Satu per 100 saat boleh membawa makna besar bagi seseorang atlet.
Bagi pelari lompat pagar, Kerstin Ong, ia membawa kekecewaan pada 2015 apabila beliau terlepas peluang membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA di tanah air sendiri hanya kerana terlambat 0.01 saat, lapor The Straits Times (ST).
Beliau merupakan pelari wanita ketiga terpantas Singapura ketika itu, namun hanya dua atlet dibenarkan bertanding.
Sedekad kemudian, perbezaan 0.01 saat membawa kegembiraan dan kejayaan.
Di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 30 Ogos, Ong mencatat 13.86 saat dalam acara lompat pagar 100 meter wanita, 0.01 saat lebih pantas daripada rekod kebangsaan 13.87 saat yang sebelum ini dikongsi bersama Nur Izlyn Zaini.
Setelah memburu rekod itu selama 10 tahun, Ong kini menjadi pemegang tunggal rekod kebangsaan tersebut.
“Ia benar-benar bermakna buat saya. Sejak kecil, saya ingin menjadi pelari lompat pagar terbaik Singapura,” kata atlet berusia 28 tahun itu.
Catatan masanya di Stadium Tuanku Syed Putra di Perlis meletakkannya di belakang atlet Korea Selatan, Jeong Yeon-jin (13.72 saat); manakala atlet Thailand, Arisa Weruwanarak, meraih gangsa dengan 14.00 saat.
Keputusan itu turut membuka peluang bagi Ong membuat penampilan sulung di Sukan SEA Thailand pada Disember 2025, selepas rayuannya berjaya, seperti diumumkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (Snoc) pada 28 Ogos.
“Kali pertama saya cuba melayakkan diri ke Sukan SEA ialah pada 2015, dan sejak itu saya tidak pernah berjaya. Jadi, sudah 10 tahun saya berusaha – memang lama,” jelas Ong.
Menjelang musim ini, Ong menetapkan dua matlamat utama: Layak ke Sukan SEA dan cipta rekod kebangsaan.
Kedua-duanya bukan mudah, namun titik perubahan datang pada pertandingan Allcomers Meet 3 anjuran Olahraga Singapura pada 23 Ogos, apabila beliau mencatat di bawah 14 saat buat kali pertama dan menyamai rekod 13.87 saat milik Nur Izlyn yang dicatat pada 2022.
“Saya tahu saya ada kemampuan itu, saya cuma perlu pastikan saya laksanakan semuanya dengan sempurna.
“Jadi saya banyak tumpukan kepada aspek teknikal seperti memulakan larian dengan pantas dan tidak melompat terlalu tinggi,” katanya.
Namun kejayaan itu datang selepas banyak cabaran peribadi.
Dengan dana terhad untuk menampung kos pertandingan di luar negara, Ong telah membelanjakan sekitar $12,000 setakat ini untuk menyertai kejohanan demi mendapatkan saingan yang lebih mencabar.
Selain bekerja sepenuh masa di sebuah agensi pemasaran, beliau turut bekerja sambilan dalam bidang pengacaraan.
Walaupun majikannya menyokong dengan waktu kerja fleksibel, beban fizikal dan mental tetap berat.
Kini, Ong mempertimbangkan untuk menjadi atlet sepenuh masa menjelang Sukan SEA, asalkan beliau mempunyai simpanan yang cukup untuk setahun.
“Kalau saya tak buat sekarang, usia saya dah lewat 20-an. Saya benar-benar nak berikan segalanya.
“Saya tidak mahu nanti menyesal dan fikir, ‘patutnya saya cuba’. Saya tidak mahu beri alasan begitu kepada diri sendiri,” tambahnya.
Beliau berharap dapat terus bertanding sehingga Sukan SEA 2029, yang akan berlangsung di Singapura.
Sesuai dengan namanya, Ong, yang bererti bertuah, diharap nasibnya akan terus bertambah baik.
“Saya nak terus turunkan catatan masa, bawa pulang pingat, jadi yang terbaik di Asia Tenggara dan akhirnya di Asia.
“Saya juga harap kisah ini jadi peringatan kepada orang lain agar jangan putus asa mengejar impian – dengan usaha sepenuh hati, tiada yang mustahil,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg