Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Real atasi Juventus, mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab

Jul 2, 2025 | 4:00 PM
bola sepak, Real Madrid, Piala Dunia Kelab
Pemain Real Madrid, Gonzalo Garcia, meraikan golnya ketika aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab menentang Juventus di Stadium Hard Rock, Miami. - Foto AFP

MIAMI: Real Madrid mencapai kemenangan selepas menewaskan Juventus 1-0 pada 1 Julai untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab.

Kemenangan itu diraih hasil jaringan pemain lulusan akademi, Gonzalo Garcia, pada separuh masa kedua.

Perlawanan tersebut turut menyaksikan kepulangan pemain Real, Kylian Mbappe, yang tampil buat kali pertama dalam kejohanan itu selepas beliau pulih daripada gastroenteritis atau radang perut dan usus.

Garcia, yang menggantikan Mbappe setelah penyerang dari Perancis itu terpaksa menarik diri daripada perlawanan peringkat kumpulan disebabkan masalah kesihatannya, menjaringkan gol pada minit ke-54.

Kelab gergasi Sepanyol itu akan menentang Borussia Dortmund atau Monterrey dalam perlawanan seterusnya, lapor The Straits Times (ST).

Mbappe membuat penampilan yang dinantikan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, menggembirakan para peminatnya yang hampir memenuhi Stadium Hard Rock – menggambarkan daya tarikan Real.

Juventus mempunyai beberapa peluang pada awal perlawanan, namun semakin hilang rentak di bawah tekanan tanpa henti daripada pasukan Real bimbingan Xabi Alonso.

Namun, ia terselamat daripada kekalahan lebih besar hasil kecekapan penjaga gol, Michele Di Gregorio.

Selepas melalui fasa kumpulan yang hambar, Real, yang bermain dalam formasi 3-4-3 kegemaran Alonso, mula menunjukkan keupayaan sebenar pasukan itu di bawah bimbingan jurulatih baru tersebut.

Penyerang Juve, Randal Kolo Muani, yang menerima hantaran tajam daripada Kenan Yildiz, yang menembusi benteng pertahanan Real, cuba melakukan sepakan lambung pada minit ketujuh.

Namun, bola tersasar sedikit melepasi palang gol Thibaut Courtois.

Sejurus kemudian, Yildiz pula mencuba nasib dengan tendangan dari jarak jauh, tetapi percubaannya tersasar.

Di Gregorio sekali lagi diuji sejurus sebelum waktu rehat, apabila beliau berjaya menyelamatkan percubaan pasukan Real, dengan menepis rembatan jarak jauh daripada Federico Valverde.

Alonso nyata gembira dengan persembahan pasukannya, khususnya Gonzalo.

Beliau memberi bayangan bahawa Mbappe mungkin memainkan peranan lebih besar dalam perlawanan suku akhir.

Beliau turut memuji ketahanan mental pasukannya.

“Kami perlu sabar dan matang dalam permainan. Kami tidak berjaya menjaringkan gol kedua yang boleh memberi sedikit kelegaan.

“Namun, ini perlawanan kalah mati, anda perlu melakukan apa yang perlu.

“Di akhir perlawanan, kami bertahan dengan baik dan saya gembira dengan itu,” ujarnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg