Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Real Madrid perlu rancang pengganti Luka Modric

Pemain Croatia masih berbisa walau sudah 39 tahun, sukar dapat pengganti sebaiknya dari segi mutu, daya tahan dan harga
Nov 1, 2024 | 5:30 AM
Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric, masih mampu mempersembahkan kehebatannya meskipun usianya sudah 39 tahun.
Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric, masih mampu mempersembahkan kehebatannya meskipun usianya sudah 39 tahun. - Foto AFP

MADRID: Kelab bola sepak gergasi Sepanyol dengan sumber besar seperti Real Madrid mungkin tidak mahu mengakuinya, tetapi ia masih memerlukan pemain tengah veteran berusia 39 tahun, Luka Modric.

Apabila “ada yang tidak kena” buat Real dalam satu perlawanan, pemain tertua yang menyarung jersi putih kelab itu – kini dalam musim ke-13-nya – masih menjadi pemain yang boleh diharap untuk dipanggil masuk dari bangku simpanan.

Dalam perlawanan terakhir pasukan itu, menentang pasukan Celta Vigo yang beraksi cukup baik untuk mendapat satu mata, Modric masuk dan membuat hantaran penting yang membolosi pertahanan lawan, membolehkan Vinícius Júnior menjaringkan gol kemenangan Real.

Sudah beberapa kali Modric bertindak sedemikian untuk Real.

Sudah tentu Modric mesti bersedia untuk memanfaatkan kecerdasan dan teknik bola sepaknya.

Ia menjadi bukti akan tahap kecergasannya yang hanya dapat dicapai menerusi disiplin yang diamalkan beliau bagi memastikan tubuhnya dalam keadaan terbaik.

Walaupun Real mampu mendapatkan mana-mana pemain yang diinginkan, pemain asal Croatia itu kekal sebagai “pemain emas” bagi kelab dan negaranya.

Yang kurang diperkatakan ialah kepimpinan Modric.

Walaupun bertubuh kecil dan tidak menjerit, beliau boleh mengumpulkan rakan sepasukan.

Jika anda menonton siri Netflix Captains, yang menjejak enam kapten negara semasa Piala Dunia pada 2022, terdapat gambaran tentang peranannya dalam bilik persalinan.

Merasakan ada sesuatu tidak kena dengan penjaga gol muda pasukan Croatia, Domenik Livakovic, Modric tidak menyembunyikan perasaannya apabila mengkritik dan meminta rakan sepasukannya bermain lebih baik, sambil mengekalkan hubungan mereka.

Ketua jurulatih Real, Carlo Ancelotti, sedar akan kemampuan dan kebolehan Modric.

“Adalah satu penghormatan untuk melatih dan bekerja bersamanya,” kata Ancelotti selepas perlawanan menentang Celta Vigo.

“Semua yang beliau dapat capai adalah kerana beliau seorang profesional hebat dan seorang pemain luar biasa,” tambah Ancelotti.

Modric terpaksa berpuas hati dengan peluang terhad dalam kempen musim 2023-24, walaupun beliau sekurang-kurangnya beraksi dalam 32 daripada 38 perlawanan La Liga – tidak termasuk penampilan dalam perlawanan dua kejohanan – apabila Real merangkul mahkota La Liga dan Liga Juara-Juara.

Sekitar satu perempat daripada musim ini, pemain yang menyarung jersi nombor 10 itu telah muncul dalam setiap perlawanan setakat ini dan berada di landasan untuk mendapatkan lebih banyak masa permainan.

Kontraknya berakhir pada hujung 2025.

Selepas itu, bergantung berapa lama Modric mahu meneruskan kerjayanya dalam bola sepak.

Dan sekiranya Modric menyertai Piala Dunia Kelab pada musim panas 2025 dan Piala Dunia pada tahun berikutnya, pastinya ia akan menjadi yang terakhir buatnya bersama pasukan kebangsaan Croatia.

Daripada perspektif Real, kelab itu tidak harus melepaskan beliau dalam masa terdekat.

Apatah lagi Ancelotti sedar bahawa bahagian tengah skuadnya terus lemah selepas Toni Kroos menggantung butnya, dan jika kehilangan seorang lagi legenda di bahagian tengah, ia boleh memburukkan lagi keadaan.

Dengan kejayaan yang berterusan, Real tahu cara merancang ke hadapan, dan mampu memperkukuh kawasan tengah skuad itu.

Aurelién Tchouaméni boleh bermain lebih di barisan midfield pertahanan, Federico Valverde bertindak lebih di midfield hadapan, dan Eduardo Camavinga masih lagi bermain baik di bahagian midfield pertahanan juga.

Pemain lain seperti Dani Ceballos dan Arda Güler juga mampu mempertingkatkan permainan mereka.

Mengisi kekosongan yang ditinggalkan Modric amat penting, namun Real menimbangkan pemain baru sebagai huraiannya, mereka tidak akan mendapat pengganti sebaiknya – baik dari segi mutu, daya tahan mahupun harga.

Modric dikatakan bernilai sekitar 35 juta euro ($50 juta) pada 2012, dan biar pun sudah berusia, bakatnya masih tetap berkilauan hingga ke hari ini.

Melainkan ada huraian bagi penggantinya, era pasca-Modric tidak akan seindah eranya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg