BANGKOK: Rekod nasional yang dicatat pada 12 Disember oleh atlet lompat pagar Singapura, Ang Chen Xiang dan Kerstin Ong, tidak akan diiktiraf selepas isu teknikal dilaporkan berlaku di Stadium Nasional Supachalasai.
Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah dimaklumkan oleh Asian Athletics, sebuah badan induk olahraga di peringkat benua, masalah teknikal pada sistem perakam masa telah menjejaskan kesahihan statistik keputusan daripada sesi perlumbaan malam 12 Disember.
“Walaupun kedudukan atlet kekal sah, masa yang direkodkan tidak boleh diiktiraf bagi tujuan statistik,” kata jurucakap SNOC.
“Perkara ini amat dikesalkan, dan kami telah mengemukakan isu ini kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) bagi memastikan piawaian Sukan SEA dipatuhi,” tambahnya.
Pada 12 Disember, pelari lompat pagar nasional Ang gagal mempertahankan pingat emas acara 110 meter lompat pagar lelaki apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Namun beliau mencatatkan masa yang memecah rekod nasional iaitu 13.75 saat.
Turut mencatat rekod nasional pada hari yang sama ialah pendatang baru, Ong, apabila masa 13.47 saat yang dicatat dalam saringan kedua acara 100 meter lompat pagar wanita membolehkan beliau memperbaiki rekod peribadi iaitu 13.86 saat yang dicatat pada Ogos.
Dalam perlawanan akhir, Ong menamatkan saingan di tempat ketujuh daripada lapan atlet dengan catatan masa 13.85 saat, lapor The Straits Times (ST).
Ong, 28 tahun, berkongsi kekecewaannya dengan perkembangan tersebut, namun menambah beliau sudah menyedari “catatan masa itu memang jelas tidak tepat”.
Namun, beliau berharap masa 13.85 saat yang dicatat dalam perlawanan akhir akan dibenarkan untuk kekal, dan atlet tersebut telah mengemukakan rayuan menggunakan bukti video.
Beliau berkata: “Saya lebih terkesan dengan tidak diiktirafnya catatan 13.85 saat kerana kami tahu kami benar-benar mencatatkannya. Tetapi jika keputusan itu kekal, maka saya hanya perlu berlari dengan masa yang lebih pantas lagi selepas ini.”
Menambah, beliau berkata: “Kami bertanding di peringkat tertinggi Asia Tenggara, di mana kami mahu memberikan yang terbaik dan merekodkan prestasi terbaik kami.”
Dalam sepucuk surat kepada pengurus pasukan yang dilihat oleh The Sunday Times, Asian Athletics menyatakan bahawa terdapat masalah teknikal pada sistem merakam masa semasa sesi malam 12 Disember.
Pertubuhan itu menambah: “Syarikat pemasaan yang bertanggungjawab tidak dapat membaiki sepenuhnya isu tersebut. Kedudukan atlet dapat dipastikan dengan tepat. Namun, masa (keputusan) daripada sistem rasmi tidak boleh diambil kira bagi tujuan statistik (iaitu rekod, kelayakan ke kejohanan utama, ranking dunia dan sebagainya).”
Asian Athletics turut menyatakan bahawa sesi pagi 12 Disember, serta acara balapan dan padang pada 11 Disember, tidak terjejas.
Ia juga telah meminta jawatankuasa penganjur tempatan SEAGF supaya “mengambil langkah sewajarnya agar kejadian seperti ini tidak berulang sepanjang baki hari pertandingan”.
Surat tersebut turut menyatakan bahawa dengan “banyak masalah yang timbul sepanjang kejohanan”, Asian Athletics telah melantik sebuah jawatankuasa siasatan yang telah “mengadakan perbincangan terperinci bersama perwakilan teknikal, hakim foto penamat antarabangsa serta pengarah pertandingan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC)”.
“Setelah pertimbangan sewajarnya dibuat, didapati gangguan utama berpunca daripada bekalan kuasa dan kemudahan internet yang tidak konsisten. Namun begitu, syarikat pemasaan dan pemarkahan juga tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan,” tambahnya.
Sebuah syarikat baru untuk merakam masa baru telah dilantik bagi acara pada 13 Disember.
SEAGF tidak menjawab apabila diminta mengulas lebih lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg