Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja tonggak Liverpool

Siapa pemain muda dalam skuad senior yang tundukkan Chelsea dan bawa pulang Piala Carabao ke Anfield?
Mar 4, 2024 | 5:30 AM
Pasukan Liverpool kini mengetengahkan darah muda sebagai antara kesebelasan utama yang sejauh ini telah membawa kejayaan kepada pasukan itu.
Pasukan Liverpool kini mengetengahkan darah muda sebagai antara kesebelasan utama yang sejauh ini telah membawa kejayaan kepada pasukan itu. - Foto REUTERS

LONDON: Selepas Liverpool menundukkan Chelsea untuk menjulang Piala Carabao pada 25 Februari, pemain muda bimbingan Jurgen Klopp mendapat perhatian.

Apakan tidak, usia purata pemain pasukan Liverpool yang mencapai kejayaan itu ialah 22 tahun.

Malah, para pemain muda itu memulakan perlawanan menentang Southampton dalam pusingan kelima Piala FA pada 29 Februari dan menang selesa 3-0.

Lewis Koumas – yang baru berusia 18 tahun – menjaringkan gol dalam permainan pertamanya bersama pasukan Liverpool itu. Seorang lagi pemain remaja, Jayden Danns, juga 18 tahun, menjaringkan dua gol.

Pemain remaja lain yang memulakan perlawanan bagi Liverpool itu termasuk Conor Bradley (20 tahun), Bobby Clark (19 tahun), James McConnell (19 tahun) dan Jarrell Qunsah (21 tahun).

Mereka semua mendapat pujian ramai.

Berikut antara pemain muda yang nampaknya boleh menjadi tonggak Liverpool. – Agensi berita.

Jayden Danns meraikan jaringannya yang turut membantu Liverpool menang ke atas Southampton dalam pusingan ketiga Piala FA.
Jayden Danns meraikan jaringannya yang turut membantu Liverpool menang ke atas Southampton dalam pusingan ketiga Piala FA. - Foto AFP

Jayden Danns, 18 tahun, penyerang

Danns menyertai akademi Liverpool semasa berusia lapan tahun dan membuat penampilan senior pertamanya semasa pasukan itu menang 4-1 ke atas Luton Town.

Beliau boleh bermain di bahagian tengah atau serangan dan nampaknya selesa beraksi bersama pasukan utama Liverpool.

Dalam perlawanan akhir Piala Carabao, Chelsea, tandukan Danns ke arah gol diselamatkan penjaga gawang Chelsea.

Beliau anak seorang bekas pemain bola sepak, Neil Danns.

Lewis Koumas (kanan) meraikan jaringannya bersama kapten Liverpool, Virgil van Dijk (kiri) setelah berjaya membolosi gawang Southampton untuk gol pertama pada minit ke-44 yang membawa kemenangan 3-0 untuk The Kop di padang sendiri.
Lewis Koumas (kanan) meraikan jaringannya bersama kapten Liverpool, Virgil van Dijk (kiri) setelah berjaya membolosi gawang Southampton untuk gol pertama pada minit ke-44 yang membawa kemenangan 3-0 untuk The Kop di padang sendiri. - Foto AFP

Lewis Koumas, 18 tahun, penyerang

Dalam perlawanan Piala FA menentang Southampton, Koumas disertakan dalam kesebelasan utama Liverpool.

Bermain sebagai penyerang kiri, beliau menggelecek bola sebelum melepaskan tendangan kencang yang menewaskan penjaga gawang untuk jaringan pertama Liverpool.

Koumas adalah anak bekas pemain bola sepak pasukan antarabangsa Wales, Jason Koumas, dan menyertai akademi Liverpool daripada Tranmere sebagai pemain berusia bawah 11 tahun.

Beliau boleh juga bermain di bahagian tengah.

Trey Nyoni yang kini berusia 16 tahun menjadi pemain ketiga termuda dalam sejarah Liverpool apabila beliau dimasukkan ke padang lewat dalam perlawanan pasukan itu menentang Southampton.
Trey Nyoni yang kini berusia 16 tahun menjadi pemain ketiga termuda dalam sejarah Liverpool apabila beliau dimasukkan ke padang lewat dalam perlawanan pasukan itu menentang Southampton. - Foto AFP

Trey Nyoni, 16 tahun, pemain tengah

Nyoni, yang bermain dalam pasukan antarabangsa bawah 17 tahun England, menjadi pemain ketiga termuda dalam sejarah Liverpool apabila beliau dimasukkan dalam perlawanan Southampton.

Pemain midfield ini menyertai Liverpool daripada Leicester pada September 2023 dan dengan pantas dapat menyesuaikan diri semasa bersama pasukan bawah 18 tahun – beliau menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan semasa menentang Everton ketika bermain kali pertama bersama Liverpool.

Nyoni kemudian disertakan dalam pasukan bawah 21 tahun Liverpool.

Bobby Clark seorang penyerang serba boleh dan mampu bermain di bahagian serangan dan tengah –  menjaringkan 13 gol bersama pasukan Liverpool bawah-18 tahun dalam musim pertamanya.
Bobby Clark seorang penyerang serba boleh dan mampu bermain di bahagian serangan dan tengah – menjaringkan 13 gol bersama pasukan Liverpool bawah-18 tahun dalam musim pertamanya. - Foto AFP

Bobby Clark, 19 tahun, penyerang/pemain tengah

Clark, yang bermain di bahagian midfield, anak bekas pemain Liga Perdana England (EPL), Lee Clark, yang pernah bermain bagi Newcastle, Sunderland dan Fulham pada 1990-an dan 2000-an.

Pemain berusia 19 tahun ini menyertai Newcastle pada 2021 dan sebelum itu berlatih bersama kelab Birmingham City antara 2012 dengan 2014, semasa bapanya menjadi pengurus pasukan tersebut.

Clark seorang penyerang serba boleh yang boleh juga bermain di bahagian tengah. Beliau menjaringkan 13 gol dalam musim pertamanya bersama pasukan bawah 18 tahun Liverpool.

Antara lain, beliau bermain dalam pasukan senior Liverpool yang menewaskan Bournemouth 9-0 pada Ogos 2022, dan telah bermain semasa pasukan itu menang ke atas Chelsea, Luton dan Burnley.

Conor Bradley membuat penampilan dalam EPL semasa Liverpool menang 4-0 ke atas Bournemouth pada Januari. Beliau kemudian menjaringkan gol senior dalam kemenangan 4-1 Liverpool ke atas Chelsea dan dinamakan pemain terbaik perlawanan.
Conor Bradley membuat penampilan dalam EPL semasa Liverpool menang 4-0 ke atas Bournemouth pada Januari. Beliau kemudian menjaringkan gol senior dalam kemenangan 4-1 Liverpool ke atas Chelsea dan dinamakan pemain terbaik perlawanan. - Foto REUTERS

Conor Bradley, 20 tahun, pemain pertahanan/tengah

Bradley adalah pemain muda Liverpool yang paling disebut-sebut musim ini.

Pemain berusia 20 tahun ini, yang bermain di bahagian pertahanan di samping naib kapten Trent Alexander-Arnold. Corak permainannya memberi Jurgen Klopp lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan.

Beliau membuat penampilan dalam EPL semasa Liverpool menang 4-0 ke atas Bournemouth pada Januari. Beliau kemudian menjaringkan gol dalam kemenangan 4-1 Liverpool ke atas Chelsea dan dinamakan pemain terbaik perlawanan itu.

Namun, Bradley terlepas peluang bermain untuk Liverpool semasa menentang Arsenal dan Burnley menyusuli kematian bapanya.

Dalam 12 permainan Liverpool yang melibatkannya, Bradley menjaringkan satu gol dan menyumbang lima assist.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg