Khabar angin bahawa hartawan Singapura, Peter Lim, merancang untuk menjual kelab La Liga miliknya, Valencia CF, terbukti tidak benar.
Menurut laporan The Straits Times, Valencia mengumumkan pada 26 Jun, ia berjaya mendapatkan pembiayaan penuh bernilai 322 juta euro ($480.1 juta) untuk menyiapkan pembinaan stadium baru mereka, Nou Mestalla.
Stadium yang dijangka siap pada 2027 itu akan mempunyai kapasiti 70,044 tempat duduk – menjadikannya stadium keempat terbesar di Sepanyol selepas Nou Camp Barcelona (105,000 tempat duduk); Santiago Bernabeu milik Real Madrid (81,044); dan Metropolitano milik Atletico Madrid (70,692).
Stadium Mestalla sekarang hanya mampu memuat 49,419 penyokong.
“Pembiayaan yang telah diperoleh membolehkan kami meneruskan pembinaan Nou Mestalla – stadium bertaraf dunia yang akan mendorong pertumbuhan kelab untuk generasi akan datang,” kata Presiden Valencia, Kiat Lim – anak Peter Lim – dalam satu kenyataan media.
“Ini juga mencerminkan komitmen jangka panjang kami kepada Valencia, serta keyakinan dan kepercayaan yang kini diberikan kepada kelab oleh pasaran kewangan sejagat.
“Dengan perjanjian ini, kami bukan sekadar membina stadium – kami sedang membina masa depan Valencia CF,” tambahnya.
Kiat, yang dilantik sebagai presiden kelab itu pada Mac, berkata stadium tersebut bakal menjadi titik perubahan besar Valencia, bukan sahaja daripada segi potensi pendapatan, bahkan bagi pengalaman penyokong kelab.
Valencia telah beraksi di Stadium Mestalla sejak 1923.
Stadium itu asalnya dibina untuk 17,000 penyokong, sebelum diubah suai sehingga kini mampu menampung hampir 50,000 penonton.
Rancangan membina stadium baru sekitar lima kilometer dari Mestalla diumumkan seawal November 2006, dan kerja pembinaan bermula pada Ogos 2007.
Namun, projek itu tergendala pada Februari 2009 apabila kelab itu menghadapi krisis kewangan, lima tahun sebelum Peter Lim mengambil alih.
Walaupun musim lalu sukar dan mereka bermula di kedudukan terbawah liga sebelum menamatkan musim di tangga ke-12, sokongan penyokong tetap kukuh – dengan purata kehadiran melebihi 43,000 penonton setiap perlawanan, yang 90 peratus tempat duduknya dipenuhi oleh pemegang tiket musiman.
Meskipun semangat penyokong tinggi, kemudahan fizikal kelab itu semakin usang – Mestalla kini merupakan stadium tertua dalam La Liga.
Pihak kelab turut merancang menjadikan stadium baru itu sebagai pusat pelbagai acara – daripada hiburan dan riadah, kepada acara perniagaan, persidangan dan pameran.
Mereka juga sedang giat meneroka peluang komersial baru termasuk hak penamaan, rakan kongsi utama, pakej hospitaliti premium serta zon digital untuk penglibatan peminat.
Kiat, 31 tahun, menjangkakan pendapatan kelab meningkat lebih tiga kali ganda apabila stadium baru itu siap.
“Dengan kapasiti lebih besar, kemudahan hospitaliti bertaraf tinggi dan keupayaan menganjurkan pelbagai jenis acara, kami yakin pendapatan daripada Nou Mestalla akan melonjak dengan ketara – sejajar dengan visi pelaburan kami untuk kelab,” tambah beliau.
Reka bentuk stadium tersebut diselaraskan dengan piawaian tertinggi lokasi sejagat pelbagai fungsi, dan dijangka menjadi pusat sukan, hiburan dan riadah utama di bandar Valencia serta kawasan sekitarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg