DUBAI: Kapten pasukan bola sepak nasional Portugal, Cristiano Ronaldo, berkata bahawa beliau tidak akan menamatkan kerjaya bola sepaknya sehingga berjaya menjaringkan 1,000 gol.
Pemain berusia 40 tahun itu telah menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 Al-Nassr ke atas Al Akhdoud pada 28 Disember.
Ini sekali gus menjadikan jumlah golnya bersama kelab dan negara mencecah sebanyak 956.
Penyerang yang menyertai kelab Al-Nassr pada 2022 itu telah menandatangani kontrak baru selama dua tahun dengan kelab Arab Saudi tersebut pada Julai lalu, melangkaui ulang tahun kelahirannya yang ke-42.
Bercakap selepas dinobatkan Pemain Terbaik Timur Tengah di Anugerah Globe Soccer di Dubai pada 28 Disember, Ronaldo berkata:
“Sukar untuk terus bermain, tetapi saya masih bermotivasi.”
“Semangat saya masih tinggi dan saya ingin terus bermain, tidak kira di mana saya, sama ada di Timur Tengah atau Eropah. Saya sentiasa seronok bermain bola sepak dan saya ingin meneruskan perkara ini.”
“Anda semua tahu apa matlamat saya. Saya ingin memenangi piala dan saya ingin mencapai angka tersebut (1,000 gol) seperti yang anda semua tahu.
“Saya pasti akan mencapainya, jika tiada kecederaan.”
Dalam temu bual bersama Piers Morgan pada November, Ronaldo berkata beliau merancang untuk bersara daripada bola sepak “tidak lama lagi”.
“Ia pasti sukar... barangkali saya akan menangis,” kata Ronaldo
Ronaldo telah menjaringkan 13 gol dalam 14 penampilan musim ini bersama Al-Nassr, yang kini mendahului Liga Pro Saudi dengan empat mata.
Walaupun penyerang itu mempunyai rekod 112 gol dalam 125 perlawanan, Al-Nassr hanya memenangi satu trofi sahaja sejak ketibaannya, iaitu Piala Juara Kelab Arab 2023
Ronaldo memegang rekod sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman untuk Portugal (143 gol) dan Real Madrid (450 gol), serta merupakan satu-satunya pemain yang telah menjaringkan lebih 100 gol untuk empat kelab – Manchester United, Real Madrid, Juventus dan Al-Nassr.
Penyerang itu berkata pada November bahawa Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico bakal menjadi kejohanan antarabangsa terakhir buat dirinya.
Beliau telah mengetuai pasukan Portugal sebagai kapten sewaktu kemenangan mereka dalam Euro 2016 di Perancis – piala antarabangsa pertama bagi pasukan bola sepak lelaki Portugal. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg