MADRID: Real Madrid telah melanjutkan kontrak pemain sayap dari Brazil, Vinicius Jr, sehingga Jun 2032, umum kelab gergasi Sepanyol itu pada 6 Ogos, sekali gus menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai masa depannya.

Pemain antarabangsa Brazil berusia 26 tahun itu merupakan tonggak utama barisan serangan Real sejak beberapa musim kebelakangan ini dan sebelum ini sering dikaitkan dengan pemindahan ke kelab juara Liga Perdana England (EPL), Arsenal.

Kontrak beliau sebelum ini dijadualkan tamat pada Jun 2027.

“Real Madrid dan Vinicius Jr telah mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontrak pemain, dengan ini beliau kekal bersama kelab ini sehingga 30 Jun 2032,” kata Real dalam satu kenyataan.

“Vinicius telah menjadi antara pemain paling penting sepanjang tempoh yang paling berjaya dalam sejarah (kelab) kami,” tambah kenyataan itu.

Sejak menyertai Real daripada kelab Brazil, Flamengo, pada 2018, Vinicius telah menjaringkan 128 gol dan menyumbang 100 bantuan gol buat kelab tersebut.

Media Sepanyol dan Britain sebelum ini melaporkan bahawa rundingan kontrak antara pemain itu dengan Real telah mengambil masa agak panjang, manakala Arsenal dilaporkan terus memantau situasi berkenaan bagi meneroka peluang pemindahan.

Lanjutan kontrak itu sekali gus mengelakkan risiko Real kehilangan salah seorang pemain bernilai tinggi mereka tanpa sebarang yuran perpindahan apabila kontrak asalnya tamat kelak. 

Vinicius telah mengharungi musim panas mencabar bersama Brazil dalam Piala Dunia, di mana mereka tersingkir 1-2 kepada Norway pada pusingan 16 terakhir.

Pemain penyerang itu telah membina koleksi piala mengagumkan sepanjang tempoh berada di Madrid, ini termasuk menjuarai dua gelaran Liga Juara-Juara dan tiga kejuaraan La Liga selain pelbagai pengiktirafan lain.

Beliau bakal beraksi di bawah bimbingan Jose Mourinho buat julung-julung kali selepas ketua jurulatih dari Portugal itu kembali bertugas untuk kali kedua di Real pada Jun.

Pelantikan itu dibuat menyusuli kempen mengecewakan bagi juara Eropah 15 kali itu, yang meraih tempat kedua di belakang musuh tradisi, Barcelona, dalam La Liga.

Real turut tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dan mengakhiri musim tanpa sebarang piala utama.

Langkah memperbaharui kontrak Vinicius menjadi satu lagi usaha penting dalam persediaan Real bagi musim baharu ini.

Kelab itu turut memperkukuh skuad mereka menjelang musim baharu ini menerusi kemasukan barisan pemain baharu.

Ini termasuk pemain sayap, Yan Diomande; pemain tengah, Bernardo Silva; pemain pertahanan tengah, Ibrahima Konate; pemain pertahanan kiri, Marc Cucurella; serta pemain sayap pertahanan, Denzel Dumfries. – Reuters.