ENGLAND: Pemain tengah Manchester City, Phil Foden, dinamakan Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), manakala pemain sayap Chelsea, Cole Palmer, dinamakan Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA.
Ini merupakan kali pertama sejak musim 2009-2010 apabila kededua anugerah diberikan kepada pemain England.
Pada musim tersebut, Wayne Rooney, dinamakan pemain terbaik dan James Milner pula dinamakan pemain muda terbaik.
“Untuk memenangi anugerah ini merupakan sesuatu yang sangat istimewa dan ia merupakan sesuatu yang saya amat bangga dan berterima kasih menerimanya,” kongsi Foden.
“Musim lalu merupakan satu lagi musim yang sangat istimewa bagi semua di City, tetapi kami sedang memberi tumpuan untuk mencapai lebih banyak kejayaan musim ini,” tambahnya.
Foden menjaringkan 19 gol dalam 35 penampilan dalam musim 2023-24, dengan City mencatatkan sejarah dengan memenangi Liga Perdana England (EPL) buat kali keempat berturut-turut.
Foden, 23 tahun, menjadi pemain termuda untuk mempunyai enam trofi liga perdana.
Ini merupakan kali pertama Foden dinamakan sebagai pemain terbaik tahunan PFA. Sebelum ini, beliau dipilih sebagai pemain muda terbaik tahunan PFA sebanyak dua kali (2021, 2022).
Beliau turut dinamakan sebagai Pemain Terbaik Musim Liga Perdana dan pilihan Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) sebagai pemain bola sepak terbaik tahunan mereka.
Foden mengatasi rakan sepasukannya di City, Erling Haaland, yang memenangi anugerah tersebut pada 2023, dan juga Rodri.
Pemain Chelsea, Palmer; pemain Arsenal, Martin Odegaard; dan pemain Aston Villa, Ollie Watkins; juga merupakan calon untuk memenangi anugerah tersebut.
Palmer, 22 tahun, menjaringkan 22 gol dalam 34 penampilan Liga Perdana dalam musim pertamanya di Chelsea.
Prestasinya menempatkan beliau dalam pasukan England bagi Euro 2024, dan Palmer berjaya menjaringkan gol dalam peringkat akhir pertandingan itu yang menyaksikan England ditewaskan 1-2 oleh Sepanyol.
Penyerang Chelsea itu mengatasi pemain Arsenal, Bukayo Saka; pemain Manchester United, Kobbie Mainoo dan Alejandro Garnacho; bekas pemain Crystal Palace, Michael Olise; dan pemain Brighton, Joao Pedro, untuk mendapatkan anugerah pemain muda terbaik PFA tersebut.
Bagi pasukan terbaik tahunan Liga Perdana yang dipilih oleh pemain, ia dibarisi ramai pemain Manchester City dan Arsenal.
Bagi kategori wanita, pemain City, Khadija Shaw, dinamakan Pemain Tahunan Terbaik PFA dan pemain Manchester United, Grace Clinton, dinamakan Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg