Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rodri menang Ballon d’or 2024

Oct 29, 2024 | 11:57 AM
Pemain tengah Sepanyol dan Manchester City, Rodri, memenangi anugerah Ballon d’Or 2024. Ini kali pertama sejak 2003 Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo tidak dicalonkan bagi anugerah tersebut.
Pemain tengah Sepanyol dan Manchester City, Rodri, memenangi anugerah Ballon d’Or 2024. Ini kali pertama sejak 2003 Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo tidak dicalonkan bagi anugerah tersebut. - Foto AFP

PARIS: Pemain tengah Manchester City dan Sepanyol, Rodri, memenangi anugerah Ballon d’Or bagi pemain bola sepak terbaik di dunia buat kali pertama pada 28 Oktober.

Pemain berusia 28 tahun itu hanya kalah satu perlawanan pada musim 2023/24 bagi kelab dan negaranya.

Selain membantu Sepanyol memenangi Euro 2024 pada Julai, beliau memenangi Liga Perdana England (EPL), Piala Uefa Super dan Piala Dunia Kelab bersama City.

Rodri pemain pertama dalam sejarah City memenangi Ballon d’Or, dan beliau mengatasi pemain sayap Real Madrid dan Brazil, Vinicius Jr, yang menduduki tempat kedua.

Pemain tengah Real, Jude Bellingham, menduduki tempat ketiga – kedudukan tertinggi oleh seorang pemain Inggeris bagi anugerah tersebut sejak 2005 apabila Frank Lampard menduduki tempat kedua.

Real memenangi anugerah kelab terbaik 2024 dan pengurus mereka, Carlo Ancelotti, memenangi anugerah jurulatih terbaik 2024, tetapi kelab itu tidak menghantar wakil untuk menerima anugerah tersebut.

Real dilaporkan memilih untuk memboikot acara tersebut selepas menerima berita bahawa Vinicius tidak akan memenangi Ballon d’Or.

“Hari yang sangat istimewa bagi saya, keluarga saya dan negara saya,” kata Rodri, yang menerima anugerah tersebut di pentas dengan mengguna topang ketiak selepas kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada September.

Ballon d’Or memberikan pengiktirafan kepada pemain bola sepak terbaik bagi sesuatu tahun dan pemilihan dibuat oleh juri wartawan dari kesemua 100 negara teratas dalam ranking bola sepak lelaki Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Ini juga kali pertama sejak 2003 Lionel Messi, 37 tahun, yang telah memenangi anugerah tersebut lapan kali, dan Cristiano Ronaldo, 39 tahun, yang memenanginya lima kali, tidak dicalonkan bagi anugerah tersebut.

Setelah membantu memenangi ‘Treble’ bersejarah City pada 2023, Rodri menduduki tempat kelima bagi Ballon d’or pada 2023.

Kejayaan berkekalan beliau bersama City dan peranannya dalam kemenangan Euro 2024 Sepanyol menjadikannya salah seorang pemain bola sepak paling berpengaruh di dunia bola sepak.

Pemain tengah itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa akibat kecederaan semasa peringkat akhir Euro menentang England, tetapi beliau sudah cukup mengagumkan untuk dinamakan sebagai pemain terbaik pertandingan tersebut.

Rodri menjaringkan sembilan gol untuk City pada musim 2023/24, termasuk dua jaringan kemenangan lewat pada perlawanan EPL dan juga menyumbang satu gol semasa kemenangan 3-1 ke atas West Ham untuk mendapatkan trofi EPL.

“Saya hanya lelaki biasa yang berpendirian, seorang yang masih belajar, seorang yang cuba melakukan perkara dengan betul dan tidak mengikut stereotaip.

“Namun saya tetap mampu berjaya dan berterima kasih kepada anda semua,” kata Rodri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg