, Alejandro Garnacho, perlu menunjukkan standard keseluruhan yang lebih tinggi, sejajar dengan yang dituntut oleh kelab gergasi seperti United.

Dalam temu bual bersama penulis bola sepak Henry Winter yang diterbitkan di X, Rashford berkata:

“Jika saya tahu bahawa masa saya di sini sudah berakhir, saya tidak akan memburukkannya lagi. Saya telah melihat bagaimana sesetengah pemain lain telah meninggalkan United sebelum ini dan saya tidak tidak mahu menjadi seperti mereka.

“Apabila saya pergi, saya akan membuat kenyataan dan ia akan datang daripada saya.

“Apabila saya pergi, ia akan berlaku dalam keadaan baik. Anda tidak akan mendapat sebarang komen negatif daripada saya tentang Manchester United. Itulah saya sebagai seorang individu.

“Bagi saya, secara peribadi, saya rasa saya sudah bersedia untuk cabaran baru dan langkah seterusnya.”

Rashford, lulusan akademi belia United, menjaringkan 138 gol dalam 426 penampilan untuk kelab itu sejak membuat penampilan sulungnya pada 2016.

Kempen 2022-23 adalah yang paling prolifik bagi Rashford apabila beliau menjaringkan 30 gol dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, beliau gagal mempamerkan prestasi sedemikian sepanjang 18 bulan lalu dan mengundang kritikan daripada pakar dan peminat ekoran sikap beliau yang seolah-olah enggan mencuba dan memberi 100 peratus dalam perlawanan.

Ketika ditanya mengenai keputusannya mengetepikan Rashford dan Alejandro Garnacho daripada skuad dalam perlawanan di Stadium Etihad, Amorim menekankan ia bukan soal disiplin.

“Minggu depan, perlawanan seterusnya, kehidupan baru dan mereka berjuang untuk tempat mereka dalam pasukan. Bagi saya apa yang penting ialah prestasi dalam latihan, prestasi dalam permainan, cara anda berpakaian, cara anda makan, cara anda melibatkan diri dengan pasukan dan rakan sepasukan serta memberi dorongan pada rakan sepasukan,” ujarnya.

Profesionalisme Rashford dipersoalkan oleh bekas kapten United, Gary Neville, selepas beliau pergi ke Amerika Syarikat semasa rehat bagi perlawanan antarabangsa baru-baru ini dan dilihat menghadiri perlawanan bola keranjang NBA di New York.

Bercakap lebih lanjut mengenai situasinya, Rashford, yang mengatakan beliau berasa sering disalah faham, menambah:

“Digugurkan daripada perlawanan derby adalah menyedihkan, tetapi ia telah berlaku. Kami memenangi perlawanan itu jadi kini masanya untuk melihat ke depan.

“Ia mengecewakan, tetapi saya juga seseorang yang telah melalui pelbagai kekecewaan dan berdaya menghadapinya. Apa yang boleh saya lakukan? Duduk dan menangis? Atau lakukan yang terbaik pada masa akan datang untuk menunjukkan saya bersedia. Saya rasa jawapannya jelas”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg