Pemain catur India, Gukesh Dommaraju, ada kelebihan dari segi form dan usia muda.
Namun, remaja berumur 18 tahun itu tidak mempedulikan statusnya sebagai pemain pilihan apabila menentang juara bertahan, Ding Liren, dari China pada Kejohanan Catur Dunia Persekutuan Catur Antarabangsa (Fide) dari 25 November hingga 13 Disember di Singapura.
Gukesh muncul sebagai bintang di Olimpiad Catur di Budapest, Hungary, pada September apabila beliau memenangi sembilan daripada 10 perlawanan untuk membantu India merangkul kejuaraan Terbuka buat kali pertama dalam kejohanan itu.
Pada April, beliau menjadi pemain termuda memenangi kejohanan Calon untuk mendapat peluang mencabar Ding dari China bagi gelaran dunia.
Dengan lawannya berhadapan cabaran sejak kebelakangan ini dan perlu berjumpa pakar psikologi bagi menangani isu kesihatan mental, beberapa pemain terkemuka, seperti pemain nombor dua dunia dari Amerika Syarikat, Hikaru Nakamura, melabelkan Gukesh sebagai pilihan untuk menang dalam kejohanan di Resorts World Sentosa itu.
“Saya tidak percaya akan ramalan mengenai siapa yang menjadi pilihan,” kata Gukesh, pemain nombor lima dunia, dalam satu wawancara media dalam talian pada Oktober, lapor The Straits Times.
“Saya cuma fikir siapa yang dapat tampil sebagai pemain terbaik setiap hari dialah yang akan memenangi perlawanan itu akhirnya.
“Saya hanya menumpukan pada prosesnya... Saya hanya mahu menikmati pengalaman itu.”
Beliau tidak mengambil mudah lawannya yang berusia 31 tahun itu, walaupun pemain grandmaster dari China itu berehat selama sembilan bulan selepas menjadi juara dunia pada April 2023.
Gukesh berkata: “Saya bersiap sedia untuk menentang beliau dalam keadaan terbaiknya dan tidak kira apa pun formnya.
“Tugas saya hanya pergi ke sana dan bermain catur dengan sebaik mungkin... (pada peringkat tinggi) apa yang penting adalah butiran terperinci dan betapa sedikit perbezaan antara pemain.
“Saya sedang cuba yang terbaik untuk menganalisisnya dan menggunakannya bagi memberi kelebihan kepada saya.”
Beliau mengakui bahawa usia mudanya memberikannya kedua-dua kelebihan dan kekurangan bagi pertandingan gelaran dunia dalam 14 perlawanan itu.
“Oleh kerana saya masih muda, saya rasa saya lebih bertenaga (berbanding pemain lebih berpengalaman) dan lebih mudah untuk saya kekal fokus semasa kejohanan yang panjang,” kata remaja itu.
“Semuanya baru bagi saya, jadi lebih mudah untuk menikmatinya berbanding seseorang seperti Fabi (jaguh catur Amerika, Fabiano Caruana) yang telah melalui putaran kejohanan dunia ini banyak kali, tiada emosi seperti itu bagi saya.
“Kekurangannya adalah jelas bahawa saya tidak berpengalaman dan saya belum bermain sebanyak mereka, dan saya tidak mempunyai pengetahuan sebanyak mereka. Hingga kini, apa yang saya lalui adalah positif.”
Anak muda itu tidak banyak bercakap tentang persiapannya, hanya mendedahkan bahawa jaguh catur Poland, Grzegorz Gajewski, akan menjadi jurulatihnya menjelang kejuaraan dunia itu, apabila beliau akan menghadapi “tekanan tambahan, lebih daripada apa jua” yang pernah dihadapinya sebelum ini.
Walaupun usianya masih muda, Gukesh menunjukkan ketenangan yang melebihi usianya.
Ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan mendadaknya sejak mula bermain catur pada usia tujuh tahun.
Pada 2019, beliau mencapai status jaguh catur ketika berusia 12 tahun, tujuh bulan dan 17 hari, menjadikannya jaguh catur kedua termuda dalam sejarah pada masa itu.
Apa yang beliau kurang dari segi pengalaman, beliau cuba belajar daripada orang lain.
Di rak-rak buku di bilik tidurnya tersusun banyak buku catur, tetapi ia juga dipenuhi autobiografi atlet seperti, pemain tenis Sepanyol. Rafael Nadal; perenang dari Amerika, Michael Phelps; dan pelari pecut Jamaica yang sudah bersara, Usain Bolt.
Gukesh, yang juga gemar bermain kriket, tenis, badminton dan tenis meja, suka membaca tentang tokoh sukan itu.
Salah sebuah buku kegemarannya ialah autobiografi penembak India, Abhinav Bindra – yang ditulis bersama penolong editor sukan The Straits Times, Rohit Brijnath – bertajuk, A Shot at History: My Obsessive Journey to Olympic Gold and Beyond (Satu Percubaan Mencipta Sejarah: Perjalanan Obsesif Saya ke Emas Olimpik dan Seterusnya).
Beliau terdorong oleh betapa penembak itu bangkit daripada kempen menghampakan di Sukan Athens 2004 untuk menjadi pemenang pingat emas Olimpik individu pertama India di Beijing empat tahun kemudian.
Gukesh berkata: “Selepas kekalahan yang menyayat hati itu, saya kagum melihat bagaimana beliau terus bekerja keras dan betapa bermotivasinya beliau.
“Walaupun selepas memenangi acara besar, beliau masih bekerja keras dan masih melakukan perkara yang betul, jadi membaca tentang dedikasi dan disiplinnya memang sukar dipercayai.”
Satu lagi sumber inspirasi untuk Gukesh ialah bekas juara dunia lima kali India, Vishy Anand, yang menjadi jaguh catur pertama negara pada 1988.
Gukesh memuji Vishy kerana memainkan peranan penting dalam mempromosikan permainan itu dan membantu membentuk India menjadi kuasa besar catur.
Dengan kejohanan dunia diadakan di Asia dan menampilkan pemain dari seluruh Asia buat kali pertama, Gukesh berharap ia akan meningkatkan pertumbuhan permainan itu di rantau ini.
Gukesh berkata: “Saya berharap catur menjadi lebih popular di Asia.
“Kita sudah melihat pertumbuhan baik, bukan India sahaja, malah China juga telah menjadi kuasa besar, Uzbekistan juga sedang meningkat naik. Maka saya lihat banyak potensi sukan itu di Asia.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg