RIYADH: Cristiano Ronaldo digantung satu perlawanan selepas menunjukkan isyarat lucah berikutan kemenangan 3-2 Al Nassr ke atas Al Shabab, menurut Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Persekutuan Bola Sepak Saudi (SAFF) pada 28 Februari.
Selepas wisel penamat dalam perlawanan pada 25 Februari, beberapa video media sosial merakamkan Ronaldo menekup telinganya sebelum berulang kali membuat aksi menggerakkan tangannya seperti sedang memegang kemaluannya.
Isyarat lucah itu kelihatan ditujukan kepada penyokong pasukan pesaing Al Shabab.
Di latar belakang, kedengaran laungan “Messi”, yang sekian lama menjadi saingan bola sepak Ronaldo dari Argentina.
Jawatankuasa itu menyatakan, disebabkan aksi lucah itu, bintang Portugal itu perlu membayar denda 10,000 riyal Saudi ($3,600) kepada Persekutuan Bola Sepak Saudi, dan 20,000 riyal kepada Al-Shabab untuk menampung kos pembayaran pemfailan aduan.
Jawatankuasa tersebut turut menegaskan, keputusan itu tidak tertakluk kepada rayuan.
Pada April 2023, Ronaldo, 39 tahun, pernah menghadapi kritikan selepas pemain itu kelihatan mencengkam kemaluannya semasa dalam perjalanan ke ruang istirahat, selepas tamat perlawanan liga menentang Al Hilal, dengan Al Nassr tewas 2-0. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg